‘GUNALAH bahasa kita!’ Perjuangan bahasa biasanya difahami sebagai usaha dan kejayaan dalam memaksimumkan penggunaannya. Persoalannya, bagaimana? Di sini, kita perlu teliti dua konsep yang rapat tetapi berbeza daripada ‘penggunaan’,... Klik di sini untuk terus membaca

‘GUNALAH bahasa kita!’ Perjuangan bahasa biasanya difahami sebagai usaha dan kejayaan dalam memaksimumkan penggunaannya. Persoalannya, bagaimana? Di sini, kita perlu teliti dua konsep yang rapat tetapi berbeza daripada ‘penggunaan’, yakni ‘kebergunaan’ dan ‘kebolehgunaan’.

Secara ringkasnya, sesuatu bahasa itu akan luas ‘digunakan’ apabila ia ‘berguna’ kepada pengguna (penutur) bahasa itu dan bahasa menjadi ‘berguna’ jika ia ‘boleh digunakan’ bagi tujuan yang ingin dicapai oleh pengguna bahasa. Terdapat dua pendekatan untuk memajukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita.

Pendekatan pertama menekankan ‘penggunaan’ dengan mewajibkannya melalui undang-undang, dasar dan perintah.

Pendekatan kedua menekankan ‘kebergunaan’ dan ‘kebolehgunaan’. Matlamatnya adalah untuk menjadikan sesuatu bahasa itu ‘boleh guna’, seterusnya ‘berguna’ dan akibatnya ‘digunakan’ secara meluas sekalipun tidak diwajibkan.

Perbezaan antara dua pendekatan itu berada dalam insentif peribadi dan kelestarian. Bahasa yang berguna dan boleh guna pasti akan luas digunakan tanpa penguatkuasaan. Sebaliknya, jika kebergunaan dan kebolehgunaan sesebuah bahasa tidak dapat ditingkatkan, maka penggunaan-nya tidak akan meluas apabila tidak dapat dikuatkuasakan secara berkesan. Pendekatan pertama selalu mendominasi imaginasi kita dalam perjuangan memartabatkan bahasa Melayu, seolah-olah hidup matinya bahasa Melayu bergantung kepada dasar pemerintah.

SEJARAH KEGEMILANGAN

Kita seperti lupa sejarah kegemilangan bahasa Melayu. Ia pernah menjadi ‘lingua franca’ (bahasa serantau) di Nusantara sehingga ke Ambon dan Manila suatu ketika dahulu, bukan kerana Kerajaan Melayu Sri Vijaya dan Melaka berkuasa sampai ke wilayah yang jauh atau ada Dasar Bahasa Kebangsaan yang berkesan.

Bahasa Melayu menjadi popular semata-mata kerana bahasa Melayu itu berguna dan boleh digunakan bagi tujuan perdagangan, budaya, ilmu serta agama.

Mengapa Jerman, Jepun dan Korea boleh menggunakan bahasa kebangsaan mereka dalam bidang ilmu terutama sains dan teknologi tetapi Malaysia sebaliknya?

Jawapannya agak jelas – seperti bahasa Melayu pada zaman silam, bahasa mereka sudah mantap sebagai bahasa ilmiah yang menghasilkan ilmu pengetahuan baharu.

Kita boleh mencontohi Jerman, Jepun dan Korea dalam mempertingkatkan ‘kebergunaan’ serta ‘kebolehgunaan’ bahasa dan bukan sekadar menekankan ‘penggunaan’nya.

Yang nyata, kita perlu tingkatkan penterjemahan bagi menerima ilmu baharu.

Sejarah orang Arab mengkayakan bahasanya dan meluaskan dunia mereka dengan penterjemahan daripada penulisan Yunani serta Parsi tanpa takut ‘diYuyanikan’ atau ‘diParsikan’ harus menjadi teladan kita.

Kita juga perlu menghasilkan ilmu baharu dalam bahasa Melayu agar penutur bahasa lain suatu hari nanti akan menterjemahkan penulisan dalam bahasa Melayu untuk mencapai ilmu.

Apakah insentif untuk cendekiawan kita menghasilkan ilmu baharu dalam bahasa Melayu? Berapa jurnal akademik dalam bahasa Melayu sudah bertaraf antarabangsa? Kita juga perlu rapatkan bahasa Melayu dan kembarnya, bahasa Indonesia supaya kita boleh berkongsi pasaran penutur serta mewujudkan nilai pasaran lebih besar.

Kita contohilah sikap orang Indonesia yang melihat bahasa kebangsaannya sebagai pengungkap idea untuk semua lapisan masyarakat dan tidak melihatnya sebagai milik umat Muslim apabila menyentuh mengenai agama. Penterjemahan bahasa Indonesia, karya agung Charles Darwin –Asal Usul Spesies telah diharamkan di Malaysia sejak 2006.

Ia tidak melindungi umat Muslim daripada Teori Evolusi kerana mereka yang berbahasa Inggeris tetap boleh membaca teks asalnya.

Ia cuma mengehadkan dunia penutur bahasa Melayu, berbanding dengan penutur bahasa Inggeris atau Indonesia.

*Prof Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihanraya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca