SHAH ALAM - Fenomena brain drain menyebabkan negara terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk mengimport profesional perkhidmatan dan perundingan dari luar negara.
Pensyarah Fakulti Kepimpinan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Abdul Rahim Zumrah berkata, ia berlaku berikutan isu ketidakcukupan pekerja mahir atau profesional dalam sektor kritikal seperti perubatan, kewangan Islam, makanan halal dan pendidikan.
Akibatnya, tambah beliau, matlamat kerajaan untuk membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju bakal terjejas.
"Ini kerana kumpulan tenaga profesional dalam kalangan anak tempatan mampu memberi kesan kepada pembangunan masyarakat dan kualiti hidup mereka seperti di negara maju.
"Tambahan pula, kebergantungan negara kepada profesional luar akan berterusan dan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada aliran tunai ringgit Malaysia yang tinggi ke luar negara.
"Kebergantungan negara kepada jenama luar juga tidak akan berkesudahan. Sebaliknya dengan adanya profesional tempatan, ia akan mampu merancakkan penghasilan produk tempatan yang berdaya saing dengan produk luar negara,” katanya kepada Sinar Harian.
Malaysia dilaporkan kehilangan 500,000 rakyat yang berkemahiran dan berbakat dalam pelbagai bidang profesional apabila mereka memilih untuk bekerja di luar negara sejak 40 tahun lalu.
Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata, penawaran gaji dan faedah yang kompetitif supaya selari dengan taraf kehidupan semasa dapat mengurangkan penghijrahan pakar dari negara ini.
"Kerajaan juga perlu membuat tawaran kerja kepada profesional Malaysia di luar negara dalam sektor-sektor utama negara yang bersesuaian dengan kepakaran mereka.
"Terma-terma ikatan perjanjian bagi para pelajar yang mendapat tawaran biasiswa kerajaan ke luar negara juga perlu dikemas kini dengan mewajibkan mereka berkhidmat di dalam negara setelah tamat pengajian.
"Terma wajib membayar ganti rugi sekiranya tidak berkhidmat kurang berkesan untuk menghalang para pelajar ini berkhidmat di luar negara setelah tamat pengajian,” ujarnya.
Tambah beliau, syarat kuota pekerjaan bagi warganegara Malaysia dalam syarikat luar negara yang membuka perniagaan di Malaysia juga perlu ditingkatkan.
"Ini akan membolehkan profesional sedia ada di dalam negara bekerja dengan syarikat luar tanpa perlu berhijrah ke luar negara,” jelasnya.
Sementara itu, Pakar Sosial, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar berkata, golongan berkenaan disaran pulang ke tanah air supaya dapat berkongsi segala bentuk pengalaman atau jaringan perniagaan agar negara mendapat impak positif.
"Kita merasakan negara akan mengalami kerugian sekiranya mereka berterusan berada di negara luar tanpa memberikan semula sumbangan kepada negara asal.
"Kita juga mengharapkan mereka yang berada di luar negara memikirkan peranan dan komitmen mereka terutama yang mendapat bantuan kewangan untuk meneruskan pengajian di sana.
"Negara tiada masalah untuk menghantar supaya mereka meningkatkan kemahiran dan jaringan tetapi kita mengharapkan mereka kembali dan membantu negara,” kata beliau.
Klik di sini untuk terus membaca