MENGURUS ekonomi tidaklah semudah mengharamkan eksport ayam ke Singapura dan membenarkan import bebas ayam. Pengguna mungkin lega dan menaruh harapan tinggi walaupun bekalan, harga serta mutu ayam import belum tentu memuaskan. Tetapi bukan... Klik di sini untuk terus membaca

MENGURUS ekonomi tidaklah semudah mengharamkan eksport ayam ke Singapura dan membenarkan import bebas ayam. Pengguna mungkin lega dan menaruh harapan tinggi walaupun bekalan, harga serta mutu ayam import belum tentu memuaskan.

Tetapi bukan bekalan dan harga ayam sahaja yang menuju ke ‘angkasa’. Boleh kata, harga semua barangan pengguna naik. Ada yang naik kerana alasan dan sebab sah tetapi banyak juga naik kerana manipulasi untuk buat keuntungan besar.

Apatah lagi, apabila pemantauan oleh pihak berkuasa sekadar melepas batuk di tangga dan selang seli dengan perbuatan rasuah. Persoalan yang harus dijawab segera adalah sama ada mengharamkan eksport ayam ke Singapura dan membenarkan import bebas akan menambah bekalan serta menurunkan harga?

Jika kedua-dua itu tidak berlaku, maka eksperimen kerajaan bolehlah dikira sebagai gagal. Yang pasti, tanpa kawalan kerajaan dan perniagaan ayam menjadi perniagaan bebas, banyak penternak, pengimport, pembekal, malah peniaga runcit tempatan mungkin hanyut dilanda badai rantaian pembekalan global.

Misalnya, apabila kerajaan mengharamkan eksport ayam ke Singapura, penternak hilang pasaran premium dan negara hilang peluang memperoleh mata wang Singapura yang tinggi kadar tukarannya.

Kalau ada penternak terpaksa tutup operasi akibat eksperimen kerajaan itu, amatlah merugikan kerana penternakan ayam adalah antara perniagaan entry level bagi ramai usahawan kecil dan sederhana, khususnya bumiputera.

Dari sudut lebih luas, apabila lebih banyak duit kita yang sudah pun lemah mengalir keluar bagi mengimport ayam, kadar tukarannya akan jadi lebih rendah.

Perbelanjaan import makanan kita (untuk manusia dan haiwan) sudah pun sangat tinggi. Pada 2020, ia dilaporkan mencapai rekod RM55.5 bilion.

MASALAH PERGANTUNGAN

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, orang Melayu daripada parti UMNO, pernah jadi Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beliau tentu boleh bayangkan berapa ramai penternak dan peniaga ayam bumiputera khususnya dan Malaysia amnya yang mampu bersaing dalam pasaran global dengan mengimport ayam, halal atau tidak halal dari Brazil misalnya.

Rasanya tidak ramai orang Malaysia tahu bahawa Brazil adalah pengeksport nombor satu ayam beku di dunia. Namun sebagai pengeluar, Brazil jatuh nombor tiga kepada Amerika Syarikat (AS) dan China.

AS, China dan Brazil berjaya menjadi negara pengeluar ayam terbesar di dunia kerana mereka juga pengeluar makanan haiwan. Sistem pertanian mereka menghasilkan biji-bijian diperlukan dalam pembiakan haiwan. Di Malaysia, hampir semua makanan haiwan diimport.

Kalau pengimport bebas kita nanti bukan daripada jenis hisap darah dan pengguna kita tidak pula sedia bertolak ansur dengan piawaian halal haram, mungkin kemelut bekalan serta harga ayam ini boleh diatasi dan dijadikan contoh untuk bahan-bahan makanan lain bagi jangka masa pendek dan sederhana.

Tetapi untuk jangka masa panjang, kita masih perlu menyelesaikan masalah pergantungan kepada makanan import.

Sistem pertanian kita yang terlalu mengutamakan kelapa sawit dan getah telah mengabaikan pengeluaran bahan-bahan makan. Pertanian makanan masih bergantung kepada sistem kebun kecil dengan prasarana separuh lengkap.

Akibatnya, walaupun dengan subsidi berbilion ringgit setiap tahun, penanam padi, penternak dan nelayan masih hidup dalam keadaan cukup makan (subsistence) dengan produktiviti rendah.

Kesimpulannya, masalah bekalan dan harga makanan sepatutnya sudah diatasi lama dulu kerana ia bukanlah perkara baharu.

Sejak sebelum merdeka lagi, kecukupan bekalan dan kestabilan harga makanan sudah menjadi sebahagian daripada dasar dan tindakan kerajaan.

Tetapi selama itu juga ia gagal dilaksanakan secara lestari sebab kita terlalu banyak bercakap tetapi kurang bertindak. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca