APABILA Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan pandangan segelintir kelompok elit politik dan kaum Melayu yang sering membangkitkan stigma kemunduran bangsa Melayu disebabkan mereka malas, penulis sama sekali setuju... Klik di sini untuk terus membaca

APABILA Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan pandangan segelintir kelompok elit politik dan kaum Melayu yang sering membangkitkan stigma kemunduran bangsa Melayu disebabkan mereka malas, penulis sama sekali setuju dengan pandangan tegas itu.

Kecenderungan kelompok atasan termasuk golongan intelektual yang sering melabel bangsa Melayu sebagai bangsa yang ‘minta disuap’, terlalu selesa dengan apa yang ada dan suka bergantung kepada bantuan kerajaan, sebenarnya tidak mencerminkan situasi sebenar di peringkat akar umbi.

Dalam wawancara bersama Sinar Harian pada Khamis lalu, Anwar menekankan gambaran sikap buruk orang Melayu yang dianggap ‘malas’, sebenarnya adalah warisan pandangan pihak kolonial yang disambut golongan elit kaum kita sendiri.

Lebih malang, Anwar turut menjelaskan banyak sikap ‘buruk’ orang Melayu yang digembar-gemburkan selama ini, sebenarnya mewakili sikap segelintir elit Melayu ‘angkuh’ tetapi dijadikan gambaran keseluruhan permasalahan kaum berkenaan.

Profesor Diraja Ungku Aziz pada tahun 1987 juga bersependapat dengan pandangan ahli sosiologi terkenal, Profesor Syed Hussein Alatas, yang menyatakan bahawa dakwaan ini telah dimomokkan oleh penjajah bagi melemahkan orang Melayu.

Jika orang Melayu malas, masakan datuk dan nenek moyang kita sanggup keluar dari rumah selepas waktu Subuh semata-mata untuk membanting tulang dengan menoreh getah dan mengusahakan sawah padi?

Sekiranya orang Melayu minta disuap, adakah golongan belia kita sanggup bangkit seawal jam 3 pagi demi mengharungi kesesakan lalu lintas di atas Tambak Johor, semata-mata untuk mencari rezeki di negara jiran Singapura?

Kalau bangsa Melayu begitu lemah, bagaimana kita dapat melahirkan golongan intelektual diiktiraf dunia seperti Profesor Madya Dr Wan Wardatul Amani Wan Salim yang mencipta sejarah apabila terlibat dalam misi agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), Amerika Syarikat ke planet Marikh?

PENERIMA MANFAAT DEB

Hakikatnya, anak muda Melayu sebenarnya memerlukan ruang, peluang dan kepercayaan daripada golongan elit politik dan taikun Melayu yang telah menerima manfaat daripada pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sejak zaman pentadbiran Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein lagi.

Hakikatnya begini. Di Lembah Klang misalnya, individu bujang yang mempunyai sebuah kenderaan memerlukan sekurang-kurangnya RM2,570 sebulan (pada tahun 2021) bagi menampung perbelanjaan kehidupan mereka.

Sebagai bukti, majoriti golongan belia negara, tidak malu atau segan menjadi pemandu e-hailing atau penghantar makanan meskipun ramai dalam kalangan mereka berstatus graduan universiti.

Penawaran insentif dan bayaran elaun lumayan dalam sektor ekonomi gig menyebabkan mereka tidak teragak-agak untuk menceburi bidang pekerjaan berkenaan.

Lebih-lebih lagi aspek jaminan masa hadapan pekerja termasuk penyediaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut disediakan syarikat-syarikat terlibat dalam perkhidmatan berkenaan.

Begitu juga dengan lebih 700,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, mereka tidak kekok mengambil alih peranan pekerja Bangladesh, Nepal dan Indonesia di negara jiran itu dengan menceburi bidang kerja 3D.

Berdasarkan data, jumlah tenaga pekerja tempatan yang berhijrah untuk bekerja di Singapura meningkat kepada 952,261 pada 2019 berbanding hanya 195,072 pada 1990.

Sama juga dengan isu peluang perniagaan. Ramai pihak mempersoalkan mengapa usahawan bumiputera gagal menguasai rantaian pengeluaran bekalan makanan di negara ini.

Sebaliknya negara terpaksa bergantung kepada kelompok oligopoli dan bil import makanan tinggi bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

Hakikatnya ‘kegagalan’ bangsa Melayu dalam aspek itu bukan kerana usahawan belia kaum itu tiada kemampuan, tetapi berpunca daripada kelemahan elit politik yang mengamalkan pemberian tender projek dan geran kerajaan kepada kroni-kroni tertentu.

Bagi penulis, sudah tiba masanya kerajaan dan elit politik yang bertanggungjawab, merombak dasar pentadbiran negara dan mewujudkan polisi-polisi kerajaan yang lebih afirmatif bagi memastikan kek ekonomi negara diagihkan secara adil dan saksama.

* Khairil Anwar Mohd Amin ialah Wartawan Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca