PETALING JAYA - "Saya tidak akan hidup 1,000 tahun lagi untuk terus kekal dalam kepimpinan parti.”
Demikian pengakuan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu ditanya sama ada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal menjadi medan terakhir beliau untuk menjayakan agenda reformasi politik negara bersama parti dan Pakatan Harapan (PH).
Jelas Ahli Parlimen Port Dickson itu, hal ini kerana agenda paling penting perlu dicapai parti sekarang adalah memperkukuh wadah kepimpinan PKR dan PH.
Ujarnya lagi, beliau dan PKR juga harus bekerja keras untuk memperkasa parti selain merangka strategi bagi menghadapi PRU15.
"Agenda reformasi adalah proses berterusan sama seperti kerja dakwah Islamiah. Jadi kalau nak selesaikannya, mungkin saya kena hidup 100 tahun atau 1,000 tahun lagi.
"Namun, saya juga sedar saya tidak akan hidup sehingga 1,000 tahun dan terus kekal dalam kepimpinan parti.
"Paling penting, bagi saya, Keadilan (PKR) dan PH kena bekerja keras dan perkukuh strategi bagi menghadapi PRU15,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Sinar Harian.
Reformasi adalah sebuah gerakan yang dimulakan Anwar bagi menuntut pembaharuan politik dan pentadbiran negara selepas pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2 September 1998.
Mengulas lanjut, Anwar menempelak segelintir pihak yang cuba memperbesarkan soal beliau dikatakan bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri.
Tegasnya, soal beliau menjadi Perdana Menteri hanyalah satu faktor kecil, malah beliau tidak menolak kemungkinan dirinya boleh tersingkir pada PRU15.
"Mana saya tahu jika saya akan tersingkir dalam pilihan raya akan datang. Kenapa kita harus tumpu kepada soal personaliti sahaja, walaupun ada faktor lain (yang menyumbang kemenangan PRU),” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca