BELALANG dengar heboh kini di Selangor dok sebut dua nama yang akan menjadi poster boy pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.
Mereka ialah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan pemimpin muda, Shahril Hamdan.
Seorang bukan orang politik tapi tokoh perbankan dan kini anggota kanan kabinet Persekutuan Malaysia, manakala seorang lagi Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang juga Ketua Penerangan UMNO.
Kedua-duanya disebut-sebut dalam lingkaran UMNO akan diturunkan sebagai calon di Selangor. Sudah tentulah atas tiket Barisan Nasional (BN).
Dan kedua-duanya juga dikhabarkan sedang dipertimbangkan untuk calon Menteri Besar jika BN mampu mengambil alih Selangor.
Bagi Belalang senang saja, jika mereka diletakkan sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN), maka sahlah spekulasi itu berasas. Sekarang nak cakap pun masih awal lagi. Dewan belum dibubarkan.
Tengku Zafrul walaupun tidak bersuara sepatah pun tentang spekulasi ini, namun tidak ada siapa pun dapat menafikan yang imejnya sesuai dengan ciri-ciri yang diperlukan untuk menjadi calon MB.
Lagipun beliau dah menjadi menteri kabinet dengan portfolio penting iaitu kewangan.
Cuma orang tidak sangka yang namanya disebut-sebut di Selangor kerana ibu Tengku Zafrul mempunyai akar yang kuat di Kuala Pilah dan keluarganya juga mempunyai ikatan yang kuat di Lembah Pantai.
Namun melihat kepada situasi semasa, itu bukan menjadi isu besar kerana Menteri Besar sekarang pun, Datuk Seri Amirudin Shari bukanlah anak Selangor sebaliknya Johor.
Pada masa yang sama, desas-desus juga bertiup kencang mengatakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar pada awalnya lebih cenderung untuk mengangkat Shahril Hamdan sebagai poster boy BN Selangor.
Shahril, yang pernah bertanding di Parlimen Kuala Langat pada PRU14 khabarnya mahu bertanding di luar Selangor dan ini yang mendorong Noh untuk menumpukan perhatian kepada Tengku Zafrul.
Belalang sendiri difahamkan yang Noh telah pun mengadakan pertemuan dengan Tengku Zafrul beberapa bulan yang lalu untuk bercakap tentang hal ini.
Sejak itu, nama Tengku Zafrul disebut-sebut dan dikaitkan dengan Parlimen Kuala Selangor.
Kenapa Kuala Selangor? Ramai yang mengaitkannya dengan tempat bersemayamnya Allahyarham datuk kepada Tengku Zafrul.
MENJELANG PRU15
Cakap-cakap ini telah mencuit suasana akar umbi di Kuala Selangor sehinggakan dikatakan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Jahaya Ibrahim tidak berasa selesa dengan kehadiran seorang 'bidan terjun'.
Mereka mengaitkan Tengku Zafrul sebagai seorang yang jauh lebih rapat dengan Bersatu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada UMNO itu sendiri.
Tapi Tengku Zafrul sendiri bukanlah asing dengan UMNO. Beliau dikatakan menjadi ahli UMNO Lembah Pantai yang mana adik lelakinya kini adalah timbalan ketua bahagian dan pakcik mereka ialah Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin iaitu ketua bahagian berkenaan.
Belalang tidak pasti sama ada Tengku Zafrul masih mempunyai keahlian di bahagian tersebut.
Namun beliau masih dikaitkan dengan negeri Selangor. Salah satu sebabnya kerana setiausaha politiknya, iaitu Datuk Rizam Ismail, adalah Ketua Pemuda UMNO Selangor.
Rizam, 41, juga adalah ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Air Tawar merangkap ketua pembangkang di DUN Selangor.
Beliau adalah pengikut dan penyokong kuat Noh. Maka di situ sahaja kita sudah dapat melihat pertalian politik antara Tengku Zafrul dengan UMNO Selangor.
Noh, sedar sebagai pengerusi negeri, beliau perlu menyiapkan tiga perkara menjelang PRU15.
Pertama, mencari calon muda dan wajah baharu yang berwibawa sebagai calon MB Selangor. Kedua, menawan semula negeri itu daripada tangan Pakatan Harapan (PH) dan yang ketiga memastikan dalam usaha mencapai objektif yang pertama dan kedua itu beliau perlu mendapatkan sokongan parti Pas.
Objektif yang ketiga itu yang sukar sedikit kerana aspirasi Noh tidak dikongsi di peringkat UMNO pusat sedangkan realiti di Selangor ialah banyak kerusi hanya boleh dimenangi dengan Pas dan UMNO bekerjasama.
Dan Noh diketahui mempunyai hubungan yang akrab dan selesa dengan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.
Belalang - Baik dengan semua orang
Klik di sini untuk terus membaca