LOS ANGELES - Individu paling kaya di dunia, Elon Musk terlibat dalam satu lagi perbalahan terbaharu dengan pengasas bersama Microsoft yang juga bilionair keempat terkaya di planet bumi, Bill Gates di laman sosial, Twitter pada Rabu.
Perbalahan itu adalah mengenai artikel di laman web Breitbart yang mendakwa bahawa yayasan Gates menderma beratus-ratus juta dolar kepada sejumlah pertubuhan yang menandatangani surat terbuka pada bulan lalu bagi menggesa para pengiklan Twitter memboikot syarikat itu jika Musk memulihkan kebebasan bersuara di laman perkongsian sosial tersebut.
Musk yang merupakan pengasas bersama syarikat kenderaan elektrik Tesla dan pengasas tunggal syarikat pembuat roket SpaceX kemudian membuat ulasan di Twitter berhubung artikel itu.
Lelaki paling kaya di dunia itu menyatakan dalam ulasannya bahawa langkah menderma beratus-ratus juta dolar itu sebagai satu tindakan bodoh.
Gates pernah menjadi individu paling kaya di dunia dari tahun 1995 hingga 2017.
Bagaimanapun, Musk menjadi individu paling kaya di dunia pada tahun 2022 dengan kekayaan dianggarkan lebih AS$200 bilion (RM879 bilion) manakala Gates pula menduduki tempat keempat dengan anggaran kekayaan sebanyak lebih AS$120 bilion (RM527.40 bilion).
Sebelum ini, Gates telah mempersoalkan niat Musk membeli Twitter.
Namun, ketika itu, Musk berkata, pembelian Twitter itu didorong oleh hasrat untuk memulihkan aplikasi itu sebagai tempat pertukaran idea percuma dan telah berulang kali menyatakan bahawa beliau mahu mengalihkan kaedah melakukan penapisan dan mahu memulihkan hak kebebasan bersuara di laman perkongsian sosial tersebut. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca