SHAH ALAM - Terpaksa menjual gelang emas! Itu pengalaman yang dikongsi seorang wanita, Ayuni Ahmad bagi membayar kos keseluruhan pengurusan jenazah datuknya yang dikenakan harga lebih RM5,000.
Berlaku pada tahun lepas Ayuni berkata, setelah datuknya meninggal dunia akibat Covid-19 di sebuah hospital di pantai timur, dia diminta oleh pihak berkenaan untuk membayar kos pengurusan jenazah Allahyarham.
"Kos sangat tinggi, masa itu dalam kepala ini, saya tak fikir apa dah, nak cari duit kat mana? Saya ingat ada gelang kat tangan masa itu, jadi terpaksa jual gelang dan dapatlah dalam RM3,400,” katanya.
Jelasnya, kos keseluruhan pengurusan jenazah datuknya lebih daripada RM5,000.
"Kos penghantaran jenazah atok RM2,800 menaiki van untuk dihantar ke kampung (jarak 190 kilometer), kos urus jenazah RM1,200, kos pengebumian RM1,300 dan tahlil sebanyak RM300,” katanya.
Akuinya, mujurlah selepas itu ada ahli keluarga terdekat yang turut menghulurkan duit untuk menggenapkan caj keseluruhan pengurusan jenazah sebanyak RM5,000 itu.
"Selepas urusan selesai, dalam seminggu saya pulangkan semula wang keluarga yang dipinjamkan kepada saya,” katanya.
Mengulas mengenai situasi dihadapi oleh Ayuni, sukarelawan logistik, NGO VCEE Malaysia, Muhamad Lutfi Hakimi Abdullah menyifatkan ia terlalu mahal dan tidak relevan.
"Dia (Ayuni) dikenakan sehingga RM5,000 lebih. Bagi saya kos yang dikenakan itu agak melampau. Sebenarnya kos penghantaran jenazah oleh pihak pengurusan itu sangat tinggi.
"Kalau diikutkan rasionalnya, paling tinggi pun tak sampai ratusan ringgit,” katanya.
Dalam pada itu, Muhamad Lutfi tidak menolak kemungkinan Ayuni telah diperdaya oleh kumpulan pengurusan jenazah yang tidak bertanggungjawab.
"Kena ingat kita lakukan fardhu kifayah. Bagi kami kos untuk pengurusan jenazah sepatutnya tidak perlu melebihi sehingga RM1,000,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca