SHAH ALAM - "Kalau ambil upah berpatutan ok lah, jika sengaja melakukan eksploitasi itu memang haram. Kita harap mereka faham dan bertimbang rasa kepada insan yang mendapat kesusahan dan kesedihan. Jangan ambil kesempatan.”
Demikian penegasan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berhubung pendedahan Rasuah Busters mengenai kewujudan kumpulan pengurusan jenazah yang mengaut keuntungan mengambil kesempatan terhadap waris keluarga jenazah.
Tegasnya, sesuatu pekerjaan yang dilakukan itu haruslah bersifat jujur dan tidak menzalimi orang lain.
"Pekerjaan itu dianggap mulia sekiranya ia disusuli dengan sikap bertimbang rasa, bertoleransi dan tidak mengambil kesempatan.
"Kerja dengan jujur dan kita ambil upah yang munasabah. Kalau ambil keuntungan yang tidak munasabah itu haram, berdosa,” katanya.
Jelasnya, bagi mengatasi masalah ini, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sekiranya didapati ada yang masih berdegil melakukan perbuatan berkenaan.
"Segera ambil tindakan, kita denda atau sebagainya. Kena pantau dan ambil tindakan bagi perkara ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail berkata, dalam perniagaan, ia dibenarkan tetapi perlu ‘membantu’ bukannya bersifat menzalimi.
"Kepercayaan prinsip dalam al-Quran itu adalah dibenarkan (perniagaan) seperti mana yang dinyatakan. Dalam surah Saba, bila mana mereka itu sudah maju, hendakkan lebih kekayaan untuk memanipulasi bisnes, maka dengan sebab itu membawa kepada kehancuran, yakni mendapat hukuman daripada ALLAH,” katanya kepada Rasuah Busters.
Jelasnya, Islam memperkenalkan konsep takwa untuk menjauhi sikap menzalimi orang lain.
Jelasnya lagi, isu kartel berlaku salah satunya sebab ia tiada ketelusan di mana satu pihak sahaja yang boleh mengawal sesuatu industri contohnya kartel ayam dan daging.
"Tetapi kalau telus dan dibuat tender terbuka, maka ia memberi lebih banyak ruang kepada pengguna untuk mendapatkan perkhidmatan yang lebih baik. Mungkin harga sama tetapi perkhidmatan yang lebih baik atau harga yang rendah,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca