APABILA umum membahaskan konflik yang terjadi diantara Ukraine dan Rusia, sebahagian besar penganalis keselamatan dan pertahanan, termasuk di negara ini, kerap mengetengahkan bahaya konflik yang boleh mengakibatkan tercetusnya perang... Klik di sini untuk terus membaca

APABILA umum membahaskan konflik yang terjadi diantara Ukraine dan Rusia, sebahagian besar penganalis keselamatan dan pertahanan, termasuk di negara ini, kerap mengetengahkan bahaya konflik yang boleh mengakibatkan tercetusnya perang nuklear. Sememangnya wujud kebarangkalian ia berlaku.

Ancaman yang dianggap boleh mencetuskan huru-hara peringkat global akibat daripada konflik di Ukraine bukanlah senjata nuklear, kerana Ukraine sendiri tidak memilikinya, manakala Andrei Kelin, duta Rusia ke Britain dalam satu temubual menyatakan negaranya tidak akan menggunakan senjata taktikal nuklear dalam konflik tersebut, apa lagi senjata strategik nuklear.

Presiden Ukraine saban hari memohon agar bantuan kelengkapan dan peralatan diberikan kepada angkatan tenteranya. Bantuan ini sebenarnya telahpun dihantar ke Ukraine sebelum pencerobohan Rusia.

Umpamanya pada Mac 2020, Amerika Syarikat telahpun menghantar kira-kira 17,000 pelancar antikereta kebal kepada Ukraine melalui Poland dan Romania.

Apa yang perlu diawasi oleh semua pihak adalah limpahan senjata yang kini membanjiri Ukraine atas alasan untuk mempertahankan negara tersebut dari penjajahan baru Rusia.

ASET SENJATA

Semenjak pencerobohan, Amerika Syarikat telah menghantar 11 helikopter, 18 laras meriam 155mm serta dron bersenjata Switchblades yang mampu mengesan dan memusnahkan kereta kebal.

Selain itu, Finland mengumumkan akan memberikan 2,500 raifal tempur serta 150,000 peluru dan 1,500 pelancar anti-kereta kebal pakai buang. Norway mendermakan 2,000 pelancar anti-kereta kebal M72, Croatia pula menghantar sejumlah raifal, mesingan serta kelengkapan lain bernilai AS$18 juta, manakala parlimen Itali telah membincangkan untuk menghantar pelancar peluru berpandu antipesawat Stinger, selain senjata antikereta kebal.

Pihak Amerika juga telah cuba memujuk Poland untuk memindahkan sejumlah pesawat MiG-29 milik negara tersebut kepada tentera udara Ukraine yang telah hilang kekuatan udaranya. Poland walau bagaimanapun menolak gesaan tersebut.

Jarang dihebahkan kepada umum oleh media ialah berbulan-bulan sebelum Rusia melancarkan serangan ke atas Ukraine, pihak Barat dan NATO telahpun mula melatih dan melengkapkan tentera Ukraine.

Kanada telah melatih 33,000 anggota tentera Ukraine, Britain melatih kira-kira 22,000, dalam operasai yang dikenali sebagai Operation Orbital manakala CIA telah sekian lama memberikan latihan ketenteraan mewujudkan pasukan gerila anti-Rusia.

Apa yang mengejutkan ialah latihan dan kelengkapan ini turut diberikan kepada batalion Azov yang merupakan pasukan paramilitari berfahaman ekstrim neo-Nazi yang telah diserap sebagai sebahagian pasukan tentera Ukraine.

Dengan lebih 20 negara memberikan jaminan akan menghantar bantuan pelbagai kelengkapan dan persenjataan ke Ukraine bernilai berbilion dolar, kebimbangan ialah sebahagian dari kelengkapan tersebut akan diperoleh dan disimpan oleh unit seperti Azov untuk digunakan bagi tujuan lain.

Kerajaan Norway telah memberikan amaran bahawa dalam keadaan hari ini, senjata-senjata yang dihantar ke Ukraine telahpun jatuh ke tangan pihak-pihak tertentu seperti batalion Azov dan tidak mustahil ke tangan kumpulan jenayah terancang.

Senjata moden berkemampuan tinggi bersaiz kecil seperti Stinger, Javelin dan Swithblade, dengan mudah boleh diseludup dengan pelbagai cara.

Senjata api ini mungkin akan dibekalkan kepada kumpulan-kumpulan berhaluan kanan serta neo-Nazi atau dijual kepada kumpulan-kumpulan ekstrimis di serata pelusuk global apabila konflik di Ukraine reda.

Dengan peningkatan Islamophobia di negara-negara Eropah seperti Perancis dan Denmark, serta penyebaran senjata sedemikian, tiada jaminan bahawa ia tidak akan digunakan oleh pihak ekstremis kulit putih dan neo-Nazi terhadap umat Islam dan tempat ibadah mereka di Eropah.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca