SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mustafa Kamil Ayub mendakwa proses pemilihan parti pada penggal tahun 2022-2025 masih dipengaruhi oleh budaya pengedaran 'cai' kepimpinan kem tertentu serta aktiviti 'membeli undi' dalam kalangan ahli-ahli baharu.
Bagaimanapun, Mustafa Kamil yang turut bertanding sebagai calon Naib Presiden PKR kali ini, yakin Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dipimpin Pengerusinya, Dr Zaliha Mustafa sudah melakukan yang terbaik bagi memastikan permasalahan itu dibendung dan tidak menjadi barah.
Berdasarkan pemerhatian, Mustafa Kamil mendakwa terdapat ramai anggota baharu parti yang langsung tidak mengenali calon pimpinan yang dipilih sama ada di peringkat cabang dan pusat.
"Apabila PKR memperkenalkan sistem pemilihan parti berasaskan kiraan satu undi, satu anggota, saya sudah jangkakan mungkin akan berlaku kelemahan dalam proses pemilihan.
"Saya tidak nafikan ada anggota baharu didaftarkan awal tahun ini, tidak kenal pun calon dipilih, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada senarai cai kepimpinan kem tertentu yang diedarkan kepada mereka.
"Dengan sistem pengundian hibrid mungkin mewujudkan lompong kelemahan, ada ruang kepada kem pemimpin tertentu yang mempunyai sedikit kuasa dan kedudukan untuk mengambil kesempatan bagi memperolehi kemenangan.
"Saya fikir masih ada ruang yang perlu dikemaskini JPP dengan cadangan dan pandangan terbaik akan disampaikan kepada mereka melalui saluran dalaman," ujarnya kepada Sinar Premium pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan tidak rasmi Pemilihan PKR penggal 2022-2025 yang menyaksikan ramai pemimpin terkemuka parti itu tumbang dalam pertandingan jawatan parti di peringkat cabang dan Pusat.
Antara nama-nama besar yang dikenal pasti tewas dalam pemilihan di peringkat cabang termasuklah Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin; bekas Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Farhash Wafa Salvador dan Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul.
Berikutan kekalahan tidak rasmi Farhash Wafa terhadap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Pengerusi PKR Selangor, beliau mengemukakan bantahan rasmi terhadap JPP dan menyuarakan kebimbangan terdapat unsur manipulasi data pengundian oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Keputusan tidak rasmi Pemilihan PKR yang dikeluarkan JPP pada 29 Mei lalu turut menyaksikan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menang jawatan Timbalan Presiden menewaskan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
PUNCA NAMA BESAR JATUH
Dalam pada itu, sumber dalaman PKR turut berkongsi pandangan Mustafa Kamil dan mendedahkan keputusan pemilihan PKR masih lagi ditentukan melalui faktor kekuasaan pengaruh dan jumlah wang dilaburkan seseorang calon bagi meraih sokongan anggota parti.
Jelas sumber berkenaan yang juga pemimpin kanan PKR, faktor itu juga menyebabkan ramai pemimpin terkenal PKR tumbang dalam pertandingan jawatan ketua di peringkat cabang.
"Meskipun sistem pemilihan PKR berasaskan kiraan satu anggota, satu undi, budaya membeli undi masih tidak dapat dielakkan dengan segelintir calon menang difahamkan membelanjakan wang yang banyak bagi tujuan itu.
"Tidak dinafikan ada juga dalam kalangan nama besar pemimpin PKR yang tewas disebabkan mereka tidak 'perform' pada mata akar umbi parti," tegasnya lagi.
Klik di sini untuk terus membaca