KEBELAKANGAN ini kedengaran konsep ‘khemah besar’ dalam blok politik siasah tanah air. Ia muncul selepas ada parti pembangkang menyuarakan hasrat perlunya kerjasama politik dalam kalangan parti pembangkang diperkemaskan dan diperkukuhkan semula.
Jika Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dijadikan sebagai nota kaki, kolaboratif sesama parti pembangkang walau berbeza kepercayaan politik termasuk yang baru ditubuhkan berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah mentadbir negara sejak PRU pertama tahun 1959 selepas merdeka.
Adakah ‘khemah besar’ atau memainkan retorik berulang kali isu yang sama menyebabkan wujudnya naratif yang akhirnya mempengaruhi emosi pengundi untuk memangkah secara protes besar-besaran ke atas BN yang membawa kepada kejayaan Pakatan Harapan (PH)?
PH tidak bertahan lama. Pada Mac 2020, ia tumbang kerana berlaku penjajaran berdasarkan defisit kepercayaan dalam kalangan anggota parti gabungan yang membawa kepada kebocoran ke atas ‘khemah besar’ kerjasama politik itu.
Ia bukan kali pertama gabungan pembangkang melakukan ‘taici’ untuk bekerjasama walaupun masing-masing tahu sukar mencari satu ideologi politik yang memungkinkan mereka bersama kecuali pengucapan politiknya adalah untuk secara emosional melontar ungkapan yang boleh mencederakan lawan dan menaikkan semangat penyokong sendiri.
Ia membesar pada 2018 walaupun secara taktikal, pendekatan sama digunakan sewaktu mereka pernah bersama dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan akhirnya PH.
PENYOKONG TEGAR
Di manakah kecuaian BN selama ini? Apakah ‘khemah besar’ tidak dilihat sebagai satu permusuhan politik apabila lawan mereka hanya mempunyai satu matlamat, asalkan sesiapa tetapi bukan BN. Adakah ‘khemah besar’ kini masih tidak dianggap sebagai perluasan spektrum politik pembangkang untuk berhadapan dengan PRU15?
Pelbagai andaian telah dikemukakan oleh parti-parti politik blok pembangkang. Walaupun ada bersedia melupakan Langkah Sheraton 2020, adakah ia diterima oleh penyokong yang masih berasakan kukuhkan kerjasama yang sudah terbina sekian lama antara parti PKR, DAP dan Amanah tanpa melibatkan parti lain.
Bersediakah wujud perbincangan melenyapkan rasa marah antara PH dan Perikatan Nasional (PN) selepas pembubaran Parlimen bilamana tidak ada lagi nama parti kerajaan dan pembangkang.
Apakah sudah wujud perbincangan di belakang tabir untuk memastikan kesemua parti pembangkang akan bersama berhadapan dengan BN atas prinsip ‘satu lawan satu’? BN tidak leka selepas PRU14.
Perubahan dalaman dilakukan untuk keluar daripada zon keselesaan walau ada yang masih menyatakan akan menang kali ini. Naratif ‘sokong bawa rebah’ mesti dihentikan seolah-olah menjadi ‘duri dalam daging’.
Kejayaan dalam siri Pilihan Raya Negeri (PRN) memberi keyakinan untuk sekurang-kurangnya mempertahankan penyokong tegar dan memastikan lima hingga 10 peratus tidak tergelincir dari radar disebabkan masalah dalaman.
PH masih mencari akses dan ruang untuk tingkatkan kerjasama politik. Laungan isu lama sudah tidak relevan. Pembangkang perlu mencari isu baharu dan kepimpinan yang boleh membuat keputusan bersama jika ‘khemah besar’ menjadi idaman semula tatkala lawan mereka sedang terluka dan akan memastikan PRU15 tidak sama seperti PRU14 selepas tahu bagaimana menjadi pembangkang.
Kesemuanya memerlukan keazaman politik. Ego politik mesti diketepikan, tahu siapa musuh politik sebenar. Dalam politik Malaysia yang mengutamakan ‘angka’, tidak ada musuh atau kawan yang tetap, hanya kepentingan. Kita pernah melihat keajaiban politik yang tidak pernah difikirkan apabila ada sosok politik sedia bekerjasama untuk kepentingan bersama. Inilah realiti politik.
‘Khemah besar’ atau gabungan besar perlu ada perencanaan hala tuju masa depan negara, bukan masa depan pemimpin dan parti politik.
Mampukah diketepikan ketidaksefahaman yang diakui sebelum ini atau kita akan sekali lagi melihat ‘Langkah PRU15’ dengan kerjasama politik di luar dugaan ramai?
*Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah profesor di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia