[WAWANCARA EKSKLUSIF] Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834] yang diwartakan pada 25 Januari lalu adalah satu langkah penting dalam memastikan semua aktiviti berkaitan teknologi angkasa dalam negara dilaksanakan dengan keadaan... Klik di sini untuk terus membaca

[WAWANCARA EKSKLUSIF] Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834] yang diwartakan pada 25 Januari lalu adalah satu langkah penting dalam memastikan semua aktiviti berkaitan teknologi angkasa dalam negara dilaksanakan dengan keadaan selamat, bertanggungjawab dan terjamin.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azlikamil Napiah berkata, Malaysia berdepan dengan liabiliti besar sekiranya berlaku perlanggaran atau menjadi punca perlanggaran di angkasa lepas jika tiada akta yang melindungi negara.

Dalam Wawancara Eksklusif bersama Sinar Ahad, beliau turut berkongsi hasrat menjadikan teknologi angkasa sebagai sumber ekonomi baharu negara dan melahirkan angkasawan yang dibentuk melalui penciptaan pengetahuan dan pembangunan sumber manusia.

Ikuti wawancara eksklusif yang dikendalikan wartawan Sinar Ahad, Farah Shazwani Ali DAN Nur Iftitah Rozlan.

SINAR AHAD: Bagaimana MYSA menjalankan fungsi membina keupayaan negara ini secara menyeluruh dan terlaras dalam bidang teknologi, aplikasi dan sains angkasa?

AZLIKAMIL:
Teknologi ini mula dimanfaatkan seawal 1988, di mana kita pada hari ini menggunakan teknologi angkasa hampir setiap hari. Pada ketika itu, negara kita memfokuskan teknologi angkasa sebagai pengguna dan memfokuskan kepada isu keselamatan dan kedaulatan negara. Tapi, pada hari ini teknologi angkasa semakin maju dan banyak bidang yang boleh dimanfaatkan.

Bertitik tolak daripada itu, kerajaan melihat tiga skop utama penggunaan teknologi angkasa yang menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara iaitu dalam aspek komunikasi, navigasi dan penderiaan jauh (remote sensing).

Setelah manfaat dan penggunaannya diperkasakan, kerajaan melihat kita perlu ada gerak kerja supaya pembangunan dan penggunaan teknologi ini dirangka dengan lebih baik dan dibangunkan dengan tujuan yang lebih baik.

Justeru, pada 2017, kerajaan telah menubuhkan Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030) yang bermatlamatkan Malaysia boleh memanfaatkan seoptimum mungkin teknologi angkasa bagi pelbagai tujuan dalam negara, sama ada kedaulatan, keselamatan dan bidang lain.

Salah satu aktiviti dalam DAN2030 ini adalah mewujudkan satu ekosistem pengurusan tadbir urus dalam negara kita. Sebelum ini, ada beberapa entiti yang berkaitan teknologi angkasa iaitu Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) dan Agensi Angkasa Negara (ANGKASA).

Di bawah pelaksanaan DAN2030 ini, kedua-dua entiti ini digabungkan menjadi satu iaitu Agensi Angkasa Malaysia (MYSA). Antara peranannya adalah menerajui pelaksanaan DAN2030, menerajui penyelidikan dan pembangunan sektor angkasa, mengkoordinasi perolehan data-data satelit, memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang angkasa serta memperkasa keupayaan negara secara menyeluruh dalam sektor angkasa.

Sejauh mana tahap penguasaan Malaysia dalam bidang teknologi sains angkasa?

Melihat dalam konteks Asia Tenggara, Malaysia berada di kelompok tiga teratas negara yang menguasai teknologi angkasa. Kita ada saingan dari Thailand dan Singapura. Kita juga ada saingan dari Indonesia, malah Vietnam dan Filipina telah mula mengorak langkah untuk menjadikan teknologi angkasa sebagai sumber ekonomi baharu mereka.

Malaysia akan memasuki Monsun Barat Daya bermula Mei ini sehingga September depan. Bagaimana Sistem Maklumat Kebakaran Hutan (FORFIS) yang dibangunkan MYSA berfungsi mengesan titik panas dalam membantu kesiapsiagaan agensi keselamatan lain?

Selain daripada komunikasi, remote sensing adalah teknologi penting kerana ia membekalkan data-data permukaan bumi. Sepanjang tahun, daripada bencana banjir dan musim kering yang akan datang, MYSA memainkan peranan dengan membekalkan maklumat. Maklumat yang kita bekalkan adalah yang boleh membuat keputusan sebelum perkara itu terjadi. Maksudnya, ramalan, fakta-fakta, input-input yang diperoleh melalui cerapan satelit yang boleh ditafsirkan apakah risiko dan tindakan yang diambil.

Pada musim kering, kebiasaannya kita menghadapi bencana atau kebakaran terbuka dan kebakaran hutan khususnya di tanah gambut. Jadi, apa yang boleh dimanfaatkan oleh data-data satelit ini adalah kita boleh mencerap di sesuatu kawasan yang besar, adakalanya sehingga 60x60 kilometer persegi. Ini bermaksud, kita boleh meneliti apa sahaja yang berlaku di sekitar kawasan yang dicerap. Sebagai contoh, jika kita dapati ada petanda dan ada titik-titik panas, ini memungkinkan kita meramalkan kawasan ini akan mula terbakar atau terbakar.

Jadi, Sistem Maklumat Kebakaran Hutan (FORFIS) yang dibangunkan MYSA dapat mempercepatkan proses penentuan lokasi kebakaran, sekali gus membolehkan tindakan memadam api dan kawalan jerebu serta penguatkuasaan berkaitan dijalankan dengan cepat dan berkesan. Sistem ini berperanan memantau titik panas dan kebakaran hutan dan mampu mengesan koordinat kebakaran dengan cepat serta perincian berkaitan lain.

Sistem FORFIS juga dapat mengesan koordinat kebakaran dengan tepat, selain tahap atau luas kawasan kebakaran, jenis guna tanah dan pemilik kawasan, sekali gus membolehkan tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa. Maklumat daripada FORFIS ini disediakan dalam bentuk pangkalan data oleh MYSA dan boleh diakses secara dalam talian oleh 13 pihak berwajib.

Antara pihak berkenaan, termasuklah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di ibu pejabat dan negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Adakah MYSA juga mempunyai sistem yang boleh mengesan lokasi-lokasi yang berisiko berdepan ancaman bencana alam lain seperti banjir, tanah runtuh, ribut dan kerosakan hutan akibat pembalakan atau perlombongan?

Satelit mencerap permukaan bumi setiap hari dan mencerap bumi berulang-ulang kali, ini bermakna, kita memiliki set data yang sama berulang-ulang kali. Keistimewaannya, kita dapat melihat perubahan dari semasa ke semasa apa yang ada di lokasi berkenaan, malah kita boleh meramalkan apa yang terjadi. Sebagai contoh, kebiasaan kejadian tanah runtuh memberikan indikator tertentu secara besar-besaran. Pencerapan satelit akan memberikan kita parameter ini dan dengan data ini, kita boleh menganalisis dan menghasilkan peta risiko.

Peta risiko ini biasanya kita kelaskan dalam beberapa kelas tertentu, sama ada paling berisiko, pertengahan dan kurang berisiko. Daripada peta-peta risiko ini sebenarnya sudah boleh digunakan oleh pembuat keputusan untuk menilai risiko di tempat yang kita kenal pasti. Kita juga boleh mengenal pasti kawasan kebakaran hutan malah banjir, sesuatu yang sering berlaku di negara kita.

Cuma berbeza dengan banjir, ia berlaku dalam keadaan cuaca yang agak dipenuhi dengan awan dan suhu berbeza. Satelit juga ada sedikit kelemahan apabila menghadapi keadaan berawan, dalam suasana musim tengkujuh umpamanya. Bagaimanapun, ada satu pilihan dalam memanfaatkan teknologi angkasa ini, ataupun data satelit yang kita peroleh iaitu kita menggunakan data satelit yang berjenis radar yang mana data ini kita boleh gunakan dalam pelbagai jenis cuaca dan bila-bila masa.

Justeru, untuk bencana banjir, kebiasaannya kita gunakan data radar ini bukan sahaja mencerap kawasan banjir itu, tetapi untuk membantu pembuat keputusan menilai kerosakan dan mendapatkan keluasan sebenar yang terlibat banjir. Kalau gerak kerja menyelamat diperlukan, kita boleh memberikan syor, kawasan mana hendak diletakkan tempat-tempat atau khemah pemulihan atau di mana khemah untuk tujuan perubatan.

Pada hari ini, kita banyak bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa dan sebelum pandemik Covid-19 dan Jabatan Pertanian Malaysia, apatah lagi untuk memastikan keselamatan makanan kita dapat diuruskan dengan baik.

Kita juga ada bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, sebagai contoh memandangkan satelit itu berada 500 ke 600 kilometer di atas sana yang boleh mencerap pelbagai maklumat di atas bumi. Begitu juga dengan agensi lain, kita bekerjasama dengan 70 agensi.

Tadi ada menyebut tentang peta risiko. Mungkin boleh perincikan kawasan yang terdedah dengan risiko bencana?

Dalam bencana banjir, MYSA berfungsi sebagai agensi teknikal di bawah penyelarasan NADMA dan Majlis Keselamatan Negara. Memang kami akan menyalurkan maklumat ini dari semasa ke semasa, khususnya pada musim banjir. Jadi, berkait dengan peta risiko ini, kita sudah wujudkan sejak 10 tahun lalu dan apa yang kita boleh manfaatkan, kita akan maklumkan kepada NADMA dan MKN untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Kawasan yang terdedah dengan bencana banjir banyak ada di Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor. Bagaimanapun, melihatkan perubahan cuaca ketika ini, jika suatu ketika dulu kita banyak menumpukan kepada banjir monsun yang mana kita tahu tempoh yang diramalkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia dan kita tahu hujan akan turun bila, tapi apa yang mencabar kita pada hari ini adalah banjir kilat. Banjir yang bukan berasaskan monsun. Banjir yang tidak dapat diramal dan ia akan datang mengikut keadaan yang berbeza-beza. Ini menjadi cabaran kepada kami untuk membuat peta risiko berasaskan bencana banjir kilat kerana sudah tentu parameternya berbeza. Ini kami sedang bangunkan memandangkan banjir kilat ini banyak terjadi di kawasan perbandaran dan parameternya agak kompleks tetapi ia boleh dilaksanakan dengan kerjasama pihak-pihak berkaitan.

Azlikamil Napiah. Foto ROSLI TALIB

Malaysia Space Exploration (Malaysia Space-X) 2030 dibangunkan untuk memacu pertumbuhan dan mewujudkan ekosistem sektor angkasa negara yang mampan. Dalam tempoh 10 tahun akan datang, apa yang Malaysia akan capai menerusi rangka tindakan ini?

Perkara paling penting dalam Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834) ini adalah bagi memastikan semua aktiviti berkaitan teknologi angkasa dalam negara dilaksanakan dalam keadaan selamat, bertanggungjawab dan terjamin serta mematuhi segala garis panduan yang dipersetujui di peringkat antarabangsa. Ini bermaksud sebarang pembangunan sama ada satelit, roket pelancar, sensor dan sebagainya mesti dalam ruang lingkup yang selamat dan keselamatannya diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Justeru, untuk memastikan ia selamat, kita juga perlu pastikan aktiviti yang ada dalam negara selari dengan perundangan peringkat antarabangsa supaya kita dapat mengurus sebarang liabiliti yang berkemungkinan berlaku dengan baik. Contohnya, sekiranya satu satelit dilancarkan oleh satu pihak dan ia mendatangkan bencana atau berlaku pelanggaran, maka liabilitinya dengan adanya akta ini, kita dapat menguruskannya bersama dengan pihak yang bertanggungjawab.

Ini sangat penting kepada negara kerana dengan sembilan satelit yang ada sekarang, kalau kita tidak menguruskannya dengan baik, maka negara akan menghadapi liabiliti yang besar sekiranya apa juga berlaku terhadap sembilan satelit di atas sana, apatah lagi jika ia berlanggar dan menjadi punca kemalangan, jadi itu antara fungsi akta ini.

Sekiranya berlaku pelanggaran satelit, apakah risikonya kepada Malaysia?

Berdasarkan persetujuan di peringkat antarabangsa, siapa punya satelit yang menyebabkan pelanggaran akan diambil tindakan. Itulah (kenapa) perlu kita ratifikasikan perundangan ini supaya (di pihak) kita juga, sekiranya ada satelit lain yang melanggar satelit Malaysia, kita boleh ambil tindakan terhadap mereka.

Kita tidak ada undang-undang itu. Jika ia berlaku di luar sana, kita di pihak yang rugi. Jadi inilah antara sebab kenapa kita perlu wujudkan akta angkasa supaya kita juga memiliki hak agar apa sahaja aktiviti yang dilaksanakan di ruang angkasa lepas selaras dengan perundangan sedia ada.

Adakah MYSA mempunyai sebarang jaringan kerjasama dengan negara lain atau syarikat tertentu di luar negara dalam penerokaan teknologi angkasa raya dan angkasa lepas?

Pada masa ini, negara masih bergantung kepada keupayaan angkasa antarabangsa untuk mengakses sistem angkasa, maka pembangunan kepakaran dan ilmu pengetahuan perlu dilaksanakan melalui jalinan kerjasama dengan pihak luar.

Pemindahan teknologi maju angkasa seperti teknologi satelit, pelancar, sistem antena dan teknologi kecerdasan buatan dalam pemprosesan ‘big data’ bagi pembangunan kepakaran dalam industri tempatan boleh dilaksanakan melalui kerjasama dengan agensi kecemerlangan di negara-negara maju dalam bidang teknologi angkasa ‘space-faring nation’.

Bertitik tolak daripada keperluan dalam ‘Public-Private Partnership’ (PPP), bukan sahaja kita merangsang industri tempatan berkolaborasi dengan rakan kongsi dari luar negara, tetapi juga menggalakkan bagaimana kita boleh mewujudkan perkhidmatan-perkhidmatan baharu dalam negara yang boleh diperkasakan dan dikomersialkan di luar negara. Ini antara yang dihasratkan dalam bentuk PPP. Kita juga berharap bukan sahaja industri tempatan, tetapi industri hiliran yang juga menyokong kepada operasi teknologi berkaitan satelit dapat diwujudkan.

Industri hiliran misalnya kalau ada industri kita yang bergiat dalam operasi pelancaran satelit sudah tentu bahan mentah dan komponen yang perlu dibentuk untuk tujuan pelancaran itu boleh dibuat dalam negara dengan menggunakan sumber asas yang ada. Ini juga boleh mencipta peluang baharu kepada ekonomi negara.

Bagi membangunkan keupayaan teknologi angkasa negara, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah membangunkan Fasiliti Kawalan Misi (FKM) di Kompleks Teknologi Angkasa, Banting, Selangor. FKM dibangunkan khusus bagi perkhidmatan pengoperasian misi angkasa negara mahupun antarabangsa yang berfungsi untuk berkomunikasi secara dua hala ‘uplink’ dan ‘downlink’ dengan objek angkasa seperti satelit, kapal angkasa dan roket pelancar dalam masa sebenar.

Selepas Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dihantar ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 2007, Malaysia berhasrat melaksanakan misi menghantar angkasawan kedua negara pada 2030. Apa perkembangan terkini mengenai misi ini?

Dalam melaksanakan DAN2030, kita mencipta satu program besar supaya ia mencakupi semua pihak. Program itu dinamakan Malaysia Space-X 2030. Dalam program besar ini, ada empat komponen iaitu pertama, pengguna. Kita hendak meneruskan apa yang kita bangunkan selama ini dan akan memperbanyak lagi, maknanya (dari segi) penggunaan maklumat dan data dalam pelbagai bidang.

Kedua, komponen bumi di mana melalui komponen ini, kita nak memperkasakan lagi infrastruktur yang ada selama ini dan kita akan memperbanyak perkhidmatan ini untuk menyokong pertumbuhan industri dan keperluan lain.

Ketiga, komponen segmen angkasa di mana komponen ini yang kita belum lagi teroka secara luas walaupun kita ada sembilan satelit, tetapi kita tidak mencipta satelit itu sendiri. Kita beli, pasang dan lancar. Ini bermaksud, kita belum menguasai sepenuhnya teknologi pembuatan satelit. Itu yang kita ingin teroka lagi untuk lima hingga 10 tahun akan datang.

Komponen keempat ialah penciptaan pengetahuan. Kita bukan sahaja perlu teknologi, tetapi kita perlu kepakaran tempatan berterusan wujud dalam negara. Jadi ini kita berkolaborasi dengan semua pihak, Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan sebagainya.

Dalam komponen angkasa, ia bukan sahaja tertumpu kepada pembuatan atau pelancaran satelit, ia juga tertumpu kepada sains angkasa yang melibatkan angkasawan, menerbangkan orang ke angkasa lepas dan sebagainya. Tetapi, kita perlu sedar untuk mewujudkan seorang angkasawan, ia perlu dibentuk daripada awal.

Peristiwa kita menghantar Sheikh Muszaphar (ke angkasa lepas) itu adalah mungkin peluang seumur hidup kerana kita ada pertukaran dagangan pada masa itu dengan Rusia. Pelaksanaan Program Angkasawan Negara Pertama (PAN-1) pada 2007 adalah hasil rundingan perjanjian timbal balas (offset) antara kerajaan Malaysia dan Rusia bagi pembelian 18 buah jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Tetapi, hakikatnya untuk menjadi angkasawan, perlu dibentuk daripada kecil kerana ia adalah kerjaya, bukan hobi. Ini bermaksud ia adalah kerjaya yang bukan semua orang sesuai untuk jadi angkasawan. Ia mesti dibentuk daripada awal.

Kita perlu membentuk penciptaan pengetahuan atau pembangunan sumber manusia itu dalam skop betul supaya bila tiba masanya, bidang teknologi angkasa ini bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan terhadap jurutera dan sebagainya, tetapi angkasawan.

Pada 22 September 2015, Jemaah Menteri telah meluluskan penjenamaan semula PAN-2 kepada Program Mikrograviti Negara (PMN). Selaras dengan Teras 3 Dasar Angkasa Negara 2030 iaitu Memacu Pembangunan Sains dan Teknologi Angkasa serta Membina Kepakaran, kerajaan akan meneruskan program penyelidikan mikrograviti ini.

Azlikamil (kanan) sewaktu Wawancara Ekslusif bersama Sinar Ahad baru-baru ini. Foto ROSLI TALIB


Ikuti berita semasa bersama Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azlikamil Napiah yang mengulas mengenai satelit komunikasi Malaysia.

Muzik: www.bensound.com

#SinarHarian #BeritaSemasa" />
Klik di sini untuk terus membaca