SHAH ALAM - Golongan peniaga berpandangan pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) ketika negara masih dalam fasa pemulihan ekonomi akan memberi kesan yang besar kepada perbelanjaan rakyat.
Pengasas Seni Cetakan Legacy, Adib Mursyidi Mohd Bukhari, 26, berkata, walaupun pelaksanaan cukai itu bertujuan untuk membantu rakyat melalui insentif tertentu seperti bantuan tunai dan menampung subsidi kerajaan, namun kerajaan perlu mengkaji secara terperinci jika mahu mengembalikan GST.
"Cadangan saya sebagai peniaga, GST boleh diperkenalkan semula tetapi dengan kadar yang rendah kepada peniaga dan pembeli agar tidak membebankan kami.
"Kadar cukai ini tidak boleh lebih 4 peratus berbanding 6 peratus seperti dilaksanakan sebelum ini.
"Kemudian kerajaan wajar membentangkan terlebih dahulu kepada masyarakat perancangan cukai GST ke mana duit itu akan disalurkan secara teliti dan jelas,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Tambah Adib Mursyidi, implementasi GST adalah lebih baik berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
"GST adalah lebih telus dan efektif terutamanya daripada sudut pengguna sendiri, kos cukai servis dapat dikurangkan daripada 10 peratus kepada 6 peratus.
"Dalam jangka masa panjang, pengembalian cukai GST dapat menyokong kelestarian subsidi kerajaan dan bantuan rakyat seperti sumbangan wang tunai kepada kumpulan B40.
"Namun begitu, ia tetap bergantung kepada bagaimana pelaksanaan GST itu ditadbir urus oleh pihak yang berkenaan,” ujarnya.
Sementara itu, peniaga, Mohd Zukri Hat, 58, berkata pelaksanaan GST hanya menguntungkan syarikat besar berbanding peniaga kecil.
"Jika GST diperkenalkan semula, semestinya akan memberi kesan kepada peniaga untuk membeli barang mentah dan sebagainya, sekali gus dibimbangi harga jualan akan naik,” katanya.
Tambah Mohd Zukri, pelaksanaan GST ketika negara berdepan kenaikan harga barang keperluan berkemungkinan akan menyebabkan peningkatan harga lebih tinggi. "Akhirnya, GST mungkin akan membantu negara tetapi bukan kepada rakyat,” jelasnya.
DEWAN PERNIAGAAN MELAYU MALAYSIA SETUJU TAPI ...
Sementara itu, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) bersetuju dengan pelaksanaan semula sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST), namun pada kadar yang lebih rendah.
Felo Kanan DPMM, Azlan Awang berkata, kadar tersebut perlulah kurang daripada 6 peratus dan ia sudah memadai untuk menambah pendapatan negara bagi menangani inflasi dan kenaikan kos sara hidup rakyat.
"Secara umumnya, pelaksanaan semula GST ini adalah sangat baik. Tetapi tidak semestinya pada kadar 6 peratus.
Mungkin kadar yang lebih rendah, kurang daripada 6 peratus.
"Selain itu, kerajaan juga wajar mengkaji langkah-langkah fiskal lain seperti menaikkan cukai korporat kepada kadar lebih tinggi, iaitu ke tahap 28 peratus hingga 30 peratus serta mewujudkan cukai keuntungan modal (capital gains) dan cukai untung terlampau (windfall tax). "Ini adalah opsyen yang ada dan perlu dilaksanakan.
Dalam hal kenaikan cukai korporat iaitu isu pelaburan langsung asing (FDI) tidak wajar dijadikan alasan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Mengulas lanjut Azlan berkata, walaupun pihaknya bersetuju dengan pelaksanaan semula GST tersebut, namun mengakui peniaga sudah tentu akan berdepan dengan sedikit masalah untuk menyediakan sistem perakaunan dan peralatan. "Bila adanya GST, peniaga mesti mempunyai sistem perakaunan dan peralatan kerana masing-masing perlu menyimpan data pembelian dan penjualan barangan yang ada GST.
"Ini bertujuan untuk tuntut cukai input atas pembelian dan penjualan yang mempunyai GST kepada kerajaan.
Justeru, dari segi perakaunan dan peralatan perlulah lebih canggih lagi,” katanya.
Tambah Azlan, masalah lain yang bakal dihadapi peniaga adalah dari segi aliran tunai jika tuntutan untuk cukai input lambat dibayar oleh kerajaan.
"Namun, kami percaya ini tidak akan berlaku lagi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Azlan turut memberitahu DPMM akan menubuhkan satu pasukan khas untuk membantu peniaga bumiputera jika GST dilaksanakan semula.
Klik di sini untuk terus membaca