KETIKA kerjayanya memuncak, seorang penggodam komputer Vietnam, Ngo Minh Hieu memperoleh kekayaan dengan mencuri data peribadi milik ratusan juta rakyat Amerika Syarikat (AS) sejak beberapa tahun lalu sehingga menyebabkannya dipenjarakan di... Klik di sini untuk terus membaca

KETIKA kerjayanya memuncak, seorang penggodam komputer Vietnam, Ngo Minh Hieu memperoleh kekayaan dengan mencuri data peribadi milik ratusan juta rakyat Amerika Syarikat (AS) sejak beberapa tahun lalu sehingga menyebabkannya dipenjarakan di negara berkenaan.

Bagaimanapun, sekarang Hieu‪ telah direkrut oleh kerajaan autoritariannya sendiri untuk memberi kesedaran tentang bahaya penggodaman komputer yang merupakan jenayah siber yang pernah dilakukannya selepas dia pulang daripada menjalani hukuman penjara di negara 'Uncle Sam' itu.

Selepas menjalani hukuman penjara selama tujuh tahun di AS kerana mencuri kira-kira 200 juta butiran peribadi rakyat negara berkenaan, Hieu dihantar pulang ke Vietnam yang mengenakan beberapa sekatan paling ketat di dunia terhadap kebebasan dalam talian.

Namun, Hieu berkata, dia kini telah membelakangkan masa lalu jenayahnya yang pernah dilakukannya itu.

"Saya telah jatuh ke bawah, kini saya cuba mendaki semula. Walaupun, sekarang, saya tidak mendapat banyak pendapatan, saya kini sebaliknya mendapat ketenangan," kata lelaki berusia 32 tahun itu kepada AFP.

Bagaimanapun, transformasi dirinya itu adalah rumit.

DIDIK WARGA VIETNAM

Hieu berkata, tugas baharunya itu adalah mendidik warga Vietnam tentang bahaya penggodaman komputer iaitu perbuatan jenayah yang pernah dilakukannya sebelum ini melibatkan warga asing yang jauh dari tanah airnya sendiri supaya anak bangsanya tidak melakukan perbuatan tersebut.

Pemuda itu juga sedang sedang bekerja dalam bidang keselamatan siber untuk kerajaan negaranya yang berfahaman komunis dan melaksanakan pemerintahan satu parti dengan bertindak kejam terhadap perbezaan pendapat, mengganggu serta menangkap penduduknya kerana mengeluarkan pendapat kritis dalam talian.

Digelar HieuPC ketika berumur 12 tahun, Hieu terpesona dengan komputer sebaik sahaja dia pertama kali menggunakannya tetapi tidak lama kemudian lelaki tersebut dikenakan denda sebanyak AS$1,000 (RM4,395) kerana mencuri sambungan internet orang lain untuk kegunaan peribadinya.

Hieu kemudian mula menggodam akaun bank asing dengan memproleh sehingga AS$600 (RM2,637) sehari ketika masih belajar dan menggunakan wang hasil daripada perbuatan jenayahnya itu untuk mempelajari tentang keselamatan siber semasa berada di New Zealand.

Dia yang dilahirkan pada tahun 1989 berasal dari keluarga kelas pertengahan yang memiliki kedai elektronik dan Hieu pernah mengembara ke New Zealand semasa usia remajanya untuk mempelajari bahasa Inggeris dan ketika itu, dia sudah pun menjadi pentadbir beberapa forum penggodam web.

Pemuda tersebut terpaksa pulang ke tanah air pada tahun 2010 selepas berjaya menggodam komputer universitinya dengan menjual maklumat peribadi pelajar dan aktiviti haramnya itu pula semakin berleluasa.

Dalam usia 20-an, dia memperoleh $100,000 (RM439,500) sebulan dengan melakukan penggodaman dan menjual kira-kira 200 juta nombor keselamatan sosial AS.

"Saya berada di puncak kejayaan. Saya terlalu bangga dengan diri sendiri. Saya mahukan lebih banyak vila, lebih banyak pangsapuri, lebih banyak kereta mewah," kata Hieu.

Kemudian, pada Februari 2013, dia telah terpikat ke AS dan kemudian ditangkap semasa mendarat di negara berkenaan.

DIPERANGKAP UNTUK DITANGKAP

Sebenarnya, Hieu diperdaya supaya pergi ke AS dalam satu operasi yang dikendalikan oleh seorang ejen rahsia di negara 'Uncle Sam' itu untuk menghadapi pendakwaan kerana mencuri data ratusan juta milik warga Amerika kerana dia mempunyai satu laman web yang menjual rekod-rekod pengguna.

"Saya tidak tahu mana-mana penjenayah siber lain yang telah menyebabkan lebih banyak kemudaratan kewangan material kepada lebih ramai rakyat Amerika berbanding Hieu" kata ejen Perkhidmatan Rahsia, Matt O'Neill yang melaksanakan rancangan untuk menangkapnya kepada KrebsOnSecurity.com iaitu sebuah blog khusus untuk keselamatan siber.

Pemuda itu pada mulanya diberi hukuman penjara selama 45 tahun tetapi kemudian dikurangkan kepada 13 tahun penjara.

"Saya telah jatuh ke bawah, kehilangan segala-galanya dalam hidup saya. Saya pernah terfikir untuk menggantung diri," kata Hieu.

Tetapi, dia dibebaskan pada tahun 2019 dan kembali ke Vietnam pada tahun 2020.

Bekas jutawan itu kini tinggal di sebuah unit apartmen biasa di ibu kota komersial Vietnam, Ho Chi Minh City dan bekerja di Pusat Keselamatan Siber milik kerajaan negara berkenaan.

"Kami memberi tumpuan kepada memburu penjenayah dan menggagalkan serangan siber," katanya yang enggan mengulas mengenai pendekatan Vietnam yang semakin menindas terhadap aktiviti penapisan dalam talian.

Ngo Minh Hieu merupakan bekas penggodam yang pernah bergelar jutawan. - Foto AFP

Undang-undang keselamatan siber baharu negara berkenaan berkuat kuasa pada tahun 2019 yang mana sebuah pertubuhan hak-hak asasi manusia, Amnesty International telah memberi amaran tentang kuasa kerajaan untuk mengehadkan kebebasan dalam talian dan menyasarkan mereka yang menyiarkan pendapat yang tidak disukainya. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca