SUATU kebenaran adalah seumpama tiang seri teguh berdiri menampung keseimbangan sesebuah rumah. Tanpa kebenaran, masyarakat akan runtuh sebagaimana runtuhnya rumah berkenaan. Selain itu, pendukung kebenaran bukan sahaja dihormati dalam... Klik di sini untuk terus membaca

SUATU kebenaran adalah seumpama tiang seri teguh berdiri menampung keseimbangan sesebuah rumah. Tanpa kebenaran, masyarakat akan runtuh sebagaimana runtuhnya rumah berkenaan. Selain itu, pendukung kebenaran bukan sahaja dihormati dalam kalangan masyarakat, malah diangkat darjatnya oleh ALLAH SWT di dunia dan di akhirat.

Namun, menegakkan sesuatu kebenaran bukanlah mudah kerana setiap kebenaran membawa kepahitan. Justeru, kerana takutkan kepahitan, masih ramai yang menolak kebenaran.

Sebetulnya, ALLAH SWT telah memberi peringatan betapa kelompok yang menolak kebenaran sentiasa wujud dalam masyarakat seperti firman-Nya: "Atau kerana mereka mengatakan ‘Dia kena penyakit gila?’ (Sebenarnya bukan kerana sesuatu pun daripada yang tersebut itu) bahkan kerana Rasul mereka datang kepada mereka membawa agama yang tetap benar dan tabiat kebanyakan mereka tidak suka kepada sebarang kebenaran.” (Surah Al-Mukminun, 23:70).

Selain itu, kelompok yang menolak kebenaran tidak bersungguh-sungguh menolak kepalsuan atau kemungkaran terhadap ALLAH SWT sejajar dengan sabda Rasulullah SAW: "Tidaklah kemaksiatan yang dilakukan sesuatu kaum, kemudian mereka (sebahagian daripada mereka) mampu untuk mengubahnya tetapi mereka tidak berbuat sedemikian, melainkan ALLAH SWT akan timpakan keseluruhan kaum tersebut dengan azab.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Pendek kata, apabila tingkah laku menolak kebenaran sudah menjadi tabiat, semakin sukar mereka kembali ke pangkal jalan. Menurut Rosenthal (2011) menerusi artikelnya, Habit Formation menjelaskan, tabiat lama sukar dikikis dan tabiat baharu sukar terbentuk kerana pola kelakuan yang kita telah ulangi telah tersemat dalam jalan-jalan saraf kita.

Bagaimanapun, tabiat baharu boleh dibentuk melalui pengulangan tingkah laku yang baharu. Ia bermakna, tanpa berusaha mengubah pola kelakuan yang lama, sikap menolak kebenaran akan kekal sampai bila-bila. Persoalannya, mengapa mereka bersungguh-sungguh menolak kebenaran?

MEMANDANG RENDAH

Menurut Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin Rahimullah, seorang ulama yang dihormati kehebatan ilmunya menjelaskan orang yang menolak kebenaran adalah seorang yang sombong dan memandang rendah terhadap manusia.

Menolak kebenaran adalah berkait dengan sikap suka membantah dan meremehkan pandangan orang lain serta sering menganggap dirinya melebihi orang lain dan begitu takjub dengan pendapatnya sendiri. Selain itu, suka memenangkan dirinya sendiri dan tidak mungkin menarik balik pandangan mereka walaupun salah.

Walhal, menarik balik perkataan yang salah dan kembali kepada kebenaran bukanlah bermakna merendahkan kedudukannya, namun situasi tersebut adalah mengangkat kedudukannya di sisi masyarakat. Pun begitu, masih ramai yang berdegil dengan keterujaan kepada diri sendiri.

Pada hemat saya, selain kesombongan dan merendahkan orang lain, masih ramai menolak kebenaran kerana telah ‘dituba’ dengan pelbagai ganjaran meralitkan.

Siapa yang tidak mahu kesenangan jika ditawarkan seribu jenis kemanisan? Lantaran itu, ‘kemanisan’ itulah mendorong mereka membela individu dan kelompok tertentu walaupun secara terang-terangan di hadapan mata melakukan sesuatu yang salah.

Yang jelas, sesuatu yang manis hanya memberi kelekaan seketika, sebaliknya kemudaratan akan meracuni diri sedikit demi sedikit sehingga tersungkur tanpa disedari. Ingatlah, kepalsuan akan tetap kalah dengan kebenaran.

Hanya masa dan ketikanya kebenaran akan muncul menenggelamkan kepalsuan. Ya benar, kebenaran tidak akan hadir dalam sehari dua. Malah, ada yang telah menghadap ALLAH SWT sebelum sesuatu kebenaran terungkai.

Namun, jika sepanjang hayat kita menegakkan kebenaran tetapi ditentang kebenaran oleh mereka yang angkuh dan berkepentingan, kita tetap menang di hari penghakiman nanti. Beruntunglah mereka yang sedar akan kebenaran sebelum dihempap kecelakaan di dunia dan di akhirat.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Klik di sini untuk terus membaca