HARI ini kita menyambut Hari Wartawan Nasional (Hawana) buat kali kedua dalam sejarah. Kita boleh berbangga dengan tradisi kewartawanan negara yang panjang dan penuh sejarah perjuangan sehingga berjaya mencapai kemerdekaan. Sejak 1800-an,... Klik di sini untuk terus membaca

HARI ini kita menyambut Hari Wartawan Nasional (Hawana) buat kali kedua dalam sejarah. Kita boleh berbangga dengan tradisi kewartawanan negara yang panjang dan penuh sejarah perjuangan sehingga berjaya mencapai kemerdekaan.

Sejak 1800-an, akhbar telah memainkan peranan penting di Tanah Melayu, bukan sekadar melaporkan tetapi membina jalan sebuah negara bangsa merdeka. Perbahasan perjuangan kemerdekaan, penentangan terhadap penjajah, perdebatan intelektual Islam antara golongan tua dan muda, pembinaan jati diri bangsa, bahasa dan tanah air disuburkan.

Wartawan atau journalist adalah satu segmen penting dalam sejarah ketamadunan manusia bukan sahaja di Malaysia, malah hampir di semua bahagian dunia. Pentingnya kewartawanan sehinggakan ahli falsafah Inggeris, Thomas Carlyle mengisytiharkan akhbar sebagai Fourth Estate of the Realm atau cabang keempat demokrasi Britain selepas Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman.

Carlyle menganggap wartawan mempunyai peranan sebagai pemantau perjalanan tiga lagi komponen kerajaan dan memastikan kepentingan rakyat serta negara terjaga.

Di negara kita, sejarah persurat-khabaran bermula seawal 1805 dengan penerbitan akhbar berbahasa Inggeris, Prince of Wales Island Gazette di Pulau Pinang. Akhbar bahasa Melayu pertama ialah Jawi Peranakan diterbitkan di Singapura pada 1876. Selepas itu muncul beberapa akhbar bahasa Melayu yang patah tumbuh hilang berganti sehinggalah munculnya Utusan Melayu diterbitkan buat pertama kali pada 29 Mei 1939.

Sejak itu, kewartawanan dan surat khabar tidak boleh dipisahkan walaupun kemudiannya muncul radio dan televisyen. Kewartawanan berevolusi dengan teknologi elektronik, namun kewartawanan bercetak terus berkembang sehinggalah internet muncul mengambil alih peranan tersebut menjelang millenia baharu (2000).

Sebenarnya sambutan Hawana 2022 agak sinikal dan melucukan. Kita mempunyai tradisi kewartawanan lebih 100 tahun, namun baru dua kali menyambut hari wartawan pada saat dunia kewartawanan pun hampir pupus ditelan zaman digital. Tarikh 29 Mei dipilih sebagai sambutan Hawana mengambil sempena kelahiran Utusan Melayu 80 tahun lalu. Malangnya setahun selepas itu, Utusan sendiri menemui noktahnya.

PEMBURU LIKER, VIEWER

Pun begitu, pada 20 Julai 2022, Utusan membuat kemunculan semula. Entah mengapa pemilik Utusan yang baharu tidak langsung peduli tarikh 29 Mei untuk dijadikan mercu tanda kelahiran semula.

Lantas kita menyambut Hawana hari ini dan pada masa-masa mendatang pada tarikh yang kita akan kenang bagaimana Utusan yang gemilang itu telah mati.

Namun, realitinya bukan sekadar Utusan telah mati. Utusan baharu dan media-media percetakan lain sedang nazak mungkin menunggu saat ditalkinkan jika tiada perubahan kesedaran dalam kalangan peneraju pentadbiran dan industri negara.

Ia berkait rapat dengan sikap sebahagian besar rakyat dan kepimpinan negara yang tidak meletakkan tradisi intelektualisme dan pengetahuan sebagai kepentingan utama negara.

Pemimpin marah rakyat mudah terpengaruh dengan gosip, berita menyesatkan (mislead) dan penipuan. Rakyat kecewa apabila maklumat tidak sampai kepada mereka.

Tapi mereka sendiri tidak berminat untuk memainkan peranan dan menyumbang ke arah maklumat bertanggungjawab dan benar. Rakyat sama juga, sikap malas membaca menyebabkan mereka bukan sahaja tiada maklumat, malah sedikit demi sedikit membunuh media yang membawa maklumat berkualiti.

Kewartawanan negara sedang berubah dari menjadi cabang keempat dalam pengurusan negara demokrasi kepada generasi baharu yang muncul tanpa didikan dan etika, melakukan pelaporan sensasi, menyesatkan dan bersifat tuduhan.

Cabaran dunia atas talian dan media sosial terlalu besar untuk ditangani secara bersendirian oleh syarikat-syarikat penerbitan akhbar. Bukan sahaja akhbar bercetak, malah akhbar digital dan atas talian juga berdepan jalan sukar.

Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terutama yang memonopoli perniagaan harus ada keutamaan memastikan kelangsungan media yang menyumbang kepada kecerdikan dan keilmuan rakyat.

Realitinya kewartawanan sebenar yang objektif, berfakta dan rasional sedang menuju kematian, diganti oleh penyebar berita palsu, wartawan propaganda serta wartawan pemburu likers dan viewer.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca