KETIKA mengemas bahan-bahan tulisan saya baru-baru ini, saya terjumpa satu helaian kertas, di dalamnya ada beberapa soalan yang saya sediakan bagi membantu seorang Senator bertanya di Dewan Negara pada 2008.
Soalan itu meminta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan langkah-langkah jangka panjang dan jangka pendek yang akan dilaksanakan bagi mengatasi krisis makanan di Malaysia.
Masalah krisis makanan bukanlah perkara baharu, cuma hari ini keadaannya nampak lebih merunsingkan berbanding 14 tahun lalu. Kerisauan itu berasas. Tidak salah untuk rakyat risau dan bertanyakan soalan tersebut agar mereka dapat menyediakan diri bagi menghadapi apa juga kemungkinan.
Saya tidak pasti apa jawapan bertulis diberikan oleh menteri ketika itu tetapi soalan tersebut masih relevan ditanya semula kepada menteri yang bertanggungjawab pada hari ini.
Saya berpandangan, rakyat perlu tahu langkah-langkah yang akan diambil pihak kementerian agar rakyat rasa terjamin bahawa ada usaha yang diambil bagi menentukan keselamatan makanan (food security) dalam negara ini terjaga.
Hari ini kita tidak boleh lagi bertindak hanya apabila kita berdepan sesuatu krisis.
Kita perlu sentiasa bersiap siaga dan bersedia. Seperti saya sebutkan, masalah ini bukan masalah baharu. Saya pasti ia telah diberi penelitian sejak soalan itu ditanya pada 2008.
Oleh sebab itu, saya agak khuatir apabila membaca laporan berita bahawa pihak bertanggungjawab baru menubuhkan beberapa jawatankuasa khas mengenai dasar sekuriti makanan dan pertanian negara.
Sepatutnya Malaysia sudah ada satu pasukan khas, di dalamnya ada pakar-pakar mengenai cuaca yang dapat membaca dan menjelaskan masalah perubahan iklim telah menjejaskan tanaman.
Pasukan itu juga perlu ada pakar-pakar pertanian dan penternakan yang dapat memberi penyelesaian kepada masalah dihadapi petani dan penternak kita jika ada.
Dasar sekuriti makanan haruslah bersifat menyeluruh dan menunjukkan kefahaman kita tentang pentingnya untuk diadakan pada setiap masa satu strategi nasional bagi menjaga kebajikan semua rakyat agar tidak terputus bekalan makanan ruji, tidak kira sama ada akibat risiko perubahan iklim atau cuaca buruk, bencana alam, bencana disebabkan manusia mahupun akibat disabotaj ke atas bekalan tersebut.
TUJUH PROGRAM KHAS
Strategi yang perlu ada itu harus kalis daripada ditembusi dengan semua risiko yang saya sebutkan.
Kita juga sedar peningkatan harga barang boleh juga berlaku sekiranya ada peningkatan dari segi pertumbuhan penduduk dalam negara atau penggunaan sumber makanan untuk penghasilan biofuel seperti yang berlaku di Amerika Syarikat.
Tetapi penduduk Malaysia tidaklah meningkat dengan drastiknya sejak lima tahun lalu dan kita pula tidak menggunakan sumber makanan bagi menghasilkan biofuel. Jadi apa masalah kita? Adakah kerana terlalu bergantung kepada import makanan menyebabkan kita berada dalam keadaan digantung tidak bertali sekiranya negara-negara yang mengeksport ini memberi keutamaan kepada rakyat mereka terlebih dahulu berbanding keperluan rakyat kita.
Dan pada waktu ini untuk mana-mana pihak meminta rakyat mula bercucuk tanam atau membela ayam di dalam rumah mereka mungkin bukanlah satu saranan yang menunjukkan kepekaan pemimpin. Suatu ketika dahulu, saya difahamkan negara kita sudah ada satu Dasar Jaminan Makanan Nasional.
Saya difahamkan ada tujuh program khas yang dirancang di bawah dasar berkenaan.
Mungkin elok juga jika pihak kerajaan memberi laporan status terkini tentang kedudukan program-program itu setakat ini kerana saya difahamkan kerajaan memperuntukkan hampir RM2.5 bilion pada masa tersebut untuk menggalakkan pengeluaran makanan.
Persoalannya, kenapa kita masih bertanya soalan sama 14 tahun kemudian sekiranya kerajaan telah membelanjakan sebanyak itu pada 2008? Semoga segala usaha kita akan membuahkan hasil yang dapat menyelamatkan rakyat Malaysia.
* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia, dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM
Klik di sini untuk terus membaca