ENCIK Husin mengesat peluh di dahinya. Kesejukan pendingin hawa kereta tidak dirasai. Panas, hangat, menegangkan emosi. Beliau sudah lambat ke tempat kerja. Kebetulan ada mesyuarat penting. Mulutnya tidak leka mencerca. Memaki situasi jalan... Klik di sini untuk terus membaca

ENCIK Husin mengesat peluh di dahinya. Kesejukan pendingin hawa kereta tidak dirasai. Panas, hangat, menegangkan emosi. Beliau sudah lambat ke tempat kerja. Kebetulan ada mesyuarat penting.

Mulutnya tidak leka mencerca. Memaki situasi jalan raya yang sesak. Sekejap bergerak sekejap berhenti. Makiannya, entah kepada siapa ditujunya.

Bak kata pepatah, mulutnya pasang masuk muara. Masa yang suntuk, entah sempat atau tidak. Sekali lagi mulutnya ibarat serigala dengan buah anggur, bak kata pepatah Melayu lama lagi.

Memang ramai yang merungut sejak akhir-akhir ini. Jalan raya kembali sesak di mana-mana. Di Kuala Lumpur apatah lagi. Berpusu-pusu kereta cuba memasuki pusat bandar raya. Kebanyakannya dalam perjalanan untuk ke tempat kerja.

Keadaan sesak mutakhir ini katanya amat luar biasa. Mungkin disebabkan rakyat kembali bekerja atau ramai orang yang sudah memiliki kereta. Maklumlah duit daripada Pengeluaran Khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini boleh sahaja dijadikan bayaran muka.

Di kampung atau bandar kecil juga semakin sesak. Mungkin ramai yang sudah berhijrah ke kampung kerana kehilangan kerja sebelum ini.

Di bandar Tangkak juga sesak dengan kereta terutama hujung minggu. Hendak melintas jalan pun agak sukar ketika saya hendak ke kedai tomyam.

Saya terpaksa berhati-hati supaya tidak dilanggar kereta. Saya memang suka berjalan kaki. Sekadar untuk saya mengeluarkan peluh demi menjaga kesihatan.

Di Tangkak tiada perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT). Amat sesuai berjalan kaki sambil menikmati kedai-kedai kain yang berselerak di sepanjang jalan. Kedai makan pun banyak.

Semasa saya dipindahkan ke Petaling Jaya, Selangor, saya tidak membawa kereta. Saya hanya menggunakan LRT. Sengaja saya mencari bilik sewa yang berdekatan dengan stesen LRT.

Kebetulan tempat kerja saya juga betul-betul di hadapan stesen LRT. Setahun saya di sana, dapat mengurangkan berat badan hampir empat kilogram.

Namun, balik ke Kedah, berat badan saya kembali kepada berat asal. Mungkin di Tangkak, berat badan saya akan kembali turun, hasil usaha gigih saya berjalan kaki setiap malam.

Mungkin kerajaan kita perlu mengambil tindakan cepat untuk memperkasakan perkhidmatan pengangkutan awam. Secepat naiknya air di Kuala Lumpur yang menyebabkan banjir baru-baru ini.

Kerajaan perlu mengehadkan penggunaan kereta untuk mereka yang ingin memasuki bandar atau ibu kota. Stesen-stesen LRT perlu ditambah. Kalau boleh di depan muka pintu rumah rakyat jelata.

HADKAN KENDERAAN MASUK BANDAR

Pada masa yang sama, hadkan kepada kenderaan awam seperti bas, teksi dan Grab sahaja untuk memasuki bandar raya. Ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesesakan dan pencemaran.

Amat penting untuk kerajaan berfikir semula. Dalam sebuah buku ditulis oleh Adam Grant bertajuk Think Again, kebanyakan orang, mungkin juga kerajaan tidak berminat untuk berfikir semula.

Ini kerana ia mungkin menyebabkan atau menampakkan keputusan yang diambil sebelum ini salah dan merosakkan reputasi kerajaan itu sendiri. Mungkin ego juga memainkan peranan.

Menurut Adam Grant, manusia memiliki minda bersamaan dengan tiga profesion. Pertama, kita suka menjadi pendakwah. Kedua, kita akan bertukar daripada pendakwah kepada pendakwa, kemudian kita akan jadi ahli politik pula.

Kita akan menjadi pendakwah apabila kepercayaan kita diganggu gugat. Dengan itu kita akan menggunakan kepercayaan atau menyampaikan khutbah atau apa sahaja untuk ditunggangi demi melindungi apa yang kita percaya.

Untuk melindungi kepercayaan itu, kita akan bertukar menjadi penuduh atau pendakwa dengan menuduh cadangan orang lain tidak boleh diterima pakai. Kita akan mula mencari sebab untuk buktikan cadangan orang lain itu salah.

Seterusnya kita akan menjadi ahli politik. Kita akan mengumpul penyokong atau pentaksub kita untuk menyokong cadangan kita. Kita akan berkempen dan melobi untuk mendapat sokongan padu.

Hakikatnya, kita jarang atau tidak mahu berfikir semula dan terbuka dengan cadangan orang lain. Kita tidak mahu berfikir semula untuk menyesuaikan mengikut keadaan semasa dan setempat.

Dengan kata lain, kita tidak mahu cuba menjadi ahli sains yang senantiasa terbuka dan ragu akan hasil dapatan demi mencari dapatan yang tepat. Tanpa mempertahankan idea sendiri itu berkesan atau tidak melainkan kebenaran semata-mata.

Kalau tidak bermindakan saintis, maka bak kata pepatah Melayu, tak berasak lenggang daripada ketiak.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Klik di sini untuk terus membaca