SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Ampang, Rafizi Ramli menang jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengatasi pencabarnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berdasarkan keputusan tidak rasmi bagi pemilihan PKR penggal 2022-2025.
Rafizi meraih 67,895 undi manakala Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR ketika ini meraih 48, 979 undi, perbezaan 18,916.
Setakat laporan ini ditulis, keputusan 13 negeri melainkan Sarawak telah dipaparkan di https://pemilihankeadilan2022.com/.
Perbezaan sebanyak 18,916 undi itu dikira besar dan jumlah undi di Sarawak sendiri tidak cukup untuk mengubah keputusan yang berpihak kepada Rafizi.
Perbezaan undi yang besar itu juga menyaksikan Saifuddin mengucapkan tahniah kepada Rafizi, menguatkan lagi spekulasi kemenangan bekas Naib Presiden PKR itu walaupun keputusan itu belum diumumkan secara rasmi.
"Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) telah paparkan keputusan pemilihan pada hari ini. Biarpun belum dikira keputusan rasmi, namun saya telah mengutus ucap tahniah kepada Rafizi, Nik Nazmi Nik Ahmad, Chang Li Kang dan lain-lain pemenang.
"Syabas juga diucapkan kepada semua yang terpilih Ketua Cabang, Angkatan Muda Keadilan (AMK), Wanita Cabang dan Jawatankuasa.
"Sikap saya mudah dan jelas. Hormat keputusan yang dibuat oleh anggota-anggota parti. Amalan demokrasi menentukan ada yang terpilih dan ada yang tidak. Jangan sesekali carikkan silaturahmi. Sentiasa jaga perpaduan sesama anggota parti. Insya-ALLAH PKR akan terus kuat,” katanya melalui kenyataan pada Ahad.
SAIFUDDIN HANYA MENANG DI SABAH
Berdasarkan keputusan yang dipaparkan, Rafizi menang 12 negeri melainkan di Sabah, di mana beliau hanya meraih 6,814 undi manakala Saifuddin dengan 8,585 undi.
Di Selangor, saingan kedua-dua calon dilihat sengit di mana masing-masing meraih undi yang tinggi iaitu Rafizi dengan 25,449 undi manakala Saifuddin, 22,101 undi.
Reda dengan keputusan yang diterimanya, Saifuddin menjelaskan ia bukan noktah terhadap perjuangannya.
Saifuddin menjelaskan beliau masih mempunyai tanggungjawab terhadap penganjuran Kongres Nasional pada Jun ini sebelum menoktahkan segalanya.
"Kongres masih perlu berlangsung dengan tertib dan mengikut peraturan sesuai Akta Pertubuhan 1966. Sekitar 3 ribu perwakilan akan memilih 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat.
"Selesai proses ini Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden akan mempunyai satu barisan kepimpinan yang lengkap. Tugas saya bernoktah di situ,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca