SHAH ALAM - Parti Bangsa Malaysia (PBM) enggan mengesahkan keputusan penyertaan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin ke dalam parti itu bakal diikuti seorang lagi bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpengaruh, Datuk... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Parti Bangsa Malaysia (PBM) enggan mengesahkan keputusan penyertaan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin ke dalam parti itu bakal diikuti seorang lagi bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpengaruh, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sebaliknya, Timbalan Presiden PBM, Haniza Mohamed Talha menjelaskan beliau tiada maklumat mengenai perkara itu dan meminta Sinar Premium untuk bertanya kepada 'tuan punya badan'.

"Azmin akan sertai PBM? Saya enggan ulas, anda harus tanya kepada tuan punya badan (Mohamed Azmin) sendiri," ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya sambil tertawa pada Khamis.

Namun begitu, Haniza tidak menafikan kemungkinan lebih ramai pemimpin tempatan yang mungkin mengikut jejak langkah Zuraida bagi menyertai PBM dalam masa terdekat.

Hal ini kerana beliau percaya teras perjuangan PBM yang bersifat kepelbagaian kaum adalah relevan dengan hala tuju masa hadapan politik baharu negara.

"Semua orang sudah jelek dengan agenda perjuangan politik parti sedia ada bersifat perkauman dan memainkan sentimen keagamaan.

"Saya berharap dengan kehadiran Zuraida dalam PBM, lebih ramai pemimpin tempatan yang berketrampilan akan bersama kami.

"Saya tidak pasti sama ada kelompok pemimpin yang akan menyertai kami kelak, ada hubung kait dengan Zuraida dan pernah bersama beliau sebelum ini. Namun, saya percaya kehadiran beliau akan memberi nilai tambah kepada imej parti," katanya.

HANIZA

Media tempatan sebelum ini dikejutkan dengan keputusan Zuraida yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi dan keluar daripada Bersatu selepas mengambil keputusan menyertai PBM.

Bagaimanapun, Zuraida dalam kenyataan menyatakan pendirian untuk kekal menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Keputusan menyertai PBM itu dibuat Zuraida selepas beliau mengambil kira pertimbangan mendalam.

PBM yang dilancarkan pada 21 Disember 2021 kini diketuai oleh Ahli Parlimen Julau, Larry Sng sebagai Presiden parti dan turut mempunyai dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

PBM turut dianggotai bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang keluar parti rentetan Langkah Sheraton.

Antara yang keluar parti itu juga menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan dilantik menteri kabinet iaitu Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pelancongan, Keseniaan dan Budaya, Datuk Seri Edmund Santhara, Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamaruddin Jaffar, Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin, Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju, Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi I, Datuk Willie Mongin dan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Mansor Othman.

Klik di sini untuk terus membaca