PENDEDAHAN partisipasi politik belia seharusnya bermula sejak kecil. Persoalannya ialah adakah ini berlaku? Sekiranya berlaku, sejauh manakah ia berkesan? Bab kepentingan untuk sekolah mengadakan pendidikan partisipasi politik bukanlah... Klik di sini untuk terus membaca

PENDEDAHAN partisipasi politik belia seharusnya bermula sejak kecil. Persoalannya ialah adakah ini berlaku? Sekiranya berlaku, sejauh manakah ia berkesan?

Bab kepentingan untuk sekolah mengadakan pendidikan partisipasi politik bukanlah perkara baharu. Ia banyak dibincangkan di demokrasi-demokrasi yang maju.

Di Malaysia, ia tidak begitu dibincangkan. Mungkin juga diabaikan. Tetapi, ini tidak bermakna elemen-elemen partisipasi politik tidak wujud sama sekali. Cuma, istilah ‘partisipasi politik’ tidak digunakan.

Ia wujud melalui beberapa mata pelajaran yang tidak mengkhusus kepada partisipasi. Contohnya, Sivik, Sejarah dan Pengajian Am serta aktiviti-aktiviti berpersatuan. Isunya ialah keberkesanannya tidak dinilai dengan sewajarnya dan sering menimbulkan tanda tanya.

Daripada apa yang sedia ada tersebut, matlamatnya ialah menanam semangat cinta dan setia kepada raja dan negara, kepercayaan terhadap nilai-nilai tertentu, sistem kerajaan, institusi-institusi demokrasi, undang-undang dan cara hidup tertentu, dan keperluan untuk mempertahankannya dan menambah baiknya.

Ia juga mendidik pelajar menjadi warganegara, jiran, pekerja, peniaga dan anggota keluarga yang baik.

Tetapi, tiada atau kurang elemen-elemen yang membawa kepada kefahaman tentang makna dan konsep partisipasi secara penuh dan aktif dalam hal ehwal politik dan demokrasi.

TANGGUNGJAWAB DEMOKRASI

Apa yang diajar ialah ‘demokrasi pasif’ yang sempit, tidak imaginatif, elitis dan jauh daripada kehidupan biasa rakyat.

Di IPT, terdapat bidang pengajian, kursus dan mata pelajaran yang lebih khusus, contohnya Sains Politik dan kursus/ mata pelajaran tertentu di jabatan-jabatan sejarah, sains sosial dan sebagainya. Tetapi, ia diambil oleh sesetengah pelajar sahaja dan belum tentu ia mengarah kepada partisipasi aktif.

Manakala di luar sekolah/ IPT, terdapat pelbagai kursus, seminar, forum dan ceramah yang secara langsung dan tidak langsung mengkhusus kepada partisipasi.

Bagi semua belia, apa yang diperlukan ialah pendidikan, latihan dan pendedahan tentang partisipasi politik dalam sistem demokrasi. Iaitu partisipasi yang dilakukan dengan kesedaran dan tanggungjawab untuk memilih kerajaan dan seterusnya mempengaruhi cara kerajaan bekerja, iaitu untuk memastikan tertegaknya demokrasi yang bertanggungjawab.

Selanjutnya, kita perlu menangani perkara-perkara penting dalam pendidikan, latihan dan pendedahan partisipasi politik belia.

Apakah kaedah terbaik bagi memastikan belia berpartisipasi sepenuhnya iaitu daripada perancangan, pelaksanaan, penilaian dan penambahbaikannya?

Bagaimana dengan belia yang tidak bersekolah/ IPT dan/ atau tidak terlibat dalam aktiviti-aktiviti partisipasi politik belia yang ingin dilaksanakan?

Paling penting ialah bagaimana memastikan yang partisipasi politik belia akan berakhir dengan mereka memainkan peranan yang sebaik-baiknya dalam sistem demokrasi?

* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Menteri Luar Negeri dan Ahli Parlimen Indera Mahkota. Beliau aktif di twitter: @saifuddinabd

Klik di sini untuk terus membaca