MASIH panas perbincangan nak wujudkan Akta Lompat Parti, tiba-tiba seorang lagi ahli Parlimen dah melompat ke parti lain. Kali ini bukan kecil anak orang yang melompat itu.
Beliau adalah Datuk Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen Ampang dan Menteri Perladangan dan Komuniti dalam kabinet Tuk Seri Ismail Sabri.
Sebelum ini, Zuraida pernah melompat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Masa itu, beliau ikut Tuk Seri Azmin sebab tak puas hati apa yang berlaku dalam PKR. Apabila Azmin dan gang terlibat dalam Langkah Sheraton, Zuraida ikut serta.
Tuk Seri Anwar Ibrahim tak terkejut dengan tindakan Zuraida. Kata Presiden PKR itu; "Dia (Zuraida) ada sejarah begitu. Maka, tak mustahil akan berulang lagi”.
Kali ini, Zuraida masuk Parti Bangsa Malaysia (PBM) sebuah parti kecil yang didaftarkan pada 27 Oktober 2021. Awang sebetulnya tak tahu sangat tentang parti ini.
Tapi Zuraida kata, ia parti yang sesuai dengan dirinya. Mungkin PKR dan Bersatu tak sesuai dengan selera politiknya. Atau beliau memang suka tukar kapal.
Sudah tentulah tindakan Zuraida itu akan perhebatkan semula perbincangan tentang Akta Lompat Parti. Mungkin ia peluang terbaik untuk bahawa akta itu ke Parlimen secepat mungkin.
Bagi rakyat terbanyak, mereka mahukan ahli Parlimen yang ada prinsip dan berintegriti serta tak mahu wakil mereka melompat parti sesuka hati.
Jangan sampai tindakan Zuraida menambah lagi persepsi rakyat bahawa orang politik sememangnya tidak berprinsip dan tidak beretika.
Hari esok (Ahad) adalah Hari Wartawan Nasional atau Hawana 2022. Awang turut berbangga para wartawan dihargai oleh negara.
Klik di sini untuk terus membaca