SHAH ALAM - Malaysia telah kehilangan kira-kira 500,000 rakyat berkemahiran tinggi dan berbakat dalam bidang profesional kerana mereka memilih untuk bekerja di luar negara sejak 40 tahun lalu.
Ketua Pegawai Penyelidikan EMIR Research, Datin Dr Margarita Predaryenko berkata, para penyelidik menganggarkan kadar penghijrahan individu berkemahiran tinggi atau brain drain bagi peringkat dunia adalah lima peratus pada tahun 2000 manakala Malaysia sebanyak 10 peratus dalam tempoh yang sama.
"Ini adalah jumlah yang besar untuk negara walaupun masih kurang kritikal berbanding ekonomi serantau lain seperti Singapura (14.5 peratus) dan Hong Kong (29.6 peratus),” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Margarita berkata, sistem tadbir urus yang lemah, perancangan dan pelaksanaan dasar berat sebelah serta korupsi merupakan faktor utama berlakunya brain drain.
Menurut beliau, wujud juga unsur-unsur yang mendorong sesetengah rakyat Malaysia meninggalkan negara selain ada perkara yang menarik minat mereka untuk ke sana.
"Faktor dalam negara kita sendiri adalah seperti dasar yang tidak adil dan ketidakadilan sosial (berasaskan etnik berbanding merit), pasaran kerja yang terhad, tekanan dan rasa tidak puas hati berkaitan pekerjaan.
"Selain itu, faktor lain yang menarik minat rakyat Malaysia ke luar negara adalah prospek kerjaya yang lebih baik dari segi kenaikan pangkat serta keluasan dan kedalaman pasaran kerja, faedah yang lebih baik, iaitu gaji dan faedah, serta peluang yang lebih baik untuk memperoleh kemahiran dan pengetahuan baharu.
"Sehingga keadaan ini berubah, kita tidak akan dapat membalikkan aliran brain drain kita,” ujarnya.
Menurut satu laporan sebelum ini, gaji bagi mereka yang baru mula bekerja di Kanada bermula pada AS$38,000 setahun (RM166,000) manakala, di Malaysia graduan yang baru tamat belajar memperoleh kira-kira AS$7,000 setahun (RM30,000).
Mengulas lanjut, Margarita berkata, bidang perubatan dan akauntan adalah antara yang mendapat permintaan tinggi di luar negara.
Bagaimanapun, menurut beliau, skop profesion yang boleh dibekalkan Malaysia kepada dunia sememangnya terhad.
"Memandangkan perkembangan revolusi industri keempat (4IR) yang lemah di Malaysia adalah logik untuk menjangkakan bilangan individu cemerlang yang dapat dilahirkan negara sangat terhad
"Kita juga tahu sistem pendidikan kita lemah dan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan 4IR sejak beberapa lama,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca