SHAH ALAM - Rata-rata rakyat berpendapat pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan membantu negara menangani isu inflasi serta menambah pendapatan negara, namun pada masa sama bimbang rakyat akan semakin terbeban dengan kenaikan harga barang.
Pekerja swasta, Muhammad Hafiz Hadri, 25, berkata, GST dapat membantu menambah pendapatan negara dan meningkatkan kecekapan ekonomi untuk lebih kukuh. Namun, ujarnya, ia sedikit sebanyak bakal memberi kesan kepada golongan B40 kerana kos sara hidup yang terus meningkat.
"Kita tahu GST ini akan beri banyak kesan positif seperti dapat mengurangkan inflasi.
"Tetapi akan berlaku kenaikan harga barang dan bebankan rakyat.
Jadi, kerajaan perlu kaji semula pelaksanaannya dengan mengurangkan kadar peratusan GST atau fikirkan cara lain,” katanya kepada Sinar Harian.
Pereka grafik, Mohammad Afif Kamal, 25, bersetuju andainya kutipan GST itu disalurkan untuk memberi bantuan kepada rakyat.
"Ini (GST) mungkin boleh dikembalikan sebab kita tahu sistem ini lebih efektif berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sekarang yang menyebabkan jumlah cukai sebenar tidak dinyatakan dan berlaku kutipan bertindih. "GST lebih telus dan mampu mengawal inflasi bagi jangka panjang,” ujarnya.
Penganalisis sistem, Ain Fatiha Ahmad Harnaini, 25, pula berkata, kerajaan perlu melipatgandakan usaha untuk meyakinkan rakyat tentang keberkesanan pelaksanaan GST.
"Ini terutamanya bagaimana ia dapat meringankan beban rakyat dan membantu mereka pada masa akan datang.
"Kerajaan boleh adakan dialog awam-swasta, latihan dan kursus pendidikan GST untuk memastikan rakyat memperoleh pendedahan yang cukup tentang pelaksanaan GST kali kedua ini.
"Capai dan sebarkan kepada orang ramai untuk memastikan mesej disampaikan dengan jelas dan berkesan,” jelasnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi wawancara khas bersama Nikkei Asia di Tokyo baru-baru ini dilaporkan berkata, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan sistem GST sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.
Menurut Perdana Menteri, GST dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara. Selain itu, katanya lagi, sistem pencukaian tersebut berupaya membantu kerajaan menampung pemberian subsidi bagi keperluan rakyat. GST mula dilaksanakan pada 1 April 2015 bagi menggantikan SST. Bagaimanapun, kerajaan Pakatan Harapan memansuhkan GST bermula 1 Jun 2018 dan mengembalikan semula SST susulan pelbagai kritikan terhadap pelaksanaan GST sebelum ini. Jumlah kutipan GST pada tahun 2017 adalah sebanyak RM44.03 bilion.
SEMAK DASAR PERCUKAIAN NEGARA
Sementara itu,Pakar Ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berpendapat, kerajaan perlu mengambil kira keseluruhan dasar dan instrumen percukaian negara sebelum mengembalikan semula sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Katanya, GST merupakan cukai yang dibayar oleh rakyat untuk semua jenis urusan jual beli, sekali gus menambah beban mereka yang sedia terkesan dengan kenaikan harga barangan di pasaran.
"Memang betul kerajaan kena luaskan asas hasil cukai dan GST adalah cukai yang dibayar oleh semua orang yang terlibat dalam jual beli di semua peringkat.
"Ia telah digantikan oleh cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang tidak seluas liputannya berbanding GST.
"Namun, saya tidak bersetuju dengan keputusan memperkenalkan semula GST tanpa ada satu reformasi dasar fiskal yang menyeluruh kerana ia akan menambah beban rakyat yang sudah terbeban,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Klik di sini untuk terus membaca