RAMALAN dunia berdepan masalah kebuluran isu ketara kebelakangan ini. Di Malaysia, ramai yang mengadakan rumah terbuka Aidilfitri dinasihat agar berjimat cermat demi menghadapi ramalan 'kebuluran' yang mungkin melanda negara. Sekalipun... Klik di sini untuk terus membaca

RAMALAN dunia berdepan masalah kebuluran isu ketara kebelakangan ini. Di Malaysia, ramai yang mengadakan rumah terbuka Aidilfitri dinasihat agar berjimat cermat demi menghadapi ramalan 'kebuluran' yang mungkin melanda negara.

Sekalipun Malaysia adalah pengeluar minyak kelapa sawit terbesar dunia, namun negara masih perlu mengimport banyak bahan mentah lain seperti tepung, beras dan gula.

Sebagai anak pesawah di Muar, Johor, penulis terperanjat kerana Malaysia masih perlu membeli antara 40 dan 45 peratus daripada jumlah bekalan beras keseluruhan dari Vietnam, Indonesia, China dan Pakistan.

Berdasarkan sifir mudah, Malaysia perlukan 2.4 juta tan metrik beras setahun untuk 32.7 penduduk negara. Justeru, penulis ingin mengemukakan beberapa cadangan segera kepada kerajaan.

Sebagai permulaan, kegiatan penanaman padi harus segera dilaksanakan melibatkan 800,000 hektar tanah bendang terbiar di seluruh negara.

Jika Unjuran Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) 10 tahun akan datang pada kadar 1.7 peratus setahun, jumlah penduduk Malaysia pada 2032 dianggarkan 38.7 juta. Pada ketika itu, keperluan beras meningkat 2.8 juta tan metrik setahun.

Penulis mencadangkan penanaman padi tiga musim setahun menggunakan teknologi baka padi seperti IS21 dihasilkan Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia).

IS21 tahan penyakit, sesuai dengan perubahan cuaca dan berkualiti tinggi. Ia juga mampu meningkatkan pengeluaran padi sehingga 9 tan metrik sehektar atau tiga kali ganda daripada benih padi sedia ada.

Jika ini dilakukan, Malaysia boleh meningkatkan pengeluaran padi negara kepada 21.6 juta tan metrik setahun. Angka ini melebihi 300,000 tan metrik atau penggunaan berterusan setiap masa untuk tempoh 45 hari. Malaysia juga boleh mengeksport beras ke negara ketiga.

JANGAN KORBANKAN BENDANG

Perlu diingatkan ALLAH SWT telah memberi peringatan tentang keperluan sumber makanan menerusi surah al-Mu’minuun ayat 18-21.

Oleh sebab itu, penulis berharap pembangunan kawasan perindustrian, pembandaran dan projek perumahan melibatkan tanah bendang dapat dikurangkan.

Penulis juga berharap tawaran pekerjaan lebih menarik harus difokuskan kepada sektor pertanian bagi memastikan tenaga profesional dan buruh bertenaga mahir bukannya satu masalah.

Namun, laporan penggajian JobStreet Malaysia 2022 menunjukkan sektor pertanian mengalami peratusan peningkatan gaji terendah iaitu 44 peratus (%) berbanding sektor lain seperti perkhidmatan awam (63%), pendidikan (46%) dan telekomunikasi (45%).

Penulis juga mendapati jurang kecekapan dan kemahiran sangat ketara antara pekebun kecil dengan estet yang menjadi punca penurunan produktiviti dan saiz pegangan tidak ekonomik. Masalah ini juga menjadi cabaran ketara bagi memastikan jaminan pembekalan beras dapat dilaksanakan.

Ini kerana Malaysia tidak mampu memupuk pembangunan domestik industri kejuruteraan mesin pertanian moden seperti mesin penuai padi dan pemindahan anak padi. Begitu juga penggunaan peralatan mesin pemprosesan produk berasaskan padi-beras sebagai produk sampingan.

Penulis ingin mencadangkan pembangunan, pengeluaran dan kemahiran industri mesin pertanian moden peringkat domestik perlukan sentuhan kerjasama industri luar negara bagi mengurangkan kos import secara keseluruhan.

Produk sampingan berasaskan padi-beras juga perlu melibatkan sentuhan dan pasukan saintis, jurutera serta teknologis.

Penulis mendapati cabaran berkaitan penanaman padi boleh diatasi dengan meningkat dan membangunkan teknologi kejuruteraan peralatan mesin pertanian moden serta sistem pemprosesan produk makanan sampingan serta produk hiliran secara berterusan.

Program pengeluaran dan penghasilan makanan utama tempatan lain seperti ayam, ikan dan sayur-sayuran juga perlu digabungkan dengan pembangunan teknologi berkaitan jaminan makanan bagi kepentingan permintaan yang semakin meningkat.

Kesimpulannya, masalah kebuluran di Malaysia boleh diatasi sekiranya semua cadangan ini dapat dilaksanakan.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor

Klik di sini untuk terus membaca