TIRAI Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi penggal tahun 2022-2025 hampir berlabuh dengan bekas Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli secara tidak rasmi, dipilih sebagai Timbalan Presiden parti itu yang baharu.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Rafizi meraih 68,992 undi berbanding pencabarnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu) yang meraih 50,038 undi, dengan Undi Ragu akan disahkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) untuk ditambah kepada undi keseluruhan calon.
Dengan kemenangan tidak rasmi bekas Naib Presiden PKR itu disahkan Pengerusi JPP PKR, Dr Zaliha Mustafa pada Isnin, ini kali pertama Rafizi memenangi jawatan itu setelah tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada pemilihan parti tahun 2018.
Kemenangan Rafizi itu turut diiringi kejayaan barisan kemnya di bawah pasukan Yakini Rakyat iaitu tiga calon Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Titiwangsa); Chang Lih Kang (Ahli Parlimen Tanjung Malim) dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan seorang calon Ketua Wanita, Rodziah Ismail (Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Tiga).
Menilai prestasi keseluruhan Pemilihan PKR, kemenangan Rafizi itu dianggap mengejutkan pada saat ramai penganalisis politik tempatan berpandangan peluang Saifuddin lebih cerah. Ini susulan beliau dianggap cenderung menyokong institusi kepimpinan parti.
Analisis Sinar Premium mendapati daripada keseluruhan 13 negeri membabitkan 222 cabang parti, Rafizi berjaya memenangi undi majoriti di 11 negeri meliputi Wilayah Persekutuan, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sarawak.
Saifuddin yang masih merupakan Setiausaha Agung PKR ketika ini, pula hanya mampu menang undi majoriti di Perlis dan Sabah.
Peningkatan jumlah negeri yang dimenangi Rafizi pada pemilihan kali ini amat ketara berbanding pemilihan tahun 2018 apabila beliau hanya mampu menang di enam negeri sahaja.
KEKALAHAN MENGEJUT
Bagi segelintir pemerhati politik, kekalahan Saifuddin di negeri Kedah dan Kelantan tidak disangka-sangka.
Hal ini kerana dua negeri itu dilihat lebih dekat kepada Saifuddin yang kini merupakan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu selain pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Machang pada tahun 2008-2013.
"Berdasarkan maklum balas diberikan ketua-ketua cabang, kemenangan Rafizi sebenarnya banyak disumbangkan menerusi penyampaian hala tuju dan naratif kempen pemilihan yang secocok dengan pandangan akar umbi PKR.
"Rafizi bertegas mahu melihat PKR berdiri dengan kekuatan sendiri dan tidak menerima konsep 'khemah besar'. Pandangan itu kena dengan kehendak akar umbi di mana mereka lebih mahukan usaha menarik sokongan pengundi baharu dan atas pagar diutamakan.
"Malangnya, Saifuddin secara keseluruhan gagal membahaskan secara tuntas dan tegas mengenai strategi politik terbaik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Apabila beliau diasak mengenai pendirian isu ‘khemah besar’, beliau hanya mengulangi pendirian kolektif parti dan tidak jelas dalam menyatakan aspirasi sendiri,” kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar.
Mengulas lanjut, Hisommudin turut melihat imej Rafizi yang bebas daripada belenggu bekas pemimpin zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan sebagai satu kelebihan di mata 1.2 juta ahli PKR berbanding Saifuddin.
Dengan Saifuddin memiliki liabiliti kerana pernah dilantik sebagai menteri kabinet sewaktu kerajaan PH, beliau juga dianggap gagal menterjemahkan aspirasi perjuangan PKR ke dalam pentadbiran kerajaan dipimpin bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada saat ketiadaan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam jemaah menteri.
"Setelah Mohamed Azmin meninggalkan PKR, Saifuddin sudah dianggap sebagai Timbalan Presiden ‘de facto’ kepada Anwar dengan beliau menjadi wakil parti untuk mengetuai perbincangan sulit dengan parti-parti lain bagi mendapatkan semula kuasa politik.
"Namun, akar umbi PKR tidak melihat sebarang kejayaan Saifuddin sepanjang menjadi penasihat tidak rasmi Anwar dengan beliau sekadar dilihat mengekalkan status quo hala tuju perjuangan PKR sedia ada sekiranya dipilih sebagai Timbalan Presiden baharu.
"Rafizi pula membawa satu imej yang mampu meningkatkan semula semangat jentera PRU15, memberi idea-idea baharu lebih progresif kepada Anwar dan tidak sekadar menjadi ‘yes man’ semata-mata’,” ujarnya.
KHEMAH BESAR BAKAL TERKUBUR
Dalam pada itu, Pengarah Pengajian Asia, Universiti Tasmania, Profesor Dr James Chin berkongsi pandangan Hisommudin dan menjangkakan pendekatan 'khemah besar' pembangkang bakal terkubur dengan kemenangan tidak rasmi Rafizi.
Mengakui idea ‘khemah besar’ tidak diterima dengan baik oleh pengundi bukan Melayu, James yakin kemenangan besar Rafizi adalah berlandaskan faktor beliau dianggap akar umbi PKR sebagai satu-satunya pemimpin yang mampu melakukan reformasi politik dalaman parti secara serius.
"Di sebalik pelbagai label dilemparkan terhadap Rafizi kononnya beliau pemimpin yang sukar dikawal, akar umbi PKR percaya hanya Rafizi yang mampu membawa kembali semangat Reformasi tahun 1998 kepada jentera PKR bagi menghadapi PRU15.
"Dengan jurang undi majoriti kemenangan Rafizi dijangkakan besar, implikasi keputusan Pemilihan PKR kali ini berkemungkinan tidak mencetuskan perpecahan dalaman, sekali gus memberi lebih persediaan kepada gandingan Anwar-Rafizi untuk memenangi pilihan raya akan datang,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca