[WAWANCARA EKSKLUSIF] Pernah dijulang, dicemuh, dipenjarakan sebanyak dua kali dan kemudiannya kembali diangkat memimpin Pakatan Harapan (PH) pada pasca kejatuhan kerajaan koalisi itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Tidak tergambar betapa tabahnya peribadi figura politik pembangkang paling berpengaruh di Malaysia, DATUK SERI ANWAR IBRAHIM dalam mendepani pelbagai liku dan cabaran demi merealisasikan agenda reformasi negara.
Dengan tekad untuk membebaskan Malaysia daripada amalan rasuah dan salah tadbir urus negara sejak lebih 20 tahun lalu, semangat Anwar yang juga Ketua Pembangkang tidak pernah luntur walaupun terdapat suara negatif meminta beliau berundur daripada dunia politik tanah air susulan kemerosotan prestasi PH selepas peristiwa Langkah Sheraton.
Pada saat PRU15 hampir tiba, timbul persoalan sama ada Anwar dan PH mampu mencipta kejutan untuk kembali merampas Putrajaya dari tangan UMNO dan Barisan Nasional (BN), meskipun koalisi itu berdepan kekalahan dalam empat Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
Pengarang Berita Sinar Harian, JUNHAIRI ALYASA; wartawan, KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN dan MOHD FAIZUL HAIKA MAT KHAZI menyelami isi hati dan harapan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu terhadap peluang PH pada PRU15, implikasi pemilihan PKR, status cadangan kerjasama PH-Perikatan Nasional (PN), isu ekonomi dan rasuah, menerusi wawancara eksklusif di pejabatnya di Jalan Gasing pada Khamis.
Sinar Harian: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membidas pandangan Datuk Seri yang menyatakan masalah kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM) berbanding dolar Amerika Syarikat (AS$) ketika ini menunjukkan pelabur dunia tidak yakin dengan kerajaan sedia ada. Komen Datuk Seri?
Anwar Ibrahim: Ekonomi kita kena tahu berdasarkan fakta. Sebelum kerajaan PH ambil alih kerajaan Pusat pada tahun 2018, nilai dolar AS sekitar AS$3.60.
Saya ada sebutkan sewaktu debat dengan Najib tempoh hari, apabila Jabatan Kehakiman AS mengeluarkan laporan mengenai skandal 1MDB (pada tahun 2017), nilai RM terus menjunam kepada RM4.39. Waktu itu, Najib masih menjadi Perdana Menteri dan nilai terus turun tanpa menunjukkan keupayaan RM untuk menaik.
Ini kerana setahun sebelum itu, apabila terbongkar kisah 1MDB, masyarakat antarabangsa dan pelabur sudah tahu ada satu hal yang pincang dalam sistem kewangan negara. Jadi nilai RM sebenarnya jatuh semasa Najib menjadi Perdana Menteri lagi.
Nilai RM masih belum mampu pulih sepenuhnya sewaktu pentadbiran kerajaan PH selama 22 bulan memang ada kebenarannya, tetapi nilai itu kemudiannya menaik secara stabil.
Namun sekarang ini, nilai RM memang terus menjunam, jadi kesannya tentu dari sudut ekonomi sangat parah.
Puncanya tentu banyak, dahulu apabila nilai mata wang baht jatuh sewaktu krisis ekonomi Asia pada tahun 1997, maka itu juga kerana permasalahan ekonomi berat di Thailand. Jadi negara itu akan mengalami kesan sampingan ekonomi.
Namun kini tidak, walaupun berlaku beberapa permasalahan ekonomi dunia dan pandemik Covid-19 kemudiannya. Ia bermula dengan kehilangan keyakinan kepada kerajaan dan keadaan itu tidak nampak pulih, malah lebih parah sekarang.
Penyelesaiannya? Kena pulihkan semula keyakinan dengan pimpinan yang mampu mengemudi pemerintahan secara teratur, lebih bersih dan elak daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
- Adakah Datuk Seri bersetuju dengan langkah menambat nilai RM sebagaimana dipraktikkan kerajaan sewaktu mendepani krisis Ekonomi Asia pada tahun 1997-1998?
Kaedah menambat dengan angka tetap sudah berlaku di peringkat awal sewaktu saya menjadi Menteri Kewangan pada tahun 1993, sebelum krisis ekonomi Asia 1997 berlaku lagi.
Tetapi risiko besar, ketika itu kedudukan ekonomi negara masih kuat. Puncanya hanya spekulasi mata wang daripada luar untuk menyekat, maka kita halang sebentar. Tahun 1997, spekulasi itu terus-menerus, jadi ada kesan positif mengawal. Tetapi ada kesan parah untuk jangka masa panjang, jadi tidak semudah itu.
Dalam keadaan sistem politik lebih stabil dan keyakinan masih ada, keadaan itu boleh. Namun sekarang, dengan sistem politik tidak stabil dan keyakinan pelabur semakin merudum, buat sebarang rancangan pun yang berisiko seperti itu akan memberi kesan negatif terhadap kewangan dan ekonomi negara.
- Adakah Datuk Seri bersetuju dengan langkah kerajaan memansuhkan Permit Import (AP) barangan makanan dan menyekat kebenaran eksport ke luar negara susulah dunia berdepan kebimbangan krisis makanan dan hiperinflasi yang meruncing?
Solusi pertama adalah menyentuh soal tata kelola dan kepimpinan negara yang diyakini, bawa satu agenda perubahan daripada kebobrokan yang ada.
Misalnya masalah inflasi. Kerajaan perkenal langkah menyekat eksport bahan makanan seperti ayam. Cuba kira jumlah eksport ayam ke luar negara sebanyak 35 juta sebulan, yang rakyat guna hari-hari adalah sebanyak 2 juta sehari, adakah itu satu bentuk penyelesaian yang diperlukan?
Itu cuma langkah gimik politik yang tidak menyelesaikan masalah harga barang. Sebab itu, saya katakan ia perlu melibatkan penyelesaian kepimpinan berstruktur dan keberanian untuk mengambil tindakan. Tetapi ia harus bermula dengan keyakinan pada saat orang susah untuk makan, pengangguran bertambah dan pelaburan tidak meningkat.
Tetapi penyelesaian mereka adalah mewujudkan projek baharu seperti Digital Nasional Berhad (DNB), jalan baharu dan kontrak kerajaan tanpa tender. Itu akan beri lebih kesan parah kepada ekonomi.
Saya menyambut baik kenyataan SPRM. Itu kerana beliau menyatakan kerajaan harus telus. Masalahnya masa pandemik pun ada rompakan lagi, ini apa manusia yang kita lahirkan sebagai pemimpin dan penjawat awam?
Orang tengah kelaparan, kesihatan tidak terjamin dan mengalami peningkatan kes kematian. Tetapi kenyataan SPRM mendedahkan ada pihak cuba mendirikan mahligai di atas pusara.
Saya menggesa SPRM ambil tindakan segera siasat. Sebahagiannya sudah masuk dalam kes mahkamah, kena siasat bukan sekadar keluarkan kenyataan semata-mata.
Sebagai contoh, isu hendak perkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagaimana dikemukakan Najib. Sebenarnya kena selesaikan dahulu masalah ketirisan kewangan negara yang bocor dan tercicir sebanyak puluhan bilion. Kemudian baru boleh rancang langkah kerajaan untuk ke hadapan.
Kalau kita dapat laksanakan GST, kita akan dapat lebih pendapatan RM38 bilion, dari mana? Lebihan itu daripada rakyat.
GST memang satu sistem percukaian paling demokratik dan saya akui ia langkah baik sekiranya kerajaan kutip pada semua dalam keadaan orang mengalami peningkatan pendapatan. Tetapi dalam keadaan rakyat berpendapatan rendah, langkah mengenakan cukai kepada semua adalah tindakan tidak adil.
- Apakah bentuk penyelewengan dilakukan sewaktu zaman pandemik Covid-19 dan Parlimen digantung susulan proklamasi darurat dilaksanakan, yang menjadi kebimbangan Datuk Seri?Pelaksanaan darurat memang kita bantah dari awal dan rupanya alasan pelaksanaannya adalah supaya tender kerajaan tidak dilaksanakan dan ahli politik mudah mengambil komisen. Siapa kata? SPRM. Kemudian proses membeli vaksin dan sebagainya. Saya bukan menghukum, tetapi saya menggesa siasatan dibuat.
Ini kerana bagi menghadapi pandemik, kita dalam PH melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi Politik dan Parlimen dengan kerajaan, meminta kerajaan menambah peruntukan RM45 bilion untuk hospital dan petugas barisan hadapan, semua kemungkinan untuk selamatkan rakyat dan RM10 bilion untuk orang miskin.
Peruntukan harus dibelanjakan dengan telus. Jangan dalam keadaan orang susah, hendak kaut keuntungan. Saya sekali lagi gesa SPRM diminta ambil tindakan segera dan bentangkan supaya jadi pengajaran.
Orang pandang ringan kerana mereka menganggap rasuah tidak nampak, orang politik mesti ambil rasuah.
Mereka ambil fahaman sebegitu, negara habislah. Sebelum ini, ramai menasihati saya supaya tidak membangkitkan isu Pandora Papers, sebab bilangan individu dan pemimpin terlibat terlalu ramai.
Nanti kalau anda sudah lawan mantan Perdana Menteri, mantan Menteri Kewangan, tiada chance kamu hendak jadi Perdana Menteri. Sebab implikasi membongkar kebobrokan itu besar.
Kalau semua orang ambil sikap sebegitu, negara akan hancur. Saya tidak mahu kompromi dalam perkara itu. Kita kena ikhtiar untuk menanganinya.
- Adakah Datuk Seri berpuas hati dengan pemilihan PKR penggal 2022-2025?
Bagi saya, kita buat dan jalankan sahaja kerja diamanahkan. Barisan pimpinan muda harus ditonjolkan. Tengok dalam PKR, bukan sahaja dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) tetapi dalam sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita itu, penonjolan tokoh muda adalah luar biasa.
Ada orang bangkitkan peratusan keluar mengundi untuk pemilihan PKR kali hanya 12 peratus, sedangkan pada pemilihan tahun 2018 hanya 10 peratus sahaja. Sejumlah 12 peratus itu mewakili 100,000 ahli. Saudara boleh sebut parti mana yang ahli secara individu keluar undi sebanyak itu.
Mereka (parti lawan) selalu bersikap sinis terhadap PKR. Dalam sistem pemilihan parti, mereka hantar wakil untuk mengundi di peringkat Ranting ke Cabang, serta Cabang ke Pusat. Jadi kita hendak atur supaya ahli di seluruh negara keluar mengundi dalam tempoh seminggu berjumlah 200,000 orang dan mungkin mencecah 250,000 orang pada minggu hadapan, bagi saya angka itu sudah cukup.
- Bagaimana pandangan Datuk Seri terhadap golongan elit politik yang sering menyerang sikap bangsa Melayu sebagai punca kemunduran mereka?
Betapa hebat jeritan kita untuk menyelamatkan bangsa Melayu. Kita tahu seperti mana disebut soal kek, yang melantak kek besar adalah elit politik termasuk golongan elit pelbagai kaum. Elit politik tertinggi mendapat faedah, siapa yang boleh menafikannya?
Yang kita mahu hentikan adalah perbuatan sebegini. Bicara soal kek, tetapi semua yang menerima manfaat badannya segar bugar. Tetapi rakyat sengsara. Saya pun lemas dengan pandangan kaum Melayu lemah, tidak boleh diharap dan menyokong rasuah.
Tidak betul pemikiran itu. Ada juga orang kaum lain yang melakukan rasuah. Ini bukan soal kaum. Cakap seolah-olah orang Melayu tiada kesedaran. Bila mereka dapat RM100, dia lupa. Saya tidak fikir ini satu kenyataan benar.
Kecenderungan golongan elit asyik menyerang sikap bangsa Melayu, saya tidak bersetuju.
Melayu ini mempunyai warisan budaya hebat dan ketamadunan tinggi. Ada zaman kesultanan Melayu yang positif dan program tradisi ilmu yang membanggakan. Kita bicara soal konsep falsafah yang tinggi sejak 400 tahun lalu.
Yang menjadi masalah adalah kerana orang samakan budaya elit atasan Melayu dengan keseluruhan budaya Melayu. Kalau ada kelemahan, ia kelemahan kita yang tidak dapat menyampaikan kepada mereka.
Adakah pembangkang kalah semua kawasan Parlimen majoriti Melayu? Tidak betul. Saya dahulu menang Parlimen Permatang Pauh yang merupakan kawasan majoriti orang Melayu. Port Dickson masih kawasan majoriti Melayu walaupun kecil. Parlimen Kuala Kedah yang juga kawasan majoriti Melayu sebanyak 80 peratus masih boleh menang.
Ya, di Kelantan dan Terengganu kita kalah. Tetapi dengan mengatakan tidak mungkin kawasan Melayu tidak dimenangi PH, tidak benar. Saya selalu sebut kajian secara quick and dirty survey, sesetengah orang guna alasan hasil kajian kononnya pembangkang tidak boleh menang kawasan majoriti Melayu, ini pandangan sinis yang tidak membantu kita.
Orang yang bagi pandangan sepatutnya turun ke bawah untuk terangkan keadaan sebenar. Jangan buat leteran yang hanya mencemuh. Ada masalah, tetapi ia bukan isu perkauman, bukan isu Melayu. Kadangkala berceramah berjam-jam soal akidah sehingga meleret, padahal itu debat ulama zaman dahulu lagi.
Ada permasalahan yang kita cuba tangani, tetapi yang saya tekankan, kena buat satu pandangan terutama dalam kalangan orang bandar, bahawa orang Melayu ini ada keterujaan sikap buruk. Ia sebenarnya pandangan awal golongan penjajah terhadap bangsa Melayu. Tokoh pejuang kebangsaan Filipina, Jose Rizal pernah menulis pada 200 tahun lalu mengenai sikap orang Filipina yang seolah-olah malas.
Hakikatnya tulisan itu bertujuan menyindir orang Sepanyol. Beliau cuba menyatakan adakah orang Filipina dianggap malas setelah bangun pagi seawal jam 5 pagi untuk menangkap ikan dan memotong getah. Kena bangun awal pagi untuk pergi menanam padi. Orang malas tidak boleh melakukan kerja demikian.
Anak-anak muda negara sudah menyeberangi Tambak Johor seawal 3 pagi untuk pergi bekerja di Singapura. Itu bukan tanda orang malas. Pandangan Jose Rizal itu disambut tokoh pemikir negara, Syed Hussin Al-Atas. Mereka cuba membidas sikap kolonial yang cuba mewujudkan stigma kaum bumiputera sebagai malas.
Ini yang penting. Dalam UMNO, ada buku bertajuk ‘Revolusi Mental’ yang mewakili pandangan kolonial pada tahun 1970-an. Bagi saya, ia ada beberapa masalah sikap. Bukan sahaja sikap orang Melayu, bahkan kepimpinan Melayu. Malas, kepentingan diri, elaun besar dan tidak kerja.
Kita tidak boleh terperangkap dan ditempurungkan dalam pemisahan sikap yang sedemikian rupa. Menjawab balik pertuduhan liar dan stigma terhadap orang Melayu terlalu kuat, termasuk menjawab isi kandungan buku The Malay Dilemma yang ditulis Tun Dr Mahathir Mohamad.
Itu pandangan era pasca penjajahan yang cuba memerangkap pemikiran orang Melayu yang dibantah oleh Husin Al-Attas.
- Wujud kebimbangan dalam kalangan pemimpin PH bahawa pengundi bukan Melayu akan beralih sokongan atau memboikot PRU15 sekiranya cadangan kerjasama PH-PN direalisasikan. Pandangan Datuk Seri?
Siapa yang cadang kerjasama PN dan PH? Bukan kami tetapi mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Siapa yang sambut? Pimpinan mana yang sambut? Malah, semalam (Rabu lalu) saya mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan (Presiden Parti Amanah Negara) Mat Sabu untuk bincang lagi. Tiada siapa dalam PH yang sambut cadangan Muhyiddin.
Jadi kenapa kita mahu riuh rendah? Keputusan PH sebelum ini adalah kita mahu kuatkan jentera parti masing-masing dan PH. Kalau boleh kita mahu mengadakan program jelajah seluruh negara semula. Jadi kita jangan biarkan kenyataan Muhyiddin mempengaruhi kita melainkan kita sambut cadangannya.
Apa yang saya katakan, memang ada perbincangan dan tiada siapa boleh melarang tetapi tiada persetujuan. Jadi jangan cakap dan memberi gambaran bahawa PH sudah bersetuju untuk bekerjasama dengan PN bagi menghadapi PRU15 nanti.
Bagaimana pula reaksi pengundi bukan Melayu mengenai cadangan berkenaan?
Perkara itu tidak berbangkit. Dalam politik ini ada angkubah. Misalnya kalau Perdana Menteri pergi ke Amerika Syarikat dan berjumpa (Presiden) Joe Biden, apa China kata? Kalau asyik meramalkan ‘kalau itu dan ini’, maka tidak jadi kerjalah.
Melainkan andaian berkenaan kemungkinan boleh berlaku. Sebab itu kalau tanya apa patut PH buat sekarang, saya cakap kita perlu maju ke hadapan dan terangkan agenda kita. Ini ‘Malaysia Baharu’. Betul orang Melayu adalah kaum majoriti tetapi kepentingan bangsa lain seperti Cina, India, Kadazan, Iban dan banyak lagi perlu dijaga dan dibawa sekali.
Jangan kita memainkan isu perkauman kerana semua negara yang memperkotak-katikkan isu perkauman kini sudah hancur dan lebih parah adalah soal tata kelola. Jangan biarkan golongan elit politik membolot kek semua.
- Ada desakan supaya Datuk Seri meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada pemimpin lebih muda menerajui PKR. Datuk Seri setuju?Perkara itu sudah berlarutan lebih 20 tahun tetapi apa yang saya lakukan adalah untuk membuka sebanyak mungkin ruang kepada barisan kepimpinan muda.
Jadi pasukan yang akan ketuai PKR kelak akan terus memberi ruang kepada seramai mungkin anak muda dan wanita tidak kira mereka menang atau kalah dalam pemilihan PKR nanti.