SHAH ALAM - Peningkatan jumlah kenderaan di Lembah Klang atas pelbagai faktor termasuk pembukaan semula sektor ekonomi telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk akhir-akhir ini. Sebagai jalan penyelesaian, Pakar Keselamatan Jalan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Peningkatan jumlah kenderaan di Lembah Klang atas pelbagai faktor termasuk pembukaan semula sektor ekonomi telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk akhir-akhir ini.

Sebagai jalan penyelesaian, Pakar Keselamatan Jalan Raya, Profesor Madya Dr Law Teik Hua berkata, kerajaan perlu menyediakan kenderaan mikro mobiliti terdiri daripada motosikal elektronik khususnya di kawasan sering berlaku kesesakan.

Jelasnya, kemudahan tersebut membolehkan seseorang menuju ke destinasi dengan lebih cepat tanpa perlu menempuh kesesakan jalan raya.

"Ikutkan kesesakan sekarang lebih teruk berbanding sebelum Covid-19. Ini kerana ramai orang berpendapat mereka perlu menggunakan kereta agar mudah untuk ke mana-mana.

Teik Hua

"Sekarang lebih 90 peratus kereta dinaiki oleh pemandu sahaja. Jadi ini telah menyebabkan banyak kereta di Lembah Klang. Untuk selesaikan isu ini, gunakan mikro mobiliti iaitu motosikal elektronik di laluan dibenarkan.

"Kenderaan ini sangat memudahkan. Contohnya, saya kerja di Kuala Lumpur, saya bawa kereta. Kemudian nak keluar makan atau jumpa pelanggan di sekitar ibu negara, saya hanya perlukan kenderaan mikro ini.

"Lagipun ia tidak menggunakan petrol, cuma perlu cas. Kenderaan ini merupakan satu trend yang telah digunakan negara luar terutama di bandar raya untuk kurangkan kenderaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Teik Hua, kerajaan juga disaran menyelenggara pengangkutan awam agar dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik.

Jelasnya, ini kerana, dengan masalah seperti bas rosak atau tidak mengikut jadual perjalanan, ia mengakibatkan pengguna serik dan sanggup menaiki kenderaan sendiri untuk pergi ke sesuatu destinasi.

"Ramai orang masih waswas untuk menggunakan pengangkutan awam. Jadi ia perlu diselenggara segera agar masalah kesesakan lalu lintas dapat diatasi dan orang ramai kembali berminat menaiki pengangkutan awam.

"Sepatutnya kewujudan pengangkutan awam adalah untuk memudahkan pengguna, bukan menambah kesulitan mereka,” ujarnya.

Teik Hua turut mencadangkan kerajaan meningkatkan infrastruktur berbasikal di bandar-bandar terutama Lembah Klang.

"Perlu ada infrastruktur ini bagi memudahkan orang yang tinggal di Lembah Klang menggunakannya kerana dekat dengan rumah mereka. Jadi mereka tak perlu keluar menggunakan kereta.

"Selain memudahkan perjalanan, ia juga akan menjadikan seseorang lebih aktif dan sihat kerana berbasikal adalah satu senaman,” katanya.

Tambah Teik Hua, kerajaan juga harus membina lebih banyak tempat letak kenderaan di terminal pengangkutan awam di pinggir bandar.

"Ini akan mengurangkan minat orang awam untuk memandu ke pusat bandar. Kerajaan mesti cari jalan agar orang ramai tidak membawa kereta sendiri masuk ke bandar,” ujar beliau.

Pengangkutan awam yang efisien mampu membantu menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya yang semakin meruncing di Lembah Klang.

Mengenai saranan membina jalan raya atau lebuh raya baharu, Teik Hua berpendapat perkara tersebut tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya.

"Tambah jalan raya seolah-olah menggalakkan lagi orang ramai membeli kenderaan dan akhirnya, kesesakan terus berlaku,” ujarnya.

TIGA JAM KE TEMPAT KERJA! LAKSANA SEMULA KERJA DARI RUMAH

Sementara itu, rata-rata pekerja terutama sektor swasta berharap polisi bekerja dari rumah (BDR) terus digalakkan bagi menangani isu kesesakan yang melampau di jalan raya.

Ia susulan ramai warga kerja merungut apabila mereka terpaksa berdepan kesesakan hampir tiga jam untuk ke tempat kerja masing-masing.

Bagi konsultan perekrut, Muhammad Yushairy Mohamad Yunus, 25, dia amat bersetuju jika sistem tersebut dilaksanakan ketika ini.

"Ini kerana sebelum ini saya pernah berdepan dengan kesesakan. Lokasi rumah dari tempat kerja hanya 10 kilometer, tetapi mengambil masa 1 jam 10 minit untuk sampai.

Muhammad Yushairy

"Ini tidak mengambil kira jika berlaku kemalangan jalan raya yang menyebabkan kesesakan tersebut bertambah teruk,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Muhammad Yushairy berkata, pelaksanaan dasar BDR juga secara tidak langsung dapat menjimatkan perbelanjaan dari segi kos minyak kereta dan makan sekali gus mengelakkan tekanan akibat kesesakan.

Turut senada, eksekutif jualan, Monica Bayang, 33, yang berpendapat, bekerja dari rumah boleh dipertimbangkan untuk sektor tertentu khususnya yang kurang berinteraksi dengan pihak luar.

Tambahan pula, ujarnya, ia dapat menjimatkan kos, waktu dan juga tenaga.

"Kos perbelanjaan minyak sehari boleh jimat RM50 dan ini boleh digunakan untuk keperluan harian lain seperti perbelanjaan makan dan minum,” katanya.

Mohd Nur Firdaus

Bagi Mohd Nur Firdaus Saa’ban, 26, pula, pelaksanaan polisi BDR memberikan banyak faedah terutama dalam memelihara alam sekitar dan ekosistem bumi.

"Kalau kita lihat, semakin banyak penggunaan kenderaan atas jalan raya, semakin banyak pelepasan gas karbon monoksida yang boleh menyebabkan penipisan lapisan ozon,” kata pekerja swasta itu.

Klik di sini untuk terus membaca