SHAH ALAM - Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan keputusan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah muktamad. Sekali pun kerusi berkenaan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan keputusan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah muktamad.

Sekali pun kerusi berkenaan berkemungkinan ditandingi calon 'heavyweight' parti lawan seperti Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu menegaskan beliau bertegas dengan pendirian untuk memberi laluan kepada calon Parti Amanah Negara (Amanah) yang lebih muda dan berpotensi.

Bagaimanapun, Pengarah Strategik Amanah itu mengakui beliau mungkin terpaksa mempertimbangkan cadangan bertanding semula Parlimen Kuala Selangor, hanya sekiranya parti benar-benar mahukannya.

"Memandangkan saya sudah dua penggal berkhidmat sebagai Ahli Parlimen, saya bersedia beri laluan kepada calon muda untuk bertanding di Kuala Selangor. Ramai orang bercakap keperluan calon muda diketengahkan dalam dunia politik, tetapi tiada kerusi diperuntukkan.

Hasrat Dr Dzulkefly untuk berundur daripada dunia politik selepas PRU15 sudah disuarakan sejak dahulu lagi dan bukan dikaitkan dengan kehadiran Tengku Zafrul sebagai kemungkinan calon pencabar.

"Perkara ini tidak sangkut dengan kehadiran kemungkinan calon-calon 'heavyweight' parti lawan ke Parlimen Kuala Selangor termasuk Tengku Zafrul.

"Saya sudah suarakan perkara ini begitu lama, bahkan sudah mempersiapkan beberapa calon muda yang berpotensi untuk menggantikan tempat saya bagi hadapi PRU15.

"Keputusan saya juga adalah muktamad dengan pertimbangan kembali bertanding hanya diputuskan sekiranya pucuk kepimpinan Amanah melihat keperluan itu mendesak," ujarnya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Dr Dzulkefly berkata demikian susulan kenyataan terdahulu beliau yang menyatakan kesediaan memberi laluan kepada calon muka baharu untuk bertanding di Parlimen Kuala Selangor pada PRU15.

Terkini, terdapat spekulasi mengatakan Tengku Zafrul yang sebelum ini dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada zaman pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN), sedang mengintai peluang untuk bertanding di beberapa kerusi Parlimen atas tiket UMNO.

Selain Parlimen Kuala Selangor, antara kerusi Parlimen lain yang dikaitkan dengan bekas Pengerusi CIMB Bank itu adalah Lembah Pantai, Kuala Pilah dan Sungai Besar.

Tengku Zafrul

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly turut menyangkal dakwaan beliau pertimbang bertanding semula hanya sekiranya Tengku Zafrul menjadi pencabar, disebabkan tidak yakin dengan keupayaan calon muda ditonjolkan Amanah kelak.

Enggan menghantar isyarat salah, pemimpin veteran Amanah itu sebaliknya berkeyakinan strategi meletakkan calon muda Amanah yang berpotensi mampu memberi hasil lumayan kepada parti, tanpa mengira siapa calon pencabar.

"Lagi pun, semua orang tahu kawasan Kuala Selangor merupakan kerusi majoriti penduduk luar bandar dan dianggap tidak secocok dengan latar belakang Tengku Zafrul yang dikenali sebagai golongan elit berstatus bangsawan.

"Saya juga hairan dengan spekulasi tidak berkesudahan berkenaan kerusi mana bakal ditandingi Tengku Zafrul, pada saat negara berdepan krisis ekonomi, masalah hiperinflasi dan krisis bekalan makanan meruncing ketika ini.

"Sepatutnya sebagai seorang Menteri Kewangan, beliau harus fokus sepenuhnya terhadap usaha memulihkan ekonomi negara pada tahap getir ini. Bukan sibuk mengintai peluang bertanding PRU15," tegasnya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca