KUALA LUMPUR - Seorang pemuda berusia 25 tahun akui mengambil dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dalam bentuk perasa rokok elektronik atau ‘vape’ bagi mengelakkan kegiatannya diketahui ibu bapa.
Dia yang berasal dari Kuala Lumpur mendedahkan sebelum ini pernah 'tertangkap' oleh ibu bapanya kerana hisap syabu, kemudiannya berubah mengambil dadah jenis vape sebagai alternatif.
"Kali pertama masa kantoi (tertangkap) hisap syabu, ibu bapa saya bawa jumpa doktor dan buat pemeriksaan air kencing setiap minggu.
"Jadi dari situ saya berfikir kalau saya hisap lagi syabu, mesti kantoi. Lebih selamat hisap vape (dadah).
"Daripada situ saya percaya bahawa kalau hisap vape, mesti tak akan kantoi dalam ujian air kencing,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mengulas lanjut, dia berkata, apabila rakan-rakannya memperkenalkan dadah vape itu kepadanya, dia tidak percaya pada awalnya.
"Jadi saya cuba, bila buat ujian air kencing, memang betul tak sangkut dan sebab itu saya hisap setiap hari,” ujarnya.
Dalam pada itu menurutnya, bekalan dadah vape itu mudah didapati sama ada dijual melalui individu atau platform secara dalam talian.
Katanya, harga dadah vape yang dijual kini sekitar RM150 hingga RM250 bergantung kepada kesan perasa dadah vape berkenaan.
"Modal yang saya beli untuk (dadah) vape ini harga dalam RM200. Botol dia memang sama macam botol vape yang biasa dijual.
"Dadah vape yang original pada awalnya ada tiga tahap iaitu rendah, sederhana dan tinggi.
"Tahap tinggi itu akan beri kesan khayal paling kuat kepada penghisap berbanding yang lain sebab itu harganya mahal dalam RM250,” menurutnya.
Selain itu, dia berkata, perasaan menghisap dadah jenis vape itu sama seperti ganja di mana akan memberi kesan kepada otak supaya menjadi khayal serta lambat dari segi tingkah laku.
Bagaimanapun, ujarnya, kesan pengaruh dadah vape pada seseorang itu hanya bertahan selama 15 minit sahaja.
"Jadi kita tidak boleh berhenti (hisap vape) sebab kesannya cuma 15 minit, tidak lama sangat.
"Nak bagi kesan ‘stim’ itu berterusan, kita kena sentiasa hisap supaya kesan dia akan tahan selama dua atau tiga jam,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca