PERGERAKAN sebuah asteroid yang sebesar dua kali bangunan tertinggi dunia, Burj Khalifa di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mencipta sejarah tersendiri apabila kedudukannya berada dekat dengan bumi, pada Jumaat.
Ia yang dikenali dengan nama 1989 JA yang berada pada kira-kira empat juta kilometer dari bumi iaitu bersamaan dengan lebih 10 kali ganda jarak antara planet tersebut dengan bulan.
Asteroid itu sepanjang 1.7 kilometer, selebar dua kilometer dan bergerak dengan kelajuan kira-kira 48,280 kilometer sejam (km/j) dan saiznya juga sebesar empat kali ganda bangunan Empire States di New York, Amerika Syarikat (AS).
Tinggi bangunan Empire States itu ialah 381 meter manakala Burj Khalifa pula setinggi 828 meter dan asteroid tersebut ditemui pada tahun 1989 oleh seorang ahli astronomi wanita, Eleanor Helin di Balai Cerap Palomar, California Selatan, AS.
Bagaimanapun, penduduk dunia tidak perlu risau tentang keselamatan diri kerana ia berada kira-kira empat juta kilometer dari planet tersebut iaitu satu kedudukan yang jauh untuk menghentam bumi.
Pergerakannya ketika melintasi bumi adalah 17 kali ganda daripada kelajuan sebutir peluru melalui udara.
Pada kelajuan itu, asteroid tersebut boleh mengelilingi bumi dalam masa 45 minit, kata Franck Marchis iaitu Ketua Pegawai Saintifik Syarikat Teleskop Unistellar dan juga seorang ahli astronomi planet kanan di Institut SETI dipetik sebagai berkata oleh akhbar USA Today.
Sejak awal tahun 2022, ia merupakan asteroid yang terbesar setakat ini melintasi bumi.
Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), asteroid itu berada paling hampir dengan bumi dalam tempoh 172 tahun.
KELILING BUMI
Asteroid ialah sebuah objek kecil berbatu yang mengelilingi matahari di dalam galaksi Bima Sakti dan ketika ini ia didefinisikan sebagai objek dengan mempunyai saiz diameter melebihi 50 meter.
Saiz asteroid adalah lebih kecil dari planet tetapi lebih besar jika dibandingkan dengan meteorit iaitu batu meteor yang menghentam permukaan bumi selepas memasuki atmosferanya.
Pada Februari 2013, meteor Chelyabinsk memasuki atmosfera bumi dan menghentam wilayah Ural Selatan, Rusia sehingga ia merosakaan beribu-ribu bangunan dan mengakibatkan kerosakan infrastruktur bernilai berjuta-juta dolar AS.
Menurut badan penyiaran BBC, hentaman meteor itu juga menyebabkan lebih 1,000 orang cedera dan kuasa letupannya bersamaan dengan 500,000 tan trinitrotoluena (TNT).
Hentaman itu mendedahkan kelemahan pihak berkuasa angkasa lepas yang memandang rendah terhadap mana-mana meteor yang menghentam bumi.
Bagaimanapun, asteorid 1989 JA dianggap sebagai satu asteoid yang mempunyai potensi bahaya jika ia pergerakannya di angkasa lepas berubah kerana ia boleh menghentam bumi.
Telefon Virtual pada awal bulan ini berkongsi visual asteroid yang menunjukkan ia menghala ke arah Bumi.
"Asteroid yang berpotensi berbahaya 1989 JA masih dalam perjalanan dengan selamat, " menurut kenyataab Teleskop Virtual itu di Twitter.
Ia adalah antara 29,000 batu angkasa yang berada di bawah pemerhatian berterusan oleh ahli-ahli astronomi.
Asteroid itu juga dikenali sebagai Asteroid Appolo kerana ia beredar mengelilingi matahari semasa melintasi orbit Bumi. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca