SHAH ALAM - Calon Ketua Cabang Gombak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, mencadangkan supaya Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) menggunakan sistem pengundian digital yang dibuat oleh pihak ketiga bukan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri bagi mengelak ia dimanipulasi orang tertentu.
Farhash berkata, tindakan itu perlu berikutan timbul kesangsian dan keraguan bahawa sistem pemilihan PKR kali ini telah tercemar ekoran manipulasi pihak tertentu.
Beliau mendakwa, masalah berkenaan agak ketara dan dapat dilihat dengan jelas kerana begitu banyak bantahan terhadap keputusan pemilihan parti 2022 setelah keputusan tidak rasmi disiarkan Ahad lalu.
"Bukan saja dari pihak saya, tetapi rupanya ramai calon-calon yang bertanding turut menyuarakan berbagai keraguan terhadap keputusan tersebut.
"Ini bukan soal tidak berlapang dada menerima kekalahan, tetapi persoalannya ada berbangkit keraguan atas kemungkinan sistem dan mekanisme pemilihan parti ini telah dikompromi serta berlakunya manipulasi oleh pihak-pihak tertentu.
"Jika dilihat secara kasar pun persoalan terhadap sistem pengundi atas talian (PAT) sudah mendedahkan satu mekanisme dan prosedur yang diragui ketelusannya. Di sini, semua undi dikumpul dan dikira oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang terdiri dari ahli-ahli parti, lalu diumumkan, tanpa sebarang check and balance (semak dan imbang).
"Proses ini tidak berlaku dengan kehadiran pihak ketiga atau wakil-wakil calon, maka persoalan sama ada berlaku manipulasi adalah logik.
Tiada siapa dari pihak calon mahupun pihak ketiga hadir dalam kiraan undi untuk mengesahkan bahawa angka-angka yang dicatat adalah benar," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, Farhash meluahkan keraguan terhadap keputusan PKR 2022 cabang Gombak dan akan mengemukakan bantahan rasmi kepada JPP dalam masa terdekat.
Farhash juga menegaskan mempunyai bukti dan dokumentasi yang kukuh untuk menyatakan bantahan rasmi, dengan gesaan untuk parti menjalankan satu audit forensik terhadap sistem keputusan dan kaedah perlaksanaannya.
Beliau juga mendapati keputusan undian fizikal dan pengundian dalam talian (PAT) bagi cabang Gombak adalah tidak munasabah berdasarkan data jumlah pengundi yang direkodkan pihaknya.
Berikutan itu, Farhash mencadangkan supaya satu laporan forensik yang meneliti setiap undi PAT dan fizikal perlu dijalankan oleh satu entiti bebas yang dipersetujui oleh semua pihak.
Terdahulu media melaporkan Farhash peroleh 1,215 undi, tewas kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mendapat 1,858 undi.
Dalam pada itu, Farhash berkata, kelewatan pengumuman keputusan sehingga beberapa hari selepas pemilihan sedangkan pengundian atas talian sepatutnya lebih memudahkan dan mempercepatkan proses, juga mendedahkan keputusan kepada manipulasi.
"Bayangkan, dalam pilihanraya umum yang melibatkan jutaan rakyat yang mana undi dan kiraan dibuat secara fizikal sahaja pun, keputusannya boleh didapati dalam beberapa jam sahaja.
"Kita di dalam PKR adalah antara suara besar dalam memperjuangkan ketelusan dan keadilan dalam proses pilihanraya di negara ini.
Kita turun ke jalan raya memprotes ketidakadilan dalam pilihanraya melalui himpunan Bersih.
"Maka seharusnya perkara-perkara yang kita perjuangkan itu dipraktikkan dalam pemilihan parti kita sendiri, tetapi nampaknya yang sebaliknya berlaku.
"Maka gesaan dari semua calon-calon yang membuat bantahan untuk satu audit forensik oleh entiti bebas ke atas mekanisme pemilihan parti disusuli satu kiraan semula undi-undi di hadapan saksi terdiri dari wakil-wakil calon adalah wajar," katanya.
Justeru, Farhash mencadangkan supaya JPP menyediakan sistem pemilihan parti yang benar-benar bebas dari campur tangan pihak berkepentingan supaya pertikaian sebegini tidak berulang di pemilihan akan datang.
"Aplikasi-aplikasi yang digunakan tidak boleh ada kaitan dengan mana-mana ahli. Ia sepatutnya dikendalikan oleh entiti bebas.
Begitu juga proses kiraan undi, sepatutnya dapat dilakukan dengan lebih terbuka dengan keputusan disiarkan secara langsung.
"Saya amat berharap pihak JPP dan parti mengambil serius pandangan-pandangan ramai calon-calon yang telah mengemukakan bantahan secara rasmi dan mengambil kira cadangan-cadangan untuk penambahbaikan. Jika kita melaungkan Reformasi, ia haruslah dipraktikkan dalam parti kita sendiri," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca