WALAUPUN tinggal di kebun, saya sudah lama tidak melihat embun. Maksud saya butiran embun yang bagaikan manik jernih di atas dedaun atau terjuntai di hujung rumput. Malah, saya tidak ingat bila kali terakhir melihatnya. Embun yang dahulunya... Klik di sini untuk terus membaca

WALAUPUN tinggal di kebun, saya sudah lama tidak melihat embun. Maksud saya butiran embun yang bagaikan manik jernih di atas dedaun atau terjuntai di hujung rumput.

Malah, saya tidak ingat bila kali terakhir melihatnya. Embun yang dahulunya menjadi penambah dingin dan pelengkap keindahan pagi, sekarang ini tidak lagi menampakkan diri.

Yang dapat dirasai hanya kesan kehadirannya pada rumput-rampai dan dedaun yang basah. Setakat itu sahaja. Berbeza dengan 40 tahun dahulu ketika kehadirannya masih dapat dilihat.

Saya juga sudah lama tidak melihat pagi yang berkabus. Sudah lama tidak melihat tabir nipisnya. Berbeza dengan zaman kanak-kanak saya dahulu, di mana ia menjadi pemandangan biasa terutama jika malamnya hujan menyimbah tanah.

Pada zaman kanak-kanak saya dahulu juga, jika tidur malam kita perlu berselimut. Walaupun tanpa kipas angin, sejuknya tetap menusuk.

Sekarang ini saya tidak ingat bilakah kali terakhir saya tidur berselimut di tempat tanpa pendingin hawa. Yang saya ingat, banyak kali saya tidur tanpa baju!

Begitulah antara contoh-contoh kecil perubahan yang berlaku dalam tempoh tiga empat dekad kebelakangan ini.

Saya tidak tahu bagaimana keadaan sebelum 1980-an tetapi daripada pembacaan dan cerita-cerita mereka yang lebih senior, saya dapat bayangkan ketika itu cuaca lebih sejuk dan udara pula lebih bersih, segar serta nyaman.

Seorang pak cik misalnya, menceritakan kepada saya bagaimana pada tahun 1950-an dahulu kebanyakan orang ‘bercinta’ hendak mandi pagi.

"Sudahlah cuaca pagi sejuk sehinggakan kita menggigil, air perigi pula macam air batu.” Itulah antara ayat-ayatnya yang saya masih ingat.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh NOAA (The National Oceanic and Atmospheric Administration), sebuah agensi kerajaan di Amerika Syarikat, perubahan cuaca dunia berlaku secara ketara dalam tempoh 50 terakhir abad lepas sehinggalah sekarang.

Laporan itu menyebut dari 1951 sehingga kini, purata suhu dunia meningkat 0.82 darjah Celsius. Ia juga menganggarkan suhu dunia pada 2016 hingga 2021 adalah 1.2 darjah Celsius, lebih tinggi berbanding suhu pada abad ke-19 iaitu sebelum bermulanya Era Perindustrian.

Mereka yang pakar meramalkan jika dunia bergerak dalam keadaan sekarang, menjelang tahun 2030, kepanasan global akan terus meningkat sehingga perbezaannya dengan sebelum Era Perindustrian mencecah 1.5 darjah Celsius, dan ia bukanlah sesuatu yang baik.

Atas sebab itulah, satu perjanjian ditandatangani di Paris pada tahun 2015, di mana negara-negara di dunia mengikrarkan komitmen untuk mengehadkan kenaikan suhu global di bawah 2 darjah Celsius dengan sasarannya 1.5 darjah Celsius.

Ada banyak sebab kenapa perubahan cuaca, yang kemudiannya mempengaruhi perubahan iklim berlaku, antaranya adalah proses-proses semula jadi seperti proses dinamik di bumi atau pengaruh faktor luaran termasuk kelainan pada kepanasan cahaya matahari.

PERUBAHAN

Namun, sejak bermulanya Revolusi Industri, manusia mula memainkan peranan sebagai penyumbang utama kepada perubahan-perubahan tersebut. Keadaan itu lebih ketara kebelakangan ini susulan pertambahan jumlah manusia dan peningkatan aktivitinya.

Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) yang dianggotai 1,300 orang saintis bebas dalam Laporan Penilaian Kelimanya pada tahun 2014 merumuskan bahawa lebih 95 peratus aktiviti manusia dalam tempoh setengah abad lalu telah menyumbang kepada pemanasan global.

Aktiviti-aktiviti perindustrian, sebagai contoh telah meningkatkan kadar karbon dioksida di atmosfera daripada 280 bahagian per juta kepada 417 bahagian per juta dalam tempoh 151 tahun.

Tak faham? Itulah dahulu bila guru mengajar Sains, buat endah tak endah. Samalah macam saya juga. Sejak kecil saya terfikir buat apa hendak belajar Sains sebab bila besar nanti, saya hendak jadi polis atau askar, bukannya hendak jadi saintis.

Kesannya, waktu mula-mula dengar perkataan green house (rumah hijau) dahulu, saya menyangka ia ada kena-mengena dengan rumah Hulk, orang yang bertukar menjadi hijau apabila marah dalam siri televisyen dan filem The Incredible Hulk itu.

Berbalik kepada sumbangan manusia terhadap pemanasan global. Ada banyak cara bagaimana ia berlaku dan dilakukan, antaranya adalah dengan membakar bahan api seperti arang batu, minyak dan gas asli untuk menghasilkan elektrik, memanaskan rumah, memberi kuasa kepada kilang dan kenderaan.

Selain itu, projek-projek pembangunan, penebangan pokok, pemerkosaan bukit-bukau dan segala sesuatu seumpamanya turut juga menyumbang.

Semuanya menjadi punca karbon dioksida dan gas rumah hijau lain meningkat, sekali gus menyebabkan lebih banyak haba terperangkap dan suhu dunia meningkat naik.

Apa masalahnya dengan perubahan iklim dan cuaca? Bukankah ia perkara biasa? Dunia ini pun telah banyak kali berubah. Jadi apa perlunya kita kalut sangat dengan perubahan yang berlaku sekarang?

Sebenarnya tiada siapa yang akan kalut jika dunia ini tidak berpenghuni seperti ketika Zaman Air Batu Huronian dahulu. Tetapi sekarang dunia ini berpenghuni. Ramai termasuk kita. Dan tidak dapat tidak, kita serta penghuni dunia yang lain akan terkesan dengan perubahan-perubahan itu.

Hujan lebat, banjir di luar musim, tanah runtuh, bongkah air batu cair, ada bahagian dunia semakin tenggelam, ada bahagian lain mula timbul hanyalah sebahagian kesan perubahan tersebut.

Itu belum termasuk kemarau panjang, ribut taufan, badai gelombang yang setiap satunya akan datang dan berlalu pergi dengan kesan buruk yang tidak sedikit. Perubahan itu akan menjejaskan aktiviti pertanian, tidak kiralah sama ada kerana tanam-tanaman tidak cukup air atau terlebih air.

Haba panas juga akan menyebabkan ikan dan segala hidupan laut lainnya ikut merana. Kesannya tentulah tidak sedikit terhadap rantaian makanan manusia.

Memang benar, kita tidak mempunyai kuasa mencegah malapetaka tetapi kita mempunyai upaya untuk mengambil langkah-langkah bagi mengurangkan risikonya. Sebagai individu, sebagai masyarakat, sebagai negeri dan negara, banyak yang boleh kita lakukan.

Ingatlah dunia ini sudah terlalu tua. Kalau mengikut kiraan saintis, usia bumi sudah mencecah 4.54 bilion tahun. Bersesuaian dengan usianya, tentulah penyakitnya juga bertambah banyak.

Jadi sewajarnyalah kita menjaganya dengan hati-hati. Ia perlu dilayan sebagaimana kita melayan orang tua. Atau untuk lebih afdal, ia harus dimanjakan seperti orang memanjakan isteri muda! #dush!!

* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 akan menulis mengenai pengurusan perubahan.

Klik di sini untuk terus membaca