KUALA LUMPUR - Satelit ke-10 negara, Measat-3d akan dilancarkan secara rasmi pada 23 Jun depan, sekali gus membantu menyediakan prasarana teras bagi industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta penyiaran negara yang lebih canggih.... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Satelit ke-10 negara, Measat-3d akan dilancarkan secara rasmi pada 23 Jun depan, sekali gus membantu menyediakan prasarana teras bagi industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta penyiaran negara yang lebih canggih.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azlikamil Napiah berkata, Measat-3d yang juga satelit komunikasi itu akan dilancarkan menggunakan roket Ariane 5 dari Pusat Angkasa Lepas Eropah di Kourou, French Guiana.

Menurutnya, peristiwa bersejarah itu juga akan disaksikan delegasi dari Malaysia termasuk MYSA selaku peneraju angkasa negara dan wakil-wakil Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).

"Satelit milik syarikat swasta, Malaysia East Asia Satellite Global Berhad (Measat) itu dibangunkan oleh Airbus dengan kos sekitar RM1.2 bilion dan dijangka mempunyai jangka hayat sehingga 18 tahun.

"Signifikannya pelancaran satelit baharu ini ialah sudah sampai masanya untuk menggantikan satelit komunikasi Measat yang sudah tidak aktif dan berfungsi. Ini adalah satelit keenam Measat dengan dua daripadanya masih aktif beroperasi,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Ahad.

Azlikamil berkata, antara manfaat daripada satelit baharu itu ialah liputan komunikasi yang lebih meluas kerana kapasitinya ditambah.

Selain itu, katanya, ia juga akan membantu aspek IoT (Internet Of Thing) dari segi komunikasi, internet, kelajuan penghantaran data, data komunikasi dan telefon yang dipertingkatkan kapasitinya.

"Ia juga akan memulihkan redundansi dalam orbit dan kapasiti pengembangan untuk perkhidmatan Direct-to-Home (DTH) Astro bersama perkhidmatan penyiaran dan telekomunikasi di rantau ini.

"Satelit itu juga menyediakan kapasiti C dan Ku-Band konvensional untuk memastikan pertumbuhan dan kesinambungan perkhidmatan bagi penyiar terkemuka dunia dan televisyen satelit DTH kepada lebih 20 juta isi rumah di seluruh Malaysia, Indonesia dan India,” jelas beliau.

Azlikamil

Sementara itu, Azlikamil berkata, Malaysia memantau secara teliti dan serius terhadap tujuh daripada sembilan satelit negara yang sudah tidak aktif bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, sekali gus boleh menyebabkan bencana besar di angkasa.

Buat masa ini, katanya, hanya dua satelit negara yang masih aktif iaitu Measat-3a dan Measat-3b yang dilancarkan pada tahun 2009 dan 2014 dan mempunyai jangka hayat kira-kira 15 tahun serta dijangka terus beroperasi sehingga tahun 2024 dan 2029.

Tujuh satelit milik negara yang direkodkan sebagai tidak aktif, antaranya satelit komunikasi Measat-1 dan Measat-2 yang dilancarkan pada tahun 1996, disusuli Measat-3 (2006).

MALAYSIA BAKAL MILIKI TEKNOLOGI SATELIT SENDIRI

Dalam pada itu, Malaysia bakal memiliki teknologi bagi penciptaan dan pembuatan satelit pada masa hadapan menerusi kerjasama kerajaan dan swasta dalam Public-Private Partnership (PPP).

Azlikamil berkata, Malaysia sudah memulakan usaha ke arah itu dengan mengiklankan Request for Proposal (RFP) bagi pembangunan satelit penderiaan jarak jauh ketiga negara yang dibuka pada 18 Mei lalu.

Menurutnya, walaupun Malaysia sudah lama menggunakan teknologi angkasa, namun dalam kelompok penciptaan dan pembuatan masih di peringkat awal.

"Apa yang kita cuba rancangkan ialah kita mahu teknologi itu dibawa ke negara kita dan dibuat di sini. Apa yang kita hasratkan, ia membuka luas ruang pekerjaan kepada rakyat kita.

"Pada masa ini, negara masih bergantung kepada keupayaan antarabangsa untuk mengakses sistem angkasa. Maka pembangunan kepakaran dan ilmu pengetahuan perlu dilaksanakan melalui jalinan kerjasama dengan pihak luar.

"Pemindahan teknologi maju angkasa seperti teknologi satelit, pelancar, sistem antena dan teknologi kecerdasan buatan dalam pemprosesan data besar bagi pembangunan kepakaran dalam industri tempatan boleh dilaksanakan melalui kerjasama dengan agensi kecemerlangan di negara-negara maju dalam bidang teknologi angkasa space-faring nation,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Ahad.Sementara itu, Azlikamil berkata, kerajaan selama ini lebih memfokuskan aktiviti industri hiliran yang mana negara hanya bertindak sebagai pengguna.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan negara akan ketandusan maklumat sekiranya pembekal tidak mahu lagi membekalkan data pada masa akan datang.

"Kita dapat data dan menggunakannya, namun sampai satu peringkat, jika pembekal tidak lagi mahu membekalkan data, kita akan ketandusan maklumat dan tidak mampu lagi melaksanakan pembangunan aplikasi yang sedang dilaksanakan.

"Justeru, kita mahu bergerak daripada pengguna kepada pembuat, pencipta dan pembekal perkhidmatan. Inilah rantaian yang cuba dibangunkan.

"Untuk membangunkannya, bukan sahaja kita perlukan dasar yang betul tetapi kita perlu satu perundangan yang mampu menyokong pertumbuhan industri. Inilah Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834),” ujarnya.

Tambah beliau, pelaksanaan akta itu menyaksikan peningkatan minat pelabur asing terhadap Malaysia khususnya untuk membangunkan teknologi berkaitan angkasa lepas.

Klik di sini untuk terus membaca