SHAH ALAM - Dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dalam bentuk cecair perasa rokok elektronik atau vape jadi ancaman baharu kepada golongan remaja dan belia di negara ini.
Timbalan Presiden Persatuan Pengasih Malaysia, Hafizi Harun berkata, pihaknya sudah menerima 10 individu yang terlibat dengan dadah tersebut untuk mendapatkan rawatan pemulihan.
"Kalau kita tengok trend sekarang ini penyalahgunaan dadah jenis baharu 'new psychoactive substances' atau bahan psikoaktif baharu (NPS) semakin meningkat.
"Dadah ini menggunakan ganja sintetik yang digunakan dalam peralatan vape. Ramai ibu bapa yang hantar mereka ke sini untuk dapatkan rawatan dan mula menerima individu ini sejak 2018.
"Kami di sini telah menerima penagih di antara umur 18 hingga 24 tahun. Golongan ini juga yang paling tinggi terjebak dengan dadah ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, bekalan dadah tersebut boleh didapati dengan mudah di media sosial berbanding dadah tradisional.
Tambahnya, ia kerana stok berkenaan dikatakan ada di pasaran sekarang dan masih tidak diwartakan sebagai bahan terlarang.
"Mereka hanya tempah di Instagram dan Facebook. Bahan ini dijual dengan terbuka sebab masih tidak diwartakan dan dimasukkan dalam dadah berjadual di bawah Akta Dadah Berbahaya,” ujarnya.
Tambah beliau, ia memberi kesan khayal sama seperti dadah lain tetapi tidak boleh dikesan melalui ujian air kencing.
"Ia memberikan kesan khayal, sekali sedut ‘vape’ itu, 15 minit khayal. Itu baru sekali sedut, kalau dah banyak tidak tahu lah.
"Khayal itu sebab ia memang ganja sintetik dan kokain sintetik. Nak tahu benda itu dadah sangat susah kena ada kajian dahulu, kalau tengok ujian air kencing memang tidak dapat dikesan.
"Dadah ini biasanya direka bentuk daripada gabungan bahan kimia untuk meniru kesan dadah lain,” jelasnya.
Beliau berkata, ia telah menjadi satu dadah alternatif kepada dadah sedia ada di pasaran.
"Ini kerana mereka tahu kalau guna ganja, heroin atau syabu, ia datangkan kesan khayal dan kalau buat ujian air kencing akan kena tangkap dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
"Jadi apabila sukar untuk dikesan, ia amat merisaukan apabila golongan remaja jadikan ia jalan lain untuk ambil dadah,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca