KETUA PEMBANGKANG, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan membersihkan negara daripada amalan rasuah dan salah urus tadbir kerajaan sekiranya diberi mandat menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Tanpa... Klik di sini untuk terus membaca

KETUA PEMBANGKANG, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan membersihkan negara daripada amalan rasuah dan salah urus tadbir kerajaan sekiranya diberi mandat menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tanpa mempertahankan kesemua keterlanjuran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sewaktu mentadbir negara selama 22 bulan selepas PRU14, Anwar sebaliknya mengajak semua pihak memandang ke hadapan dengan beliau sendiri bersedia mempertahankan langkah-langkah positif diambil kerajaan PH pada masa itu.

Bagi meraih mandat rakyat, Pengerusi PH itu turut meminta semua pihak dalam PH bekerja lebih keras di samping berfikiran lebih terbuka dalam menilai setiap janji manifesto pilihan raya lalu sama ada ia membantu atau menekan rakyat.

"Mereka kena lihat dalam sesi debat (Datuk Seri) Saifuddin (Nasution Ismail) dan Rafizi (Ramli), (pengisian) dialog mereka ada kebenaran. Ada (polisi kerajaan PH) yang membantu dan ada yang menyukarkan rakyat.

"Jadi sementara kita boleh sebut perkara positif berkenaan manifesto kerajaan PH, tetapi ada kenyataan pemimpin PH yang tolak manifesto selain usaha memperkenalkan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) tanpa berbincang dengan pihak tertentu terlebih dahulu. Tindakan itu tidak betul.

"Saya tidak mempertahankan semua keterlanjuran PH. Tetapi apa yang penting, sekiranya diberi mandat pimpinan PH dan menang pilihan raya, kita mahu bersihkan rasuah,” ujarnya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di pejabatnya di Jalan Gasing di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut mengenai usaha membanteras rasuah, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mengakui pihaknya bakal berdepan cabaran sangat besar untuk mendedahkan setiap perbuatan rasuah yang sudah lama berakar umbi di negara ini.

Anwar ketika menjawab soalan daripada wartawan Sinar Harian di pejabatnya di Jalan Gasing di sini, pada Khamis.

Hal ini kerana beliau menjangkakan semua pihak yang terlibat dengan kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa akan bersekongkol untuk menentang pihaknya.

"Tidak mudah kerja sebegitu. Kami hendak disuruh lawan macam mana lagi? Kami sudah cabar Perdana Menteri, tuntut supaya semua institusi penting digerakkan bagi tujuan penyiasatan kes rasuah.

"Semua institusi penting membanteras rasuah seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu buat siasatan telus.

"Tetapi kalau mengiyakan sahaja cadangan itu dan ibarat kata orang Kedah ‘Huruf Ya yang tiada titik’ atau angguk yang tidak dilaksanakan, tidak berguna. Jadi sementara kita bangkang keras, bagi saya, komitmen pelaksanaannya lebih penting,” katanya.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut melihat kejayaan negara menyelesaikan isu rasuah adalah aspek fundamental yang perlu diselesaikan sebelum kerajaan memberi fokus kepada permasalahan rakyat.

Klik di sini untuk terus membaca