SETIAP hari kita akan membaca mengenai banyak permohonan mendapatkan permit menjual minuman memabukkan di Malaysia.Peraturan yang berkuat kuasa sekarang mengkehendaki orang yang berhasrat menjual minuman memabukkan hendaklah mendapat permit... Klik di sini untuk terus membaca

SETIAP hari kita akan membaca mengenai banyak permohonan mendapatkan permit menjual minuman memabukkan di Malaysia.

Peraturan yang berkuat kuasa sekarang mengkehendaki orang yang berhasrat menjual minuman memabukkan hendaklah mendapat permit atau lesen menjual minuman itu dan mestilah mengiklankan hasratnya bagi mengetahui sama ada terdapat bantahan oleh orang ramai atau sebaliknya.

Objektif peraturan itu memanglah baik bagi mengawal penjualan minuman memabukkan secara berleluasa dan ia sejajar dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Namun hakikatnya, masih banyak kedai yang menjual minuman memabukkan secara terbuka.

Ia mendatangkan keresahan dalam kalangan orang Islam khususnya, apabila premis menjual arak itu terlalu hampir dengan kawasan perumahan yang majoritinya didiami orang Islam ataupun di premis yang dibuka 24 jam sehari.

Kegusaran itu ditambah lagi apabila kita mendapati minuman memabukkan itu diletakkan sebaris dengan minuman lain. Sensitiviti umat Islam langsung tidak diambil kira dalam hal ini.

Bukan itu sahaja, sebahagian permit diberikan itu juga menganjurkan perlakuan jenayah di sisi undang-undang, misalnya Seksyen 18 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 memperuntukkan – 18(1) Mana-mana orang yang di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman memabukkan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(2) Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman memabukkan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

TIDAK DIBERKATI

Maknanya, bukan sahaja minum minuman memabukkan salah di sisi undang-undang, malah orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman memabukkan juga melakukan jenayah menurut enakmen yang sama.

Pihak berkuasa hendaklah berhati-hati dalam meluluskan lesen penjualan minuman memabukkan dan sudah sewajarnya memberi syarat khusus bahawa kakitangan yang terlibat dalam membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman memabukkan hendaklah tidak terdiri dalam kalangan orang Islam.

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyarankan jika lesen penjualan minuman memabukkan itu diberikan, pihak berwajib perlu mengawal bilangan lesen yang diberikan di sesuatu tempat, memastikan syarat bahawa majikan tidak boleh memaksa, mengarah pekerja Islam mengendalikan penjualan arak sama ada kepada orang Islam atau orang bukan Islam.

Sudah tentu ada pula yang mengatakan syarat disyorkan di atas hanya akan menyebabkan orang Islam menjadi pilihan terakhir sebagai pekerja dan akan meningkatkan kadar pengangguran.

Bagi menjawab persoalan itu, sebenarnya kita perlu menimbang neraca manakah yang ingin kita gunakan bagi mencapai sesuatu kesimpulan. Adakah lebih baik menggadai agama demi mendapat rezeki yang sudah tentu tidak diberkati ALLAH.

Islam menganjurkan kita berusaha sedaya upaya mencari rezeki. Walaupun sesuatu pekerjaan itu sukar dan boleh mendatangkan ketidakselesaan, demi mencari rezeki bagi menyara keluarga, pekerjaan tersebut sebenarnya amat mulia di sisi agama.

Berbalik kepada penjualan minuman memabukkan di atas, sudah sampai masanya bagi pekerja Islam diberi penghormatan sewajarnya mengamalkan agamanya dengan tidak dipaksa menjual arak, memberikan pilihan kepada pekerja Islam memakai pakaian menutup aurat, memberi peluang kepada pekerja Islam menunaikan solat tanpa didenda dan tidak dipaksa memegang benda-benda yang diharamkan.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca