SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan, antara nama disebut-sebut bakal menggantikan Datuk Zuraida Kamaruddin selaku Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi baru dalam rombakan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan, antara nama disebut-sebut bakal menggantikan Datuk Zuraida Kamaruddin selaku Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi baru dalam rombakan kabinet, bakal diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tidak lama lagi.

Menurut Sumber, Wan Saiful adalah antara empat nama dihantar oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk diangkat mengganti Zuraida yang mengumumkan keluar PN dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), pada minggu lalu.

Sumber berkata, tiga lagi nama lain ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusop (Pak Wan); Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris dan Timbalan Menteri di JPM (Parlimen dan Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Razali antara empat nama disebut bakal ganti Zuraida sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi

Katanya, nama Wan Saiful dianggap 'favourite' diangkat bagi mengisi jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi kerana kontrak beliau sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan tamat pada akhir Jun ini.

"Jika Perdana Menteri mahu mengangkat Wan Saiful sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi baharu, maka beliau perlu melantik Ketua Penerangan Bersatu berkenaan Senator atau Ahli Dewan Negara terlebih dahulu, sebelum boleh dilantik selaku anggota kabinet.

"Perkara itu bukan suatu mustahil kerana kuota Senator atau Ahli Dewan Negara untuk Bersatu masih ada satu yang belum diisi. Tambahan pula, tidak mungkin Wan Saiful sebagai Ketua Penerangan Bersatu tidak mempunyai sebarang jawatan dalam kabinet mahu pun syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya kepada Sinar Premium.

Sebelum ini media, melaporkan Zuraida mengumumkan keputusannya meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, serta meninggalkan parti Bersatu dan menyertai PBM.

Bagaimanapun, Zuraida juga dilaporkan terus menyokong kerajaan yang dipimpin Ismail Sabri dan dilaporkan akan berjumpa Perdana Menteri dalam masa terdekat untuk membincangkan peletakan jawatannya sebagai menteri.

Ini menjadikan Zuraida sudah dua kali bertukar parti selepas 'Langkah Sheraton' apabila sebelum ini bertindak keluar PKR dan menyertai Bersatu dan kini keluar Bersatu untuk sertai PBM.

Difahamkan Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang memutuskan menyertai PBM kerana tertarik dengan perjuangan parti baharu berkenaan.

BUDI BICARA PM

Dalam pada itu, sumber tersebut berkata, Razali yang merupakan Ahli MPT Bersatu juga tidak mustahil dilantik menggantikan Zuraida kerana kontraknya sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu (KETENGAH) sudah tamat, pada Mei lalu.

Bagaimanapun, sumber berkata, Bersatu dan PN menyerahkan kepada kuasa budi bicara Perdana Menteri untuk membuat keputusan untuk memilih salah seorang daripada empat nama berkenaan untuk diangkat menggantikan Zuraida yang sudah keluar parti dan menyertai PBM.

Mengulas lanjut, sumber berkata, jika Perdana Menteri mahu mengekalkan wakil Sri Kandi Bersatu dan memperkasakan golongan wanita maka beliau boleh memilih Mas Ermieyati sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi baharu.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu akan menyebabkan jawatan Timbalan Menteri di JPM (Parlimen dan Undang-Undang) kosong dan perlu diisi oleh orang lain.

Justeru itu, sumber berkata, jawatan berkenaan dilihat kurang sesuai untuk Mas Ermieyati kerana beliau adalah seorang pengamal undang-undang.

"Biarpun Mohd Redzuan mempunyai pengalaman menjadi anggota kabinet dan kini adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, namun sokongan terhadap beliau agak rendah kerana pernah dikaitkan dengan isu kereta terbang," katanya.

Pak Wan mempuyai pengalaman sebagai jemaah menteri sebelum ini.

Sumber juga mendedahkan terdapat usaha pihak tertentu yang cuba memberi tekanan kepada Perdana Menteri supaya melantik individu lain dari kalangan pemimpin Bersatu sebagai pengganti Zuraida.

Klik di sini untuk terus membaca