PILIHAN Raya Umum (PRU) Australia pada Sabtu lalu (21 Mei) bukan saja telah menjatuhkan kerajaan kanan tengah Liberal-Nasional, tetapi membawa gelombang hijau yang menambah ahli Parlimen pro-alam sekitar daripada tiga kepada 10. Antara isu... Klik di sini untuk terus membaca

PILIHAN Raya Umum (PRU) Australia pada Sabtu lalu (21 Mei) bukan saja telah menjatuhkan kerajaan kanan tengah Liberal-Nasional, tetapi membawa gelombang hijau yang menambah ahli Parlimen pro-alam sekitar daripada tiga kepada 10.

Antara isu utama dalam PRU di Australia ialah alam sekitar, khasnya perubahan iklim. Lebih daripada Malaysia yang dilanda banjir luar biasa sejak tahun lalu, Australia telah mengalami kesan perubahan iklim dalam bentuk pelbagai bencana: kemarau, api dan banjir.

Untuk mengurangkan pemanasan global, muafakat masyarakat antarabangsa ialah mensifarkan pelepasan karbon dioksida (carbon emission) pada tahun 2050. Pengurangan ini berlaku secara berperingkat dan keiltizaman negara-negara dibuat secara berperingkat dan dibandingkan dengan tahap pelepasan karbon pada tahun 2005.

Berbanding dengan negara-negara maju, Australia enggan memikul tanggungjawabnya dengan berani kerana Australia mempunyai industri batu arang yang besar dan ingin mengekalkannya.

Pelabur dan pekerja-pekerja industri batu arang menghukum dalam pilihan raya parti-parti politik yang terlalu bersungguh-sungguh menjaga alam sekitar.

Dalam PRU 2019, Parti Buruh, pembangkang utama, kalah kerana penolakan pengundi pro-batu arang.

Kali ini, Parti Buruh cuma berani menjanjikan satu sasaran sederhana iaitu pengurangan kepada 43 peratus pada tahap pelepasan karbon 2005 manakala kerajaan Liberal-Nasional lagi konservatif dengan sasaran 26 hingga 28 peratus.

Akan tetapi, yang tahu menghukum parti politik bukan sahaja industri dan kesatuan sekerja batu arang. Pengundi pro-alam juga boleh bertindak. Sebahagian daripada mereka menyokong Parti Hijau dan menambahkan kerusinya daripada satu kepada dua.

Apa yang menarik ialah kemunculan sekumpulan calon bebas, hampir kesemuanya wanita yang menggunakan warna biru-hijau tua atau Teal.

Warna ini ialah campuran warna biru yang mewakili parti Liberal dan warna hijau yang melambangkan alam sekitar. Dalam kata lain, mereka tidak menyokong dasar ekonomi kiri-tengah Parti Buruh tetapi juga tidak puas hati dengan Parti Liberal yang mengabaikan alam sekitar.

Kumpulan ini menjadi pesaing kepada Parti Liberal di kawasan orang kaya yang dahulunya kubu kuat Parti Liberal. Malah, ada calon-calon Teal yang berasal daripada keluarga orang kenamaan Parti Liberal.

Dua orang ahli Parlimen Teal wanita yang sudah berjaya masuk Parlimen pada tahun 2019 kini disertai oleh enam wanita Teal.

Sekarang Parti Buruh yang membentuk kerajaan baharu cuma mempunyai 75 kerusi dalam Dewan Rakyatnya yang mempunyai 151 kerusi, dengan satu kawasan belum habis pengiraan undi.

Jika Parti Buruh memenangi kerusi itu, maka ia mempunyai majoriti satu undi. Jika Parti Buruh kalah, ia menghadapi Parlimen tergantung. Maka, Buruh perlukan sokongan daripada golongan Teal dan Parti Hijau dan mesti menjaga alam sekitar.

Apakah iktibar untuk rakyat Malaysia?

Pertama, kalau kita ingin melindungi diri daripada banjir dan bencana alam lain yang disebabkan perubahan iklim dan pembalakan, kita mesti menuntut parti-parti mengemukakan dasar alam sekitar yang jelas.

Kedua, kita perlu pertimbangkan keberkesanan sistem pilihan raya kita. Di Australia, calon-calon Teal bermanfaat daripada sistem pilihan raya Alternative Votenya.

Di Malaysia, mangsa banjir perlu teliti perbezaan besar bilangan pengundi.

*Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen

Klik di sini untuk terus membaca