[MUKADIMAH] Anak bilionair taikun hartanah Tan Sri Lee Kim Yew, Datin Dian Lee menganggap soal beliau dipilih untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah tidak penting kerana keutamaannya adalah untuk berkhidmat kepada... Klik di sini untuk terus membaca

[MUKADIMAH] Anak bilionair taikun hartanah Tan Sri Lee Kim Yew, Datin Dian Lee menganggap soal beliau dipilih untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah tidak penting kerana keutamaannya adalah untuk berkhidmat kepada rakyat.

Usahawan merangkap aktivis sosial dan politik itu berkata, niatnya terjun dalam arena politik tanah air dengan menyertai dan mendokong perjuangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bukanlah untuk diangkat sebagai calon pilihan raya.

"Saya sertai Muda bukan untuk bertanding.

Saya anggotai Muda untuk belajar, berkhidmat dan tolong bina parti. Jadi sama ada bertanding atau tidak, itu tidak penting,” tegasnya.

Ikuti kemahuan dan perjuangan sebenar beliau menerusi program temu bual bersama Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Sinar Harian pada Rabu.

JOHAN: Datin seorang usahawan atau ahli perniagaan yang berjaya, jadi kenapa tiba-tiba berminat untuk menceburi bidang politik?

DIAN: Ramai yang tanya saya perkara itu. Sebenarnya saya tidak ada niat untuk sertai politik. Saya nak ceritakan bagaimana ia boleh berlaku. Pada 2018 saya menerbitkan sebuah filem dokumentari bertajuk ‘M Untuk Malaysia’ yang kita rakamkan detik bersejarah kita menukar kerajaan secara damai buat kali pertama. Selepas itu Langkah Sheraton berlaku, jadi saya ada berhubung dengan Yang Berhormat (YB) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Beliau ada beritahu saya niatnya untuk menubuhkan sebuah parti pelbagai kaum namanya Parti Ikatan Demokratik Malaysia atau Muda. Oleh itu saya beritahu beliau supaya maklumkan pada saya (jika mahu daftarkan parti) sebab saya nak rakamkan perjuangan ini. Saya percaya perjuangannya bukan sahaja sebuah lagi parti politik tetapi ini adalah satu kemungkinan untuk melahirkan sebuah gerakan untuk anak muda. Jadi bila beliau pergi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada September 2020, saya ikut beliau untuk merakamkan detik itu. Kami sentiasa berhubung, malah saya turut ikuti berita-berita dan perjuangan parti Muda. Beberapa bulan kemudian Syed Saddiq jemput dan pelawa saya sertainya dengan kata ‘Janganlah rakam sahaja, apa kata kita berjuang bersama-sama’. Sebab beliau tahu saya sangat prihatin pada negara.

Datin ada sebutkan tentang dokumentari ‘M Untuk Malaysia’. Sebagai pengarah dan penerbit, apa pengajaran utama yang Datin dapat daripada pengalaman membikin dokumentari itu dalam konteks hari ini selepas Datin menceburi bidang politik?

Apa yang memberi inspirasi kepada saya untuk buat dokumentari ini ialah pada ketika itu pemimpin-pemimpin kita sanggup bergabung walaupun mereka bermusuh. Bertahun-tahun mereka bermusuh dan mereka memutuskan duduk bersama untuk membawa perubahan. Saya fikir konsep ketepikan kepentingan sendiri dan letakkan kepentingan negara di depan dorong saya hasilkan ‘M Untuk Malaysia’. Ini kerana apabila saya berniat merakamkan filem ini, kita tak tahu keputusan Pilihan Raya Umum (PRU). Pada masa itu bagi saya tak kiralah keputusan Pakatan Harapan (PH) kalah atau menang, tapi usaha pemimpin-pemimpin ini yang sanggup bergabung untuk kebaikan negara.

Datin ialah seorang isteri, ibu, usahawan dan sekarang ini menjadi aktivis politik. Ini menambah satu lagi bebanan ke bahu Datin. Bolehkah Datin bersedia dengan semua cabaran-cabaran ini?

Johan mengajukan soalan pada Dian pada Program Bersama Bersama Johan Jaaffar pada Rabu.

Setakat ini saya tidak melihat ini sebagai beban tapi kalau Tan Sri tanya saya dalam beberapa tahun lagi mungkin jawapan saya akan berbeza. Bila Syed Saddiq beri peluang ini untuk berkhidmat dan berjuang, saya rasa saya ada pilihan. Saya boleh duduk di rumah, merungut di media sosial atau pun tak buat apa-apa tapi jikalau saya diberi peluang ini untuk berjuang walau sekecil mana pun sumbangan, saya fikir sekurang-kurangnya saya sudah cuba.

Datin lahir dari keluarga ahli perniagaan yang berjaya. Mungkin bagi mereka yang tidak tahu bahawa Datin Dian sebenarnya adalah anak kepada usahawan dan ahli perniagaan, Tan Sri Lee Kim Yew. Saya percaya keluarga ada pandangan sendiri, berbelah bahagi sebab selalunya orang yang terlibat dengan perniagaan ini tidak mahu anggota keluarga terlibat dalam politik dan mungkin juga mereka menyokong dengan apa yang Datin nak buat. Apa yang sebenarnya yang berlaku Datin?

Apabila saya beritahu keluarga saya niat untuk sertai politik menerusi perbincangan yang dibuat, mereka faham ini adalah satu perjuangan yang murni. Hanya seorang yang bantah iaitu anak bongsu saya berumur lapan tahun. Dia menangis apabila saya cakap mahu sertai politik. Ia kerana selepas itu saya beritahu dia yang saya mungkin kurang berada di rumah sebab sejak Covid-19, dua tahun ini saya selalu berada di rumah. Sebelum itu tiap-tiap malam rutin saya luangkan masa bersamanya sebelum waktu tidur. Jadi dia bantah kerana takut saya tak ada masa untuknya. Tapi bagi saya ini adalah peluang penting.

Memang politik sebenarnya begitu. Politik tentang perbezaan faham dan lebih penting lagi untuk mengekalkan kuasa. Kuasa adalah segala-galanya dalam politik. Pada pandangan Datin apa yang penting untuk melahirkan pemimpin politik yang bermoral, tidak korup berdasarkan daripada pembacaan Datin terhadap buku Tan Sri Kamal. Apa pengajaran yang penting daripada buku itu kepada Datin?

Tadi Tan Sri cakap politik ini untuk kuasa tapi saya tak setuju. Kalau dalam hati hanya mahu cari kuasa, kamu tidak akan perolehnya. Hati mesti ikhlas, ketepikan diri sendiri dan pentingkan rakyat dahulu.Itu idealisme Datin. Beza antara realiti dengan idealisme tentunya dua perkara yang berbeza. Apa pandangan Datin tentang mengimbangkan antara idealisme dengan realiti sebenar dalam politik?

Saya percaya kalau kita punya niat suci, ikhlas, dari hati yang tulus maka hasilnya akan keluar secara semula jadi. Masalah sekarang ialah semua orang mahukan kuasa. Jadi dalam apa juga perkara yang saya buat dalam hidup, saya percaya niat hati itu paling penting.

Pada peringkat mula pembabitan seorang ahli politik tentunya bertolak daripada idealisme tetapi setelah beberapa tahun mereka telah dicorakkan dengan keadaan dan idealisme itu hilang. Mungkin pada waktu ini generasi muda masuk politik berkobar-kobar dengan idealisme tetapi adakah dapat dikekalkan idealisme itu?

Saya fikir kita harus mulakan. Saya percaya perjuangan ini bukan perjuangan satu dua hari. Dalam kehidupan saya ini mungkin saya tidak boleh mengubah apa-apa tapi kita tidak harus putus asa supaya anak muda ada satu contoh. Kita mesti didik generasi seterusnya untuk buat perkara yang betul. Mungkin kamu kata saya idealistik tapi saya percaya kita mesti tunjukkan dulu satu contoh yang baik untuk masa depan anak-anak kita.

Apa komen Datin tentang prestasi Muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor baru-baru ini. Muda bertanding di beberapa kawasan, menang satu kerusi. Apakah Datin puas hati dengan pencapaian ini?

Muda bertanding di tujuh kerusi, kita menang satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa menerusi Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz. Saya memang terperanjat kerana saya ingat kita kalah semua. Ini kali pertama Muda bertanding dan kita adalah parti yang sungguh muda usianya tak sampai tiga bulan pun waktu itu sebab kita daftar pada Disember tahun lalu. Keseluruhannya kita juga tak hilang deposit langsung di tujuh kerusi ini dan ini pun adalah satu pencapaian.

Kenapa Datin tidak bertanding?

Saya sertai Muda bukan untuk bertanding. Saya anggotai Muda untuk belajar, berkhidmat dan tolong bina parti. Jadi sama ada bertanding atau tidak, itu tidak penting.

Ramai orang meletakkan harapan yang begitu tinggi pada Undi18 seolah-olah Undi18 akan mencorakkan senario politik Malaysia. Apakah Datin rasa dalam PRU akan datang, Undi18 ini akan beri impak kepada keseluruhan keputusan pilihan raya itu sendiri?

Bagi Undi18, ini saya rasa kita kena buat lebih program dari segi pendidikan kepada pengundi. Sekarang ini program pendidikan kepada pengundi tidak mencukupi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun tidak buat banyak program untuk menggalakkan anak muda terlibat dalam politik. Jadi kami bersedia untuk wujudkan lebih banyak program pendidikan kepada pengundi menjelang PRU.

Bukankah ramai orang mengatakan tidak semua orang muda wajar masuk politik tetapi sudah tentu mereka memahami literasi politik. Yang penting ialah kualiti orang yang masuk politik. Apa pandangan Datin?

Kita perlukan pemimpin yang jujur, cekap, bermaruah, berintegriti. Saya percaya dalam politik, semua orang ada peluang. Semua orang dari mana-mana golongan mesti diberi peluang sebab politik ini sangat dekat dengan hidup. Oleh itu Muda ditubuhkan untuk semua orang tidak kira umur, latar belakang, agama dan kaum.

Apakah Datin puas hati dengan keanggotaan Muda sekarang dari segi perwakilan kaum dan jantina?

Kita ada lebih 30 peratus perwakilan wanita dan kita ada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina dan India. Kalau tengok semasa negara dilanda bencana banjir dan semasa di PRN, kita semua kerja secara bersama.

Sebagai seorang ibu, Malaysia yang bagaimana yang Datin mahu lihat pada masa depan?

Semasa saya remaja, saya tidak rasa ada perbezaan perkauman sampai berlaku satu insiden. Ibu bapa saya temui bayi di longkang di sebuah pusat beli-belah. Jadi keluarga saya ambil bayi itu dan berniat untuk jadikannya anak angkat. Ketika itu saya sangat teruja dan gembira kerana saya akan ada adik yang baharu. Tetapi seminggu dua kemudian pihak polis menemui ibu bayi ini dan dari ujian yang dilakukan, kami diberitahu bayi itu berbangsa Melayu. Oleh itu kami perlu serahkan bayi itu dan tidak boleh ambil dia sebagai anak angkat. Jadi itulah kali pertama dalam kehidupan saya yang saya terasa ada perbezaan ini sebab pada masa itu saya naif dan anggap kita semua manusia dan fikir kenapa kami tidak boleh berikan bayi itu satu masa depan yang cerah. Kalau dia diambil sebagai anak angkat dalam keluarga kami, dia akan ada satu masa depan yang sangat cerah. Tapi kerana dia berbangsa Melayu dan kami berbangsa Cina, kami tidak boleh ambil dia sebagai anak angkat. Jadi saya harap sistem kita lebih inklusif, kita boleh melangkah keluar daripada masalah perkauman yang memberi kesan sangat besar kepada kita semua.

Dian

Tapi realitinya di Malaysia semua diukur daripada perbezaan itu termasuk politik sebab banyak parti politik kita berdasarkan kaum. Dari satu segi Datin rasakan tentang hubungan kaum sebab Datin sendiri dari Tahun Satu masuk ke sekolah kebangsaan walaupun Datin anak kepada seorang yang berupaya hantar anak ke sekolah swasta atau ke luar negara. Tetapi kenapa keluarga Datin memilih untuk menghantar semua anak-anaknya ke sekolah kebangsaan?

Ia kerana ibu bapa saya datang dari latar belakang yang susah dan mereka mahu kami kekal rendah diri. Saya ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Selepas SPM baharu saya keluar (sambung pengajian) ke Australia.

Datin akan bertanding dalam pilihan raya akan datang?

Saya sertai Muda bukan untuk bertanding tapi untuk berkhidmat dan perjuangkan isu-isu yang penting untuk saya. Jadi soal nak bertanding itu tak penting, saya akan serahkan kepada parti saya. Yang penting sekarang kita berkhidmat dan buat kerja dulu.

Secara ringkas, adakah Datin yakin bahawa pembangkang yang banyak sekarang ini hingga jadi salah satu punca kenapa Barisan Nasional (BN) menang akan berada di bawah satu khemah di masa akan datang?

Ini saya tidak dapat pasti. Dari segi PRN Johor kita boleh tengok secara datanya kalau kita bergabung kita ada peluang untuk mentadbir tetapi agak susahlah. Sebab parti-parti pembangkang ini mempunyai idealisme yang tidak sama. Walaupun 2018 mereka bergabung, tetapi kali ini lebih susah kerana mempunyai parti-parti sama yang pernah khianati PH dulu. Itu adalah satu kekecewaan dalam sejarah.

Klik di sini untuk terus membaca