PEMIMPIN ASEAN termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah melawat Washington DC atas undangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Presiden Joe Biden bagi menghadiri Persidangan Khas AS-ASEAN 2022 pada 12-13 Mei... Klik di sini untuk terus membaca

PEMIMPIN ASEAN termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah melawat Washington DC atas undangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Presiden Joe Biden bagi menghadiri Persidangan Khas AS-ASEAN 2022 pada 12-13 Mei lalu.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri turut mengadakan sesi pertemuan bersama pelabur dan peneraju industri Amerika bagi tujuan menarik pelaburan ke Malaysia pada masa akan datang.

Hubungan diplomatik antara Malaysia-AS bermula sejak kemerdekaan, namun kepentingan ekonomi AS di negara ini boleh dikesan sebelum 1957. AS telah menubuhkan pejabat konsul di Georgetown, Pulau Pinang pada 1918.

AS adalah antara rakan perdagangan terbesar Malaysia. Jumlah perdagangan Malaysia-AS telah meningkat daripada RM165.32 bilion pada 2019 kepada RM178.18 bilion pada 2020.

AS di bawah pentadbiran Biden cuba merapatkan semula hubungan dengan negara-negara di rantau Asia Tenggara. Antara usaha sedang dilakukan adalah melalui ‘Rangka kerja Ekonomi Indo-Pasifik’ yang memberi tumpuan kepada ekonomi digital, rantaian bekalan dan pembangunan infrastruktur.

Justeru, Setiausaha Perdagangan AS, Gina M Raimondo telah mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada November 2021. Hasil lawatan tersebut, Malaysia dan AS telah bersetuju bekerjasama dalam bidang teknologi digital, semikonduktor, peralatan perubatan, elektronik dan teknologi hijau.

Pada Julai 2021, ketika negara berdepan penularan varian Delta, AS telah menyumbang sejuta vaksin Pfizer-BioNTech dalam usaha memerangi Covid-19. Sumbangan vaksin adalah kesinambungan kepada bantuan peralatan perubatan dan perlindungan yang telah disumbang oleh AS melalui United States Indo-Pacific Command (IndoPacom).

ASET PERTAHANAN

Malaysia dan AS juga bekerjasama dalam bidang keselamatan dan pertahanan melalui Kumpulan Latihan dan Perundingan Dua Hala (BITACG) sejak 1980-an lagi, merangkumi latihan dan pendidikan ketenteraan, forum perundingan, usaha pembanterasan pengganas, perkongsian maklumat perisikan, keselamatan siber, keselamatan maritim, bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana.

AS telah menyediakan aset-aset pertahanan seperti radar dan unmanned aerial vehicles (UAV) untuk mempertingkatkan keselamatan maritim khasnya di perairan Sabah timur.

Kerajaan Malaysia juga menghantar anggota keselamatan ke AS bagi tujuan latihan dan pendidikan lanjutan dalam bidang pertahanan dan teknikal melalui Program Pendidikan & Latihan Tentera Antarabangsa AS (IMET).

Malaysia-AS turut menjalinkan kerjasama dalam pendidikan dan sosial. Institusi pengajian tinggi AS sentiasa menjadi pilihan warganegara Malaysia untuk melanjutkan pelajaran. Pertukaran tenaga pengajar dan kepakaran dilakukan melalui bantuan Program Fulbright.

Namun, hubungan Malaysia-AS tidak bebas daripada cabaran, antaranya Malaysia tidak mahu terheret dalam persaingan antara China dan AS kerana Malaysia merupakan sebuah negara dagang dan tidak berupaya untuk memusuhi mana-mana negara demi menjaga kepentingan ekonomi dan peluang pelaburan.

Ia sejajar dengan dasar luar berkecuali Malaysia yang mengutamakan konsep hubungan yang tidak menyebelah atau equidistance dan neutralisasi rantau atau regional neutralisation. Semasa pengumuman pakatan Australia-United Kingdom-AS (AUKUS) pada September 2021, Ismail Sabri telah mengingatkan bahawa AUKUS boleh membawa provokasi di Laut China Selatan.

Namun, ia tidak bermakna Malaysia menentang AS daripada terus bergiat aktif dalam bidang keselamatan dan pertahanan di rantau ini. Perlu ditegaskan, Malaysia kekal dengan prinsip berkecuali dan kapal selam bertenaga nuklear yang beroperasi di Asia Tenggara mestilah mematuhi Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) serta Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS).

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya.

Klik di sini untuk terus membaca