TIDAK dapat dinafikan bahawa ramai yang sedang mengalami proses penuaan di atas jalan raya seperti yang dilaporkan akhbar ini semalam. Banyak keluhan yang dapat diselami mengenai penyeksaan dialami warga kota yang terpaksa berhadapan dengan... Klik di sini untuk terus membaca

TIDAK dapat dinafikan bahawa ramai yang sedang mengalami proses penuaan di atas jalan raya seperti yang dilaporkan akhbar ini semalam.

Banyak keluhan yang dapat diselami mengenai penyeksaan dialami warga kota yang terpaksa berhadapan dengan kesesakan bukan sahaja pada hari biasa tetapi pada hujung minggu.

Keadaan dikatakan bertambah parah sejak sektor ekonomi mula dibuka apabila pekerja tak lagi dibenarkan bekerja dari rumah dan sesi persekolahan telah dilakukan sepenuhnya secara bersemuka.

Saya sering mendengar keluhan rakan-rakan yang terpaksa berhadapan dengan kesesakan sewaktu pergi dan pulang dari tempat kerja.

Ada seorang kawan saya yang tinggal di Segambut, Kuala Lumpur perlu menempuh kesesakan kira-kira satu jam untuk ke tempat kerja yang hanya 7 kilometer dari rumahnya.

Seorang kawan lagi perlu menempuh perjalanan selama dua jam dari Cheras ke Subang Jaya yang jaraknya tidak sampai 30 kilometer.

Kedua-dua kawan saya walaupun berbeza tempat kerja, tetapi berkongsi pendapat yang sama iaitu duit, masa dan tenaga banyak dibazirkan di atas jalan.

Bazir duit dalam erti kata apabila kereta berada lebih lama di atas jalan, lebih banyak petrol yang perlu digunakan dan begitulah konsepnya bagi pembaziran tenaga dan masa.

Kata mereka, keadaan akan bertambah kronik apabila waktu hujan ataupun ada kemalangan.

Harapan mereka dan saya rasa harapan ramai pengguna jalan raya lain, perlu ada alternatif yang menyeluruh seperti naik taraf pengangkutan awam dan projek lebuh raya baharu untuk mengatasi masalah itu.

Jika tidak, sampai bila-bila pengguna jalan raya akan terpaksa berhadapan dengan tekanan setiap kali berada di atas jalan raya.

Saya sedikit bernasib baik kerana laluan ke tempat kerja yang menggunakan Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam sudah dinaik taraf manakala Lebuh Raya Damansara Shah Alam (DASH) dijangka dapat digunakan mulai Ogos atau September ini.

Lebuh raya sejauh 20.1 kilometer dengan 13 persimpangan itu menawarkan alternatif yang sangat diperlukan di kawasan yang sangat sesak seperti Puncak Perdana, Alam Impian, Alam Suria, Denai Alam, Kampung Melayu Subang, Pinggiran Subang, Subang Dua, Subang Airport, RRIM, Surian, Seksyen 5, Kota Damansara, Sunway Damansara, Damansara Perdana dan Penchala.

TANGANI KESESAKAN

DASH juga akan menyediakan akses mudah ke dan dari Persiaran Mokhtar Dahari, Lebuh Raya Guthrie, Jalan Sungai Buloh, Jalan Lapangan Terbang, Persiaran Surian, Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE), Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) dan Penchala Link.

Lebuh raya itu juga akan melengkapkan lingkaran lebuh raya Lembah Klang iaitu The Penchala Link, Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuh Raya Persekutuan dan Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE).

Menurut Projek Lintasan Kota Holding Sdn Bhd (Prolintas) yang mengendalikan DASH, dengan lebuh raya itu, perjalanan dari titik permulaan hingga akhir akan dikurangkan dari 90 minit menjadi hanya 17 minit.

Kesesakan lalu lintas pula akan dikurangkan secara drastik di Jalan Sungai Buloh sebanyak 33 peratus, Persiaran Surian sebanyak 43 peratus dan di sepanjang Persiaran Mokhtar Dahari sebanyak 39 peratus.

Cumanya ramai penduduk yang berulang kali merungut kelancaran DASH tidak akan sempurna selagi susur keluar lebuh raya itu ke Persiaran Mokhtar Dahari di Puncak Perdana menghala ke Puncak Alam berhampiran tasik tidak dinaik taraf menjadi dua lorong.

Kata mereka, jika tidak dilakukan dengan segera, ia akan mencacatkan usaha menangani kesesakan di Persiaran Mokhtar Dahari yang akhirnya tidak menyelesaikan masalah kesesakan di kawasan itu secara menyeluruh.

* Badruldin Zakaria ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca