SHAH ALAM - Kos pengoperasian yang tinggi menjadi punca utama nelayan bot besar tidak dapat turun ke laut menyebabkan bekalan ikan berkurangan sejak dua bulan lalu.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Abdul Hamid Bahari berkata, ia berikutan nelayan bot besar dari Zon C2 tidak menerima subsidi minyak daripada kerajaan seperti mana yang diberikan kepada nelayan dari Zon A, B dan C.
"Nelayan yang dapat subsidi minyak hanya di Zon A, B dan C sahaja, manakala bagi Zon C2 yang bot besar tak dapat subsidi. Jadi harga diesel yang mereka (nelayan bot besar) dapat tu tinggi RM4.50 seliter, berbanding yang lain RM1.65 sen seliter.
"Sedangkan nelayan bot besar ini mereka balik dari laut lambat, makan masa beberapa jam untuk tangkap ikan.
"Jadi kos pengoperasian tinggi, sebab kos minyak naik. Itu yang menyebabkan mereka tak keluar tangkap ikan, secara tak langsung berlaku kekurangan bekalan di pasaran,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Abdul Hamid berkata, Zon A adalah kawasan yang dibenarkan memukat iaitu satu batu nautika dari pesisir pantai, selain Zon B (lapan batu nautika), Zon C (15 batu nautika) dan Zon C2 (30 batu nautika) dari pantai dan laut.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu turut mempengaruhi bekalan ikan ketika ini.
"Kalau lihat sekarang, memang kita mengalami kekurangan bekalan ikan disebabkan cuaca sekarang tidak menentu.
"Kadang-kadang air pasang datang tidak diduga dan begitu tinggi sehingga ada nelayan pantai yang keluar hanya dapat lima hingga 10 kilogram (kg) ikan sahaja, berbanding kelaziman 300 kg.
"Keadaan ini seperti tak balik modal (untuk menampung kos) minyak terutama nelayan bot besar,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca