SHAH ALAM - Tindakan berani bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador bertanding jawatan Ketua Cabang Gombak tidak membuahkan hasil selepas beliau tewas di tangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada pemilihan PKR penggal 2022-2025.
Melalui keputusan yang dikeluarkan, Amirudin memperoleh 1,858 undi manakala Farhash yang juga bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan 1,215 undi.
Respon segera Farhash terhadap kekalahannya itu menjelaskan, timbul keraguan terhadap ketelusan dan keputusan yang dikeluarkan.
"Setelah meneliti keputusan tidak rasmi Pemilihan PKR 2022 yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) sebentar tadi, saya ingin menyatakan keraguan yang amat tinggi terhadap ketelusan dan kebenaran keputusan yang dikeluarkan itu.
"Pihak saya mempunyai bukti dan dokumentasi yang kukuh untuk menyatakan bantahan rasmi, dengan gesaan untuk parti menjalankan satu audit forensik terhadap sistem keputusan dan kaedah-kaedah perlaksanaannya.
"Bantahan kami adalah terhadap keputusan undian fizikal dan juga pengundian atas talian (PAT) yang mana kami dapati keputusan bagi Cabang Gombak adalah tidak munasabah, berbanding kehadiran penyokong kami secara fizikal dan juga pengundian atas talian yang kami rekodkan,” katanya pada Ahad.
Tegasnya, satu laporan forensik yang meneliti setiap undi PAT dan fizikal perlu dijalankan oleh satu entiti bebas yang dipersetujui oleh semua pihak.
"Saya berharap pihak JPP dan pimpinan parti mengambil tindakan sewajarnya dan membetulkan keadaan sekiranya terbukti sistem pemilihan dan keputusan telah dikompromi,” katanya yang juga bertanding bagi jawatan Naib Presiden.
Laporan Sinar Premium sebelum ini yang memetik pendedahan salah seorang pemimpin kanan parti itu mendakwa Farhash sudah menang melalui keputusan awal berdasarkan perkiraan undi tidak rasmi yang menyaksikan beliau memperoleh 500 undi majoriti mengatasi Amiruddin.
Malah Farhash turut mendesak agak tidak menangguhkan pengumuman keputusan tidak rasmi pemilihan parti itu walaupun beberapa negeri masih belum selesai proses pemilihan.
"Lebih baik JPP melaksanakan sistem pengumuman keputusan tidak rasmi pemilihan PKR secara 'live result' supaya tiada pihak yang berpeluang untuk memanipulasi data pengundian," katanya kepada Sinar Premium baru-baru ini.
Populariti gagal menangkan Altimet dan Hans Isaac di Ampang
Selain di Gombak, perebutan jawatan Ketua Cabang Ampang turut menjadi perhatian setelah dua personaliti hiburan negara mengesahkan menjadi antara calon bagi merebut jawatan berkenaan.
Bagaimanapun Datuk Hans Isaac atau nama sebenar Gerald Hans Isaac dan Altimet atau nama sebenar Syed Ahmad Abdul Rahman, masing-masing gagal menggunakan populariti masing-masing untuk menawan hati pengundi di kawasan itu.
Ketua Cabang Ampang dimenangi Daing Muhammad Reduan Bachok yang memperoleh 942 undi.
Hans memperoleh 609 undi sementara Altimet memperoleh 589 undi.
Setakat jam 3 petang tadi, tiga negeri sudah mengumumkan keputusan bagi pemilihan PKR iaitu Melaka, Selangor, Kelantan dan Negeri Sembilan.
Rodziah mudah atasi dua pesaing
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail turut mencipta kejutan menewaskan dua calon lain dengan keputusan 1,407 undi bagi jawatan Ketua Cabang Shah Alam, meninggalkan Dr Yaakob Sapari (1,087 undi) dan Wan Amierrul Ikhwan Mohd Naser (57 undi).
"Pertamanya saya rasa bersyukur dengan kemenangan kali ini. Dengan pendekatan yang kami bawa iaitu kolaborasi dua ADUN itu nampak gayanya ahli dan anggota di Shah Alam menerima kami dengan baik.
"Boleh dikatakan barisan kepimpinan kami juga majoritinya menang. Maknanya mereka bukan sahaja menerima saya sebagai Ketua Cabang tetapi pasukan kami juga mendapat tempat di hati anggota.
"Pastinya kemenangan ini menuntut saya menguatkan parti di Shah Alam. Dengan pilihan raya yang bakal tiba ini pastinya saya akan mengukuhkan ranting-ranting dan daerah-daerah mengundi supaya kita bersedia untuk menghadapi pilihan raya itu nanti," katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.
Selain itu, Rodziah turut merebut jawatan Ketua Wanita PKR.
"Buat masa ini kalau kita lihat keputusan cabang empat negeri yang sudah mengumumkan keputusan, saya rasa keputusan itu kukuh tetapi keputusan penuh belum diterima lagi. Harapan itu nampak cerah," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca