SHAH ALAM - Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkongsi lapan sebab utama mengapa rakyat Malaysia yang berkepakaran tinggi dan berkemahiran dalam bidang tertentu lebih berminat bekerja di luar negara. Ahli Parlimen... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkongsi lapan sebab utama mengapa rakyat Malaysia yang berkepakaran tinggi dan berkemahiran dalam bidang tertentu lebih berminat bekerja di luar negara.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, walaupun situasi berkenaan bukanlah perkara baharu namun trend berkenaan berterusan berlaku sehingga ke hari ini hingga merugikan negara kerana gagal memanfaatkan kepakaran serta kemahiran anak tempatan.

"Sebab pertama pakar-pakar dan tenaga mahir ini lari ke luar negara adalah kerana mereka mahu kepuasan dalam bekerja dan tidak mahu diganggu elemen luar terutama oleh orang politik.

"Contohnya mutakhir ini dalam perbicaraan kes di mahkamah melibatkan tokoh-tokoh politik, kita dapat lihat bagaimana golongan profesional ini yang menjadi penjawat awam ‘dipergunakan’ untuk melakukan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang,” katanya kepada Sinar Harian.

Mahfuz menegaskan, punca kedua pula dipengaruhi oleh krisis politik yang tidak berkesudahan hingga turut menjejaskan ekonomi Malaysia termasuk disebabkan ketidakyakinan pelabur untuk datang melabur dan menambah modal.

"Bukan sahaja pakar dan tenaga mahir lari ke luar negara, malah mereka yang duduk belajar di luar negara juga lepas habis pengajian tak nak balik dan terus sahaja bekerja di sana sebab bosan dengan isu-isu politik negara yang tidak habis-habis.

"Sebab ketiga pula sudah tentu dipengaruhi faktor gaji atau pendapatan lumayan yang ditawarkan negara luar,” ujar beliau.

Mahfuz menjelaskan, seterusnya nilai ringgit yang terus lemah berbanding mata wang lain dunia juga menyebabkan golongan profesional dan tenaga mahir meninggalkan negara.

Kata beliau, kelemahan nilai ringgit menjadikan nilai atau kadar gaji semakin mengecil dari masa ke masa dan ia tidak selari dengan peningkatan kos sara hidup.

"Beberapa tahun kebelakangan ini prestasi ringgit begitu lemah terutama apabila kita bandingkan mata wang kita dengan negara jiran, Singapura.

"Itulah puncanya rakyat kita ini intai peluang di luar negara kerana bila bekerja di Amerika Syarikat atau negara-negara Eropah misalnya, mereka dapat gaji dalam dolar atau euro yang nilainya berganda-ganda tinggi daripada ringgit,” jelasnya lagi.

EKONOMI LEBIH BAIK DI LUAR

Mahfuz menambah, sebab kelima dipengaruhi keadaan ekonomi negara luar yang lebih baik dan stabil sekali gus memberi jaminan kepada masa depan pekerjaan mereka.

"Punca keenam adalah faktor inflasi di negara ini. Memang kita akui inflasi berlaku di seluruh dunia tetapi dengan pendapatan yang tinggi di negara luar, rakyat mereka tetap boleh menampung keperluan hidup.

"Ia berbeza situasi di Malaysia kerana pendapatan rakyat masih lagi rendah. Jadi bagi yang bekerja di luar negara, pendapatan tinggi yang diperoleh boleh juga disimpan dan dikumpul untuk membeli aset-aset dalam negara,” kata beliau.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, faktor ketujuh berpunca daripada kekurangan peluang pekerjaan dalam bidang berkepakaran dan berkemahiran di Malaysia sendiri.

Ujar beliau, situasi tersebut berlaku kerana dasar pelaburan negara yang lebih menumpukan kepada pelaburan yang tidak membawa kemahiran dan teknologi tinggi sebaliknya industri sedia ada lebih berbentuk kerahan tenaga terutama dalam bidang perladangan.

"Sebab kelapan didorong keadaan sistem pengangkutan awam yang lemah kerana ia tidak membantu rakyat untuk pergi dan balik kerja dengan selesa.

"Bila rangkaian sistem pengangkutan lemah terutama di ibu negara, Kuala Lumpur, pekerja akan memilih untuk naik kenderaan sendiri lalu berlaku kesesakan lalu lintas yang teruk dan menyebabkan rata-rata mereka stres. Jadi untuk elakkan diri daripada dibelenggu dengan masalah ini, tenaga pakar dan mahir ini pilih untuk berhijrah ke luar negara yang memiliki sistem pengangkutan awam yang baik,” ujarnya.

Katanya, semua kelemahan berkenaan perlu diatasi segera oleh kerajaan kerana tenaga pakar dan mahir itu diperlukan negara untuk terus membangun dan memajukan negara pada sekarang dan untuk masa depan.


INFO


Punca rakyat Malaysia yang berkepakaran tinggi dan berkemahiran cenderung bekerja di luar negara

- Demi kepuasan bekerja

- Krisis politik

- Gaji lumayan

- Nilai ringgit rendah

- Ekonomi negara luar stabil

- Inflasi

- Kekurangan peluang pekerjaan

- Kelemahan sistem pengangkutan awam

Klik di sini untuk terus membaca