[WAWANCARA] Bekas Ketua Setiausaha Negara, TAN SRI ABDUL HALIM ALI pernah menasihati pegawai-pegawainya supaya melaporkan kepada pegawai tertinggi kementerian masing-masing sekiranya mendapat arahan tidak betul daripada menteri atau ahli... Klik di sini untuk terus membaca

[WAWANCARA] Bekas Ketua Setiausaha Negara, TAN SRI ABDUL HALIM ALI pernah menasihati pegawai-pegawainya supaya melaporkan kepada pegawai tertinggi kementerian masing-masing sekiranya mendapat arahan tidak betul daripada menteri atau ahli politik.

Menurut Abdul Halim yang kini memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), pegawai kerajaan seharusnya berani menyatakan secara jujur sekiranya diarah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang.

Beliau yang bersara pada tahun 2001 turut menegaskan bahawa menteri atau orang politik perlu sedar batasan mereka dalam mencampuri urusan pelaksanaan dasar kerajaan.

Ikuti kupasan beliau mengenai pelbagai isu dalam wawancara eksklusif Bersama Johan Jaaffar yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, TAN SRI JOHAN JAAFFAR.

JOHAN: Perkhidmatan awam sudah mencecah usia 100 tahun. Ini merupakan satu perkhidmatan yang gemilang dan banyak dibincangkan orang. Tetapi pada pandangan Tan Sri, apakah satu titik tolak penting dalam sejarah 100 tahun perkhidmatan awam ini sehingga mencorakkan negara kita?

ABDUL HALIM: Sebenarnya agak susah bagi saya hendak mengenal pasti detik penting itu kerana perkembangan perkhidmatan awam bergerak setapak demi setapak. Kalau hendak ikutkan, kemerdekaan dan dasar meletakkan anak-anak negara sendiri sebagai pemimpin dalam perkhidmatan awam juga adalah satu titik tolak penting.

Tan Sri sekarang ini menjadi Presiden PTD. Ke manakah Tan Sri hendak bawa persatuan ini?

Sekarang ini Alumni PTD mempunyai ahli yang agak kecil, lebih kurang 700 orang, berbanding PTD yang telah bersara iaitu lebih kurang 3,000 orang. Mereka tidak automatik menjadi ahli. Ini amat merugikan bagi saya kerana PTD yang bersara ini mempunyai pengalaman dan kepakaran tinggi. Kalau kita ambil kira 30 tahun mereka berkhidmat sebagai PTD, bayangkan 30 tahun kali dengan 3,000 orang, berapa banyak dari segi pengalaman dan kepakaran yang ada.

Saya berpendapat kepakaran dan pengalaman ini perlu kita gembleng supaya dapat sama-sama memberi buah fikiran serta pandangan kepada kerajaan tentang bagaimana perkhidmatan awam boleh diperbaiki. Bagaimanakah pengalaman kita untuk cari penyelesaian kepada masalah-masalah yang rumit.

Mungkin dengan pengalaman mereka ini boleh dijadikan sebagai garis panduan penyelesaian untuk masa depan.

Apa menyebabkan hanya 700 orang yang menjadi ahli. Kenapa tidak 80 peratus daripada jumlah 3,000 itu?

Itulah sebenarnya satu cabaran bagi kita. Kebanyakan PTD yang bersara rasa inilah masa untuk berehat sepenuhnya, balik kampung untuk melakukan aktiviti yang mereka idamkan dan tidak berpeluang untuk melakukan sebelum ini. Kebanyakan mereka hendak meluangkan masa menjelajah ke sana sini bersama keluarga dan tidak mahu diganggu dengan isu yang dirasakan mereka tidak mahu fikirkan lagi.

Apa seruan Tan Sri untuk menarik yang belum menjadi ahli?

Itulah, kita pun telah fikir. Sewaktu saya dilantik (sebagai Presiden Alumni PTD), saya fikir bagaimana hendak menarik penyertaan mereka. Salah satunya ialah kita mesti hidupkan suasana dalam alumni. Contohnya, kita ada pegawai-pegawai yang pintar menulis tetapi mereka perlu diajak dan dipujuk. Banyak perkara yang mereka boleh tulis mengenai topik-topik yang menarik perhatian awam dan menarik minat pesara-pesara PTD sendiri.

Abdul Halim. FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR

Salah satu yang kita rancangkan sekarang ini dari masa ke masa, kita dapat mengeluarkan artikel-artikel yang dapat membantu negara dalam melaksanakan pelan pembaikan perkhidmatan awam atau ekonomi.

Kalau dulu dalam perkhidmatan awam, mereka kadang-kadang tidak berpeluang menyuarakan pendapat yang agak berbeza tetapi sekarang mereka bebas menyuarakan pandangan. Tidak perlu lagi takut. Dulu mungkin ada yang takut sekiranya beri pandangan yang bertentangan dengan dasar kerajaan.

Apa yang boleh alumni PTD lakukan sebenarnya untuk menyumbang kepada negara. Adakah dengan hanya memberikan buah fikiran?

Saya telah pun menyampaikan hasrat untuk bekerjasama dengan kerajaan melalui Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA). Perkhidmatan awam kita banyak membuat kemajuan tetapi masih mendapat kecaman serta kritikan daripada masyarakat. Salah satunya kerana rakyat menyangkakan kita telah mencapai kejayaan yang begitu baik. Kita mesti tingkatkan lagi pencapaian.

Faktor ini juga mungkin disebabkan media baharu khususnya media sosial yang dapat memberikan berita yang cepat dan tepat, malah lebih cepat daripada surat khabar. Jadi, kita mesti melihat perkara ini dengan lebih teliti.

PTD merupakan tulang belakang kepada perkhidmatan awam. Apakah Tan Sri berpuas hati pada keseluruhannya kalau dibandingkan sekarang dengan dahulu dari segi kualiti mereka?

Saya berpendapat, dari segi kualiti pegawai-pegawai yang ada sekarang, mereka tidak kurang kebolehannya berbanding pegawai-pegawai dahulu. Tetapi bezanya, kalau dahulu mereka betul-betul menjadi sebagai penasihat kepada menteri, dapat mengemukakan pandangan-pandangan.

Tetapi sejak zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) lagi, menteri jadi sangat berkuasa, duduk 20 atau 25 tahun dalam jawatan masing-masing. Kebanyakan mereka juga telah mengumpulkan pengalaman yang banyak. Kadang-kadang mereka lupa, mereka adalah menteri, pembuat dasar dan bukan pelaksana.

Apabila mereka cuba campur tangan dalam soal implementasi, kadang-kadang timbullah konflik. Bukan semua menteri dapat terima keadaan tersebut. Lama-kelamaan mereka tidak lagi menghormati pandangan-pandangan yang diberikan pegawai-pegawai awam sebagaimana dulu.

Tan Sri pernah menjawat kedudukan paling tinggi dalam pentadbiran awam iaitu sebagai KSN. Apakah Tan Sri menghadapi masalah ini pada masa Tan Sri menjadi KSN?

Sebenarnya saya jadi KSN sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. Tun begitu tegas dan mempunyai pendapat sendiri tetapi beliau sanggup mendengar pendapat-pendapat berlainan.

Kadangkala apabila sesuatu keputusan dibuat, saya sendiri berasa sangsi dengan keputusan tersebut. Saya secara diam-diam pergi berjumpa beliau untuk memberi pandangan dan beliau terima. Jadi, tidak timbul masalah beliau melakukan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip perkhidmatan awam.

Satu ketika dahulu kita dengar ada menteri memilih Ketua Setiausaha (KSU) yang mereka mahukan. Apabila keadaan seperti ini berlaku, apakah kesan kepada perkhidmatan awam?

Itu tentu sekali menyebabkan moral yang tidak baik kepada penjawat awam. Sewaktu saya bekerja dengan Dr Mahathir dahulu, banyak juga permintaan daripada menteri yang hendak itu dan ini. Termasuklah ingin pilih KSU yang diingini mereka dan kita dapati mereka telah melanggar etika yang sepatutnya.

Kalau ada perkara yang serius, saya pergi jumpa Perdana Menteri dan beritahu. Beliau dengar apakah keluhan dan membuat keputusan yang adil. Kalau ada masalah dengan politik, beliau tanya siapa menteri itu. Beliau akan bincang dengan menteri berkenaan dan masalah itu diselesaikan.

Apakah ini puncanya kita tidak ada Akta Perkhidmatan Awam di negara kita?

Ini terpulang juga kepada sikap seseorang. Tanpa ada undang-undang atau akta, seorang yang adil tentu tidak membuat sesuatu yang boleh menyebabkan hilang hormat atau menyebabkan jatuhnya maruah seorang penjawat awam.

Katakanlah orang politik memahami tugas mereka dan penjawat awam khususnya pegawai tinggi kerajaan memahami tugas mereka. Apakah Tan Sri fikir skandal seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu boleh berlaku?

Susah sikit sebab ada semak dan imbang yang dibuat. Contohnya, wang suruh dibayar kepada orang tertentu. Kalau ada semak dan imbang yang betul dan masing-masing tahu peranan, KSU kementerian contohnya tidak dapat memberikan kelulusan untuk duit itu dikeluarkan dan dibayar kepada pihak tertentu, tanpa penyemakan dengan sempurna.

Tetapi dalam kes ini, kita lihat ada bayaran-bayaran dibuat tanpa semakan yang sepatutnya.

Apakah Tan Sri rasa kecewa bahawa penjawat awam tidak menjalankan tugas mereka yang betul dalam konteks sepatutnya?

Ya, mungkin mereka terlalu takut dengan orang politik. Jadi, apa sahaja orang politik suruh, dia buat. Tambahan lagi kalau yang memberi arahan itu menteri kanan. Ini sepatutnya tidak berlaku.

Pada pandangan Tan Sri, bagaimana kita hendak kembali kepada asal. Kita tahu sebahagian besar penjawat awam menjalankan tugasnya tetapi bagaimana kita hendak memastikan dominasi politik itu tidak sampai merosakkan sistem nilai dalam perkhidmatan awam?

Peranan kepimpinan dalam hal ini terutamanya pucuk pimpinan kerajaan di peringkat politik mesti sedar bahawa perkhidmatan awam sebagai satu perkhidmatan paling penting dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan. Perlu diberi ruang untuk menyampaikan pendapat, memberi nasihat untuk kebaikan negara.

Abdul Halim (kanan) ketika ditemu bual dalam program bersama Johan Jaafar pada Rabu. FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR

Menteri-menteri atau orang politik perlu pertimbang perkara ini dengan serius kerana mereka tidak boleh mengabaikan pendapat-pendapat atau syor yang dikemukakan dengan sewenang-wenangnya.

Pada peringkat penjawat awam itu sendiri, apakah sepatutnya mereka menyatakan secara jujur bahawa ini salah dan tidak betul?

Ya, saya bersetuju sekali. Saya sebenarnya pernah menasihatkan pegawai-pegawai saya, kalau ada ahli politik menyuruh mereka buat sesuatu tidak betul, mereka patut beritahu kepada menteri atau orang politik berkenaan bahawa apa diminta itu tidak boleh dilaksanakan kerana undang-undang, peraturan dan sebagainya.

Kalau dia hendak buat juga, kalau terpaksa buat, pegawai mesti merekodkan apa yang diminta. Perkara itu perlu diberitahu kepada pegawai-pegawai tinggi kementerian bahawa mereka telah diminta melaksanakan tugas yang sebenarnya tidak boleh dilakukan.

Ini supaya kalau timbul masalah kemudian hari, mereka ada bukti bahawa mereka telah menasihati menteri atau ahli politik berkenaan, tetapi mereka hendak juga perkara itu dilakukan. Sekurang-kurangnya kita ada dokumen untuk ditunjukkan jika perkara itu terbongkar pada masa akan datang.

Baru-baru ini ada dua orang pegawai tinggi PTD, diplomat yang telah dipanggil balik. Apa pandangan Tan Sri dengan perkara ini?

Saya berasa sedih dan dukacita perkara seperti ini berlaku. Sebenarnya mengurus atau mengkoordinasi lawatan seseorang ketua negara atau menteri ke luar negeri itu perkara biasa bagi pegawai Kementerian Luar Negeri.

Duta besar yang dipanggil balik itu juga ada pengalaman. Biasanya lawatan Perdana Menteri khususnya ke luar negeri, semua telah dibincang, dirunding di peringkat Pejabat Perdana Menteri dan Pejabat Kementerian Luar Negeri.

Kalau pengalaman saya dahulu, akan ada satu mesyuarat di mana ada taklimat dan sebagainya. Tidak timbul masalah seperti ini. Tetapi kenapa perkara ini timbul kali ini, saya pun hairan.

Saya rasa mungkin terdapat masalah komunikasi antara pihak berkenaan. Susah saya hendak jangka sebab perkara ini sangat unik dan tidak sepatutnya berlaku.

Perkhidmatan awam telah melalui pelbagai evolusi, pembaharuan dan sebagainya. Dalam konteks itu telah wujud Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu). Kita sudah ada penanda aras MSO 2000 dan piagam pelanggan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Apakah Tan Sri rasa dalam konteks hari ini dengan keadaan perubahan masyarakat, cabaran bagi penjawat awam sekarang ini?

Sebenarnya aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh Intan, Mampu dan sebagainya memberi kesan yang baik kepada perkhidmatan awam. Sekurang-kurangnya timbul kesedaran bahawa tugas-tugas mesti dilaksanakan mengikut prosedur-prosedur tertentu supaya mencapai apresiasi maksimum.

Tetapi ia terpulang kepada kepimpinan. Kalau kepimpinan serta kementerian-kementerian itu serius, tegas dan tidak benar perkara ini dilupakan begitu sahaja, maka dasar-dasar atau apa yang disampaikan kepada pegawai akan dilaksanakan.

Kalau pucuk pimpinan itu santai sahaja, pegawai tidak buat pun tidak mengapa. Pemantauan tidak berkesan, jadi tentu sekali lama-lama ia akan menjadi lemah, tidak dilaksanakan dengan baik.

Bagi saya kembali kepada kepimpinan, sokongan dan bimbingan daripada orang politik. Kedua-dua pihak perlu memainkan peranan masing-masing. Jangan sebab pentingkan isu politik sahaja dan kemenangan politik, kepentingan negara terabai. Saya sebagai bekas pegawai awam sedih melihat segala aduan yang diterima.

Juga segala perkara yang tidak memuaskan yang dibangkitkan dari masa ke masa. Saya rasa amat sedih kerana berkhidmat dari tahun 1966, kita melihat bagaimana peranan pegawai awam waktu itu telah membangun negara dari sebuah negara agropertanian kepada sebuah negara industri dan akhirnya sebagai sebuah negara yang memacu pembangunan dalam bidang IT.

Dengan rekod yang begitu baik, waktu itu nama Malaysia di mana-mana sahaja begitu harum. Di mana negara-negara seperti Afrika dan Amerika Latin ingin mendengar apakah kejayaan perkhidmatan awam kita. Apakah kejayaan kerajaan kita dalam bidang ekonomi, bagaimana kita melaksanakannya. Nama Malaysia begitu harum. Saya bimbang, adakah pada hari ini keharumannya itu masih ada.

- Apakah kita mendapat yang terbaik dalam perkhidmatan kita ini khususnya dalam PTD?

Terbaik dalam kalangan terbaik itu saya kurang pasti tetapi saya tahu pemilihan pegawai-pegawai awam sekarang ini adalah lebih teliti, lebih rapi kerana graduan pun sudah begitu ramai. Jadi, kita boleh membuat pilihan mereka yang berprestasi tinggi.

Sama ada kita dapat yang terbaik, saya tidak pasti. Pegawai-pegawai muda ini fikir juga, kalau mereka masuk kerajaan, berapa gajinya, apakah kemudahannya. Kalau mereka masuk swasta, apakah kemudahannya, apakah ganjarannya.

Jadi, untuk menjadikan perkhidmatan awam sebagai satu pilihan, saya fikir kita mesti ada perubahan sedikit dari segi penggajian, kemudahan dan sebagainya.

Tan Sri rasa dari segi itu kita masih kurang ?

Tidak semestinya bila saya kata kemudahan gaji dan sebagainya, mesti berbentuk wang sahaja. Tetapi juga kemudahan lain. Kalau dia jatuh sakit, apa jadi? Bila dia bersara nanti, bagaimana nasibnya? Sekarang ini semua perlu dilihat kalau kita ingin mendapat yang terbaik.

Apa harapan Tan Sri pada perkhidmatan awam negara kita untuk menghadapi cabaran masa depan?

Kita harus memperbaiki lagi kepakaran dan kebolehan kita. Kita sekarang ini dalam era digitalisasi. Salah satu keperluan saya fikir adalah setiap pegawai yang memasuki perkhidmatan awam mesti mempunyai tahap pengetahuan dalam bidang IT dan ekonomi digital.

Kalau tidak, sekarang ini kita sudah memasuki era 5G, segalanya dalam talian dan perkhidmatan yang diberi semua dalam talian. Mereka mesti mampu hadapi situasi baharu ini. Kelayakan dalam bidang IT adalah satu perkara yang amat penting.

Tan Sri masuk dalam perkhidmatan awam tahun 1966. Sekian lama bersara tetapi sekarang ini masih aktif dalam persatuan alumni. Apa sebenarnya yang Tan Sri harapkan daripada pembabitan selepas pencen?

Bukan dalam bidang kewangan. Inilah satu cara untuk kita menyumbang kepada pembangunan generasi baharu. Apa juga pengalaman, saya sanggup berkongsi dengan pegawai-pegawai baharu. Orang yang sudah bersara ini kadang-kadang perlu bantuan, jadi kita perlu respons kepada itu.

Klik di sini untuk terus membaca