KUALA LUMPUR - Permintaan sebagai binatang peliharaan serta menjadi sumber makanan eksotik di pasaran dalam dan luar negara menjadi faktor penyumbang kepupusan spesies kura-kura Order testudines. Mendedahkan hal itu, Ketua Pengarah Jabatan... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Permintaan sebagai binatang peliharaan serta menjadi sumber makanan eksotik di pasaran dalam dan luar negara menjadi faktor penyumbang kepupusan spesies kura-kura Order testudines.

Mendedahkan hal itu, Ketua Pengarah Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, terdapat 94 spesies kura-kura yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, 47 disenaraikan dalam spesies yang dilindungi (Jadual Pertama) manakala 47 lagi disenaraikan sebagai spesies dilindungi sepenuhnya (Jadual Kedua).

Abdul Kadir

"Ancaman utama penyurutan jumlahnya adalah kemusnahan dan pengurangan habitat serta aktiviti penangkapan secara haram bagi tujuan dijual di pasaran gelap.

"Perhilitan juga mengesan terdapat permintaan reptilia ini sebagai binatang peliharaan selain permintaan sebagai makanan eksotik di pasaran dalam dan luar negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis sempena Hari Penyu dan Kura-Kura Sedunia yang disambut pada 23 Mei setiap tahun.

Beliau memberitahu, Perhilitan tidak menafikan wujudnya kegiatan menjual dan menyeludup spesies kura-kura, namun kebanyakan adalah melibatkan spesies dari luar negara.

Jelas beliau, nilai kura-kura bergantung kepada spesies iaitu serendah RM50 hingga RM2,000 seekor.

Perhilitan mengesan terdapat permintaan reptilia ini sebagai binatang peliharaan selain sebagai makanan eksotik.

"Merujuk data direkodkan, bermula tahun 2016 hingga 2021, sebanyak 31 kes penjualan dan penyeludupan haram direkodkan melibatkan sebanyak 15,945 ekor pelbagai spesies kura-kura seperti Red-eared Slide, Radiated Tortoise, Indian Star Tortoise, dan Ploughshare Tortoise.

"Tangkapan dan penahanan dibuat sama ada oleh pihak Perhilitan atau agensi penguatkuasaan lain di pintu masuk seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia,” ujarnya.

Tambah Abdul Kadir, melalui Program Perlindungan Biodiversiti dan Rondaan (BP3), Perhilitan telah bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan menjayakan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bagi mencegah aktiviti pemburuan haram hidupan liar.

Katanya, Perhilitan melalui program Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli (VETOA) telah menempatkan kira-kira 800 orang kakitangan daripada kalangan Orang Asli, veteran tentera dan polis serta komuniti setempat di hampir 100 pos kawalan penguatkuasaan dan kawasan panas pemburuan haram.

"Unit Jenayah Hidupan Liar (WCU) Jabatan Perhilitan di ibu pejabat dan negeri telah menjalankan aktiviti pemeriksaan di premis-premis yang menjalankan perniagaan hidupan liar selain tindakan berdasarkan aduan daripada pelbagai sumber.

"Selain itu, kita juga telah menubuhkan Unit Jenayah Siber bagi memantau aktiviti promosi dan penjualan hidupan liar secara online,” ujarnya.

Hari Penyu dan Kura-Kura Sedunia disambut pada 23 Mei setiap tahun.

Tegas beliau, mana-mana individu yang menjalankan aktiviti tangkapan (memburu), menjual atau menyimpan apa-apa hidupan liar yang disenaraikan dalam Akta 716 tanpa sebarang lesen permit atau permit khas boleh didenda sehingga maksimum RM1 juta dan penjara sehingga 15 tahun.

"Perhilitan menasihatkan orang awam mendapatkan lesen atau permit yang sah sekiranya terlibat dalam aktiviti menyimpan atau jual beli hidupan liar yang disenaraikan di dalam Akta 716.

"Kita akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan bagi mencegah aktiviti pemburuan atau penyeludupan haram spesies kura-kura,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca