SHAH ALAM - Peningkatan suhu laut memberi kesan kepada hidupan marin termasuk habitat dan taburan makanannya menjadi antara punca menyebabkan stok ikan berkurangan. Pensyarah kanan Fakulti Perikanan dan Sains Makanan, Universiti Malaysia... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Peningkatan suhu laut memberi kesan kepada hidupan marin termasuk habitat dan taburan makanannya menjadi antara punca menyebabkan stok ikan berkurangan.

Pensyarah kanan Fakulti Perikanan dan Sains Makanan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Fazrul Hisam Abd Aziz berkata, contoh habitat yang terkesan akibat peningkatan aras laut adalah terumbu karang manakala makanan yang terkesan adalah zooplankton (haiwan) dan phytoplankton (tumbuhan) yang menjadi makanan hidup bagi ikan di lautan.

Selain itu, beliau berkata, kekurangan stok ikan juga boleh disebabkan oleh sesetengah peralatan perikanan yang sedia ada terlalu berkesan dalam menangkap ikan sehingga mampu memerangkap ikan bersaiz kecil dan bukan sasaran.

"Ada di antara ikan bersaiz kecil yang tertangkap ini terdiri daripada ikan komersial yang bernilai tinggi,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pencerobohan aktiviti penangkapan ikan oleh operasi perikanan di zon yang tidak dibenarkan juga menyumbang kepada masalah bekalan ikan.

"Sebagai contoh, apabila berlaku pencerobohan aktiviti penundaan di zon yang tidak dibenarkan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab di Zon A dan Zon B boleh mengganggu kelangsungan bekalan ikan pada masa akan datang.

"Ini kerana Zon A dan Zon B merupakan zon penampan bagi stok perikanan ikan di dunia. Kawasan ini selalunya dihuni oleh ikan juvenil yang masih kecil,” katanya.

Justeru, beliau berkata, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil sebagai usaha mengatasi masalah bekalan ikan dengan melibatkan kerjasama antara pihak perikanan, berkuasa, pembuat polisi, industri dan saintis.

Katanya, kerjasama dan perbincangan dari masa ke masa penting bagi bagi membantu mencari solusi yang baik bagi meningkatkan stok perikanan negara.

"Saranan lain adalah dengan memperbanyakkan tukun tiruan bagi menggantikan habitat asal yang terjejas dan juga melindungi kawasan tumpuan ikan yang masih kecil bagi kelangsungan hidupan marin.

"Selain itu, perlu juga mewujudkan musim tertutup bagi sesetengah spesis marin,terutamanya pada waktu puncak ia membiak. Peralatan perikanan juga perlu diubah suai agar tidak dapat memerangkap ikan bukan sasaran atau ikan baja semasa aktiviti dilakukan,” ujarnya.

Katanya, para nelayan juga boleh menggunakan penduga gema yang mampu menghasilkan imej yang baik agar dapat mengesan ikan di bawah lautan dengan lebih tepat.

"Teknologi ini juga dapat membantu nelayan mengesan ikan dan mengurangkan kos pencarian yang melibatkan minyak serta masa,” kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca