SHAH ALAM – Usahawan yang juga aktivis sosial dan politik, Datin Dian Lee berazam untuk menaik taraf sistem sistem penjagaan kanak-kanak bagi membolehkan lebih ramai wanita berdikari dan bekerja sekiranya beliau dilantik sebagai menteri wanita.
Dian menegaskan, sekiranya negara mempunyai pusat asuhan kanak-kanak yang bagus, peluang untuk wanita keluar bekerja lebih terbuka luas.
"Sekarang ramai wanita terpaksa memilih sama nak kerja atau jaga anak. Jadi saya harap ada sistem pusat jagaan kanak-kanak yang lebih baik supaya lebih ramai wanita ada peluang besar untuk bekerja.
"Bila wanita bekerja, mereka lebih berdikari, lebih yakin dengan diri sendiri dan situasi itu akhirnya membawa lebih kebahagiaan dalam keluarga,” katanya selaku tetamu jemputan pada Program Bersama Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, penambahbaikan sistem penjagaan kanak-kanak itu adalah kehendak rakyat ketika ini yang disuarakan kepada Muda menerusi aktiviti jelajah yang dilakukan di seluruh negara.
Katanya, perkara itu menjadi antara isu penting yang menghimpit mereka selain mereka turut berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, peluang pekerjaan terhad dan soal perubahan iklim yang turut memberi kesan kepada kehidupan.
"Menerusi program kembara mendengar dan jelajah Presiden yang kita buat di seluruh Malaysia untuk mendengar kerisauan rakyat, kita tidak tahu apa isu yang mereka khuatirkan. Ini kerana di media sosial kita tidak boleh berinteraksi sedemikian.
"Kita harus jumpa mereka dan berinteraksi bersama dalam komuniti. Jadi sebagai parti politik, yang penting kita kena bersuara untuk rakyat. Kalau kita tidak tahu apa isu-isu, kita tidak boleh bersuara,” ujarnya.
Dian menambah, dek kerana minatnya memperjuangkan isu berkaitan kanak-kanak juga mendorongnya terjun ke dalam bidang politik kerana Muda menyediakan platform untuknya bersuara tanpa mengambil kira latar belakang, umur, kaum dan agama seseorang.
"Muda akronim bagi Parti Ikatan Demokratik Malaysia. Kita bukan sebuah parti untuk anak muda sahaja. Ahli kita paling tua berusia 91 tahun. Jadi Muda ini terbuka kepada semua, kami benarkan semua seperti saya yang peka terhadap masa depan Malaysia tetapi tidak minat politik untuk sertai parti, untuk bersuara dan berjuang isu-isu penting.
"Contohnya saya minat isu-isu berkaitan kanak-kanak sebab negara kita masih ada banyak isu kanak-kanak yang tidak dibangkitkan macam isu satu daripada lima kanak-kanak di Malaysia terbantut. Kita ada ramai kanak-kanak yang tidak dapat pergi ke sekolah kerana isu kewarganegaraan," katanya.
Menurutnya, Muda beri beliau satu platform untuk bersuara isu-isu yang penting.
"Saya harap lebih ramai orang macam saya yang tidak minat sertai politik tetapi sebagai rakyat Malaysia yang nak tengok perkembangan negara dan nak perbaiki negara kita, Muda ini boleh kita jadikan satu platform untuk bersuara," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca